Prof. Dr. Ahmad Ismail
PENTERNAKAN babi di Malaysia kembali menjadi isu hangat. Walaupun babi adalah haram bagi umat Islam, industri ini telah berkembang sejak beberapa dekad lalu untuk memenuhi keperluan makanan masyarakat bukan Islam serta tujuan komersial.
Namun, perkembangan ini tidak bebas daripada masalah besar, khususnya pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing.
Di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, Melaka, Perak, dan Selangor — isu ini telah banyak dibincangkan. Air sisa daripada penternakan babi yang tidak dirawat atau dirawat secara tidak sempurna mengandungi kandungan nitrogen, fosforus, dan karbon organik yang tinggi.
Efluen ini sering dilepaskan terus ke dalam saluran air, menyebabkan bau yang amat busuk, memusnahkan hidupan akuatik, serta mencemarkan sumber air untuk pengairan.
Keadaan ini menimbulkan keresahan masyarakat dan menuntut perhatian serius daripada pihak berkuasa.
Tragedi virus Nipah di Bukit Pelandok lebih dua dekad lalu menjadi amaran keras bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan.
Wabak tersebut memusnahkan industri penternakan babi di kawasan itu pada tahun 1988–1989.
Ketika itu, aktiviti penternakan berkembang lebih pantas daripada kawalan permit, kesihatan awam, dan pemantauan alam sekitar.
Peristiwa ini membuktikan bahawa kelemahan pengurusan boleh membawa kesan buruk bukan sahaja kepada ekonomi dan alam sekitar, tetapi juga kepada nyawa manusia.
Perbincangan baru-baru ini melibatkan seluruh lapisan masyarakat, daripada ahli politik hingga pihak istana, masyarakat akar umbi hingga kerajaan, serta forum ilmiah yang menghimpunkan ahli sains, pembuat dasar, dan pemimpin masyarakat.
Dalam konteks ini, saintis Muslim tampil sebagai suara ilmiah yang mendesak tindakan segera.
Peranan mereka bukan sekadar memberi amaran, tetapi menyediakan penyelesaian saintifik yang menghormati sensitiviti agama, menjaga kesihatan awam, dan melindungi ekosistem negara.
Persoalan utama yang perlu dijawab ialah: adakah penternakan babi berkembang kerana keperluan makanan masyarakat bukan Islam, atau lebih kerana keuntungan perniagaan semata-mata?
Kualiti air sungai yang menerima efluen daripada penternakan babi mesti dilihat secara serius. Ia tidak memadai sekadar melaporkan data pencemaran, tetapi perlu diselesaikan melalui gabungan teknologi moden, undang-undang yang jelas, penguatkuasaan berkesan, serta sistem pemantauan yang cekap.
Petunjuk pencemaran juga mesti dikaji menggunakan spesies penunjuk seperti ikan medaka yang tersebar di perairan pantai Semenanjung Tanah Melayu.
Kajian ikan medaka sebagai petunjuk pencemaran dan kesan toksikologi telah lama dijalankan di Malaysia, dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Tahap tinggi Biochemical Oxygen Demand (BOD), Chemical Oxygen Demand (COD), dan Ammoniacal Nitrogen (NH₃N) merupakan indikator standard bagi pencemaran akibat efluen penternakan babi.
Nilai-nilai ini menunjukkan beban organik dan nutrien yang berlebihan, yang boleh menyebabkan bau busuk, kematian hidupan akuatik, serta pencemaran sumber air untuk pengairan.
Kajian juga mesti melibatkan aspek kejuruteraan, termasuk peralihan kepada sistem yang lebih terkawal, pemasangan pemisah sisa pepejal, serta penggunaan sistem rawatan biogas.
Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan impak pencemaran terhadap alam sekitar, khususnya sungai dan kawasan perairan berhampiran.
Sebagai negara majoriti orang Islam, Malaysia tidak boleh membiarkan isu ini berlarutan tanpa perancangan menyeluruh.
Peraturan mesti jelas dari aspek lokasi, teknologi kawalan pencemaran, hingga etika dan undangundang.
Saintis Muslim menegaskan bahawa masalah sebenar bukan sekadar halal atau haram, tetapi risiko pencemaran air, pencemaran udara, dan penyakit zoonotik yang boleh mengancam nyawa.
Institusi seperti MAPIM yang sedang menganjurkan persidangan Saintis Muslim mesti menjadikan isu ini agenda utama. Hasil perbincangan perlu menghasilkan cadangan konkrit, bukan sekadar teori.
Malaysia tidak boleh terus bergantung pada kisah kejayaan negara lain atau mengulang keluhan lama.
Saintis Muslim mesti memimpin usaha membangunkan teknologi dan dasar yang sesuai dengan realiti tempatan.
Namun, penyelesaian tidak boleh datang daripada saintis sahaja.
Ulama, pakar perundangan, tokoh budaya, doktor veterinar, pakar pemakanan, jurutera, dan perancang landskap mesti berganding bahu.
Pendekatan menyeluruh ini akan memastikan keseimbangan antara sensitiviti agama, kesihatan awam, kelestarian alam sekitar, dan keperluan ekonomi.
Kesimpulannya, penternakan babi di Malaysia bukan sekadar isu halal atau haram. Ia adalah cabaran besar terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat.
Saintis Muslim mendesak penyelesaian segera, bukan sekadar kritikan. Masa untuk menunggu sudah berlalu.
Masa untuk bertindak dengan penyelidikan, teknologi, dan koordinasi yang serius telah tiba.
Peruntukan kewangan khas perlu disediakan untuk penyelesaian ini.
Penulis adalah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Mantan Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Mantan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Mantan Profesor UPM, yang aktif mengkaji alam dan kehidupannya
Sumber: bebasnews.my
Recent Comments