Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Dalam Islam, adab berpakaian bukan sekadar menutup aurat, tetapi juga membawa mesej maruah, kedudukan dan syiar — lebih-lebih lagi bagi tokoh yang memegang jawatan tertinggi dalam hal ehwal agama. Seorang Menteri Agama dan mufti yang hadir dalam sesuatu program bukan hanya hadir sebagai individu, tetapi sebagai simbol autoriti agama di mata masyarakat.

Program Street Dakwah di Bukit Bintang memang bersifat santai dan mendekati masyarakat, namun kesantunan pendekatan tidak semestinya menuntut penampilan yang terlalu kasual sehingga menghilangkan imej kewibawaan seorang tokoh agama yang dihormati dan disegani. Apakah cantik dipandang seorang mufti memakai t-shirt, topi dan seluar jeans, pakaian yang terlalu biasa (kasual) atau tidak mencerminkan identiti rasmi keilmuan, kewarakan. Kerana ia boleh menimbulkan persoalan tentang mesej simbolik yang dibawa — sedangkan dakwah juga berlaku melalui visual dan imej.

Tokoh agama berada pada kedudukan qudwah (contoh ikutan). Dalam ruang awam yang terbuka seperti Bukit Bintang, penampilan mereka harus tidak sama dengan orang awam. Pakaian seorang mufti itu membawa makna syiar. Pakaian yang lebih kemas, sopan dan bercirikan identiti keilmuan Islam sebenarnya tidak menghalang pendekatan mesra — bahkan boleh mengekalkan keseimbangan antara hikmah dakwah dan maruah jawatan.

Fleksibiliti dalam pendekatan dakwah memang diiktiraf, tetapi kelonggaran itu tidak sepatutnya sampai mengaburkan identiti dan simbol kepimpinan agama. Kerana bagi masyarakat, apa yang dilihat sering menjadi rujukan — dan pemimpin agama sepatutnya sentiasa mencerminkan standard adab yang lebih tinggi daripada kebiasaan.

Sumber: dhomir.com

Translate »