Seorang Muslim tidak akan lupa sejarah Kaum Sadum. Allah SWT tidak menurunkan azab yang dahsyat kepada kaum Nabi Lut AS kerana mereka “tertekan di tempat kerja”. Allah menurunkan hujan batu dan menterbalikkan bumi mereka kerana mereka melakukan Fahishah (kekejian) yang melampaui batas dan enggan bertaubat.

Kisah Nabi Lut dan kaum Sadum adalah amaran keras untuk setiap generasi setelahnya. Isu LGBT tidak boleh disapu ke bawah karpet dengan alasan-alasan sains yang lemah. Kita memerlukan pemimpin Islam, agamawan dan intelektual yang berani berdepan realiti, bukan yang mencari alasan.

Di saat negara sedang bergelut dengan krisis integriti dan defisit kepercayaan, kita dikejutkan dengan satu lagi tajuk utama mengejutkan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dalam satu jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 26 Januari 2026, Menteri Agama, telah menyatakan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada gejala LGBT adalah “tekanan kerja” atau work-related stress. Beliau memetik sebuah kajian Sulaiman et al. 2017 sebagai sandaran kepada hujah ini.

Kenyataan ini kemudiannya disensasikan media, bukan sahaja di dalam negara malah diambil juga oleh portal berita luar negara. Mencari “Kajian 2017” Yang Disebut Menteri Di dalam jawapannya, menteri merujuk kepada “Kajian tahun 2017 oleh Sulaiman et al”. Hasil carian dan semakan silang menunjukkan kajian yang dimaksudkan berkemungkinan besar adalah kertas kerja bertajuk:

“Faktor-faktor yang Mempengaruhi Keterlibatan Golongan LGBT dalam Gejala Sosial” atau tajuk seumpamanya yang diterbitkan sekitar 2017/2018. Penyelidik utama yang sering dirujuk dalam konteks ini ialah Wan Sulaiman Wan Ismail dan rakan-rakan penyelidik, yang mana kajian mereka sering diterbitkan dalam jurnal-jurnal tempatan atau prosiding persidangan berkaitan Sains Sosial di universiti tempatan.

Walau bagaimanapun, adakah interpretasi terhadap kajian tersebut tepat? Dalam kajian sosial, wujud perbezaan besar antara “faktor risiko” dan “penyebab mutlak”. Kajian-kajian sebegini selalunya bersifat kualitatif atau tinjauan kecil. Ia mungkin mendapati bahawa individu yang terjebak dalam aktiviti seksual rambang sering menggunakan seks sebagai mekanisme untuk menghilangkan stres.

Untuk menyimpulkan bahawa “Stres Kerja” adalah faktor seseorang menjadi LGBT adalah satu lompatan logik yang pelik. Jika stres kerja merupakan antara punca menjadi gay atau lesbian, maka negara Jepun negara dengan budaya kerja paling stres di dunia sepatutnya menjadi negara paling ramai LGBT di dunia. Malah jika merujuk kepada jurnal luar negara, kajian antarabangsa kebanyakannya menunjukkan bahawa tekanan kerja dalam komuniti LGBT adalah AKIBAT (Consequence), dan bukannya PUNCA (Cause).

Contohnya seperti dalam kertas penyelidikan bertajuk “The Impact of Psychological Distress on the Occupational Well-Being of Sexual and Gender Minorities” yang diterbitkan dalam jurnal Healthcare (2022) menyatakan: Diskriminasi dan stigma di tempat kerjalah yang menyebabkan golongan ini mengalami tekanan mental yang tinggi. Amat merisaukan jika kenyataan di parlimen adalah atas sebab tersilap terjemahan.

Kesimpulan

Ingin ditekankan bahawa ancaman gaya hidup LGBT, terutamanya di zaman moden ini adalah ancaman yang nyata. Jika pejabat menteri agama tidak mengambil perkara ini secara serius, seperti perkara kecil Glamping With Pride, maka masyarakat Islam dalam negara akan berdepan dengan cabaran hebat di masa hadapan. Malah, timbul satu persoalan yang lebih menakutkan: Adakah ini satu percubaan untuk mencari “Legitimasi Halus”? Adakah kita sedang cuba melunakkan pendirian negara demi memenuhi tuntutan Orde Baru Dunia yang mahu memaksa kita mengiktiraf hak asasi LGBT?

Gaya hidup songsang ini adalah ancaman kepada cara hidup Islam, seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran. Ia bukan isu terpencil. Statistik dan data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri menunjukkan peningkatan mendadak kes HIV melalui transmisi seksual, mengatasi kes akibat dadah. Dan majoriti kes penularan HIV ini berpunca daripada kegiatan MALE-SEX-MALE, atau hubungan seksual antara lelaki. Anak-anak muda kita sedang dirosakkan kerana rapuhnya benteng agama dan serangan ideologi yang agresif, bukan kerana mereka “stres kerja”.

Selagi kita tidak menganggap LGBT sebagai Bencana Moral yang besar, selagi itulah kita tidak akan temui solusi yang holistik. Solusi penyelesaian yang berteraskan Pendidikan, Pembangunan Moral, dan Pengukuhan Akidah. Seorang Menteri sepatutnya dikelilingi oleh pemikir yang tajam dan kompeten, yang mampu menasihati beliau bahawa setiap patah perkataan di parlimen mengundang risiko. Dalam lanskap politik negara yang “panas”, kenyataan separuh masak seperti ini mudah diputar belit dan menjadi senjata musuh untuk meruntuhkan institusi agama. Dikhuatiri juga ia akan mengundang kritikan kepada institusi agama, dan jabatan hal ehwal Islam menjadi bahan ketawa di luar negara.

Rakyat memandang tinggi gelaran Profesor atau Doktor, serta para pemikir dan Intelektual Islam. Seharusnya jawapan yang dangkal dan kurang teliti sebegini tidak selayaknya keluar dari sosok tubuh seorang cendekiawan. Paling membimbangkan, apabila kesabaran rakyat sudah sampai ke penghujungnya. Jika kesilapan begini berulang, jangan terkejut jika nanti bukan lagi penjelasan yang diminta rakyat, tetapi gesaan perletakan jawatan. Mungkin ketika itu, rakyat akan menuntut tokoh yang lebih bersedia dan lebih serius untuk mengemudi bahtera agama, dan menghadapi isu seperti LGBT ini. Menteri agama yang tak mampu mempertahankan Islam dan kepentingan- kepentingan umat Islam dalam negara sebenarnya tidak layak memegang jawatan tersebut.

Sumber: dhomir.com

Translate »