Author: Prof. Dr. Ahmad Ismail
UNIVERSITI awam adalah benteng ilmu negara. Di dalamnya, pensyarah bukan sekadar tenaga pengajar, tetapi cendekiawan yang membina masa depan bangsa. Namun, di sebalik gelaran akademik yang tinggi, ramai pensyarah berdepan tekanan yang semakin mencengkam. Beban kerja melampau, sistem kenaikan pangkat yang kabur, budaya buli di tempat kerja, dan kepimpinan jabatan yang tidak adil. Semua ini boleh menjejaskan kesejahteraan warga akademik dan mengekang potensi mereka.
Di sinilah pentingnya peranan persatuan pegawai akademik universiti awam. Persatuan ini bukan sekadar wadah kebajikan, tetapi benteng utama yang memastikan hak pensyarah tidak terabai dan budaya akademik terus berkembang. Dalam era pendidikan tinggi yang semakin kompleks, persatuan mesti tampil lebih kuat dan berani. Tanpa suara kolektif yang lantang dan berhemah, pensyarah akan terus terhimpit dalam arus birokrasi dan tekanan luaran.
Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) 2022–2026 telah membawa isu-isu kritikal ke peringkat nasional. Antaranya, keperluan menyemak semula dasar pendidikan tinggi agar lebih relevan dengan cabaran semasa, menuntut kepimpinan universiti yang telus, berwibawa dan berintegriti, serta memperjuangkan kriteria kenaikan pangkat yang jelas dan praktikal. Beban kerja melampau, termasuk tugas perkeranian, turut diketengahkan. Hak pensyarah untuk bercuti sabatikal, membina jaringan industri, dan menjalin hubungan antarabangsa juga mesti diperkasa dengan insentif sewajarnya.
Dalam banyak hal, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memberikan respon yang positif terhadap cadangan MAAC. Kesediaan ini wajar dimanfaatkan oleh pihak pengurusan universiti untuk melaksanakan tindakan susulan di peringkat masing-masing. Momentum yang telah dimulakan oleh KPT mesti dipantau dan diperkuatkan oleh persatuan akademik di universiti awam, agar perjuangan pensyarah benar-benar diterjemahkan kepada dasar dan amalan.
Pensyarah adalah tiang seri universiti. Mereka memberi kuliah, menilai pelajar, menyelia penyelidikan, menulis penerbitan, dan menyumbang kepakaran kepada masyarakat. Ramai berkelulusan sarjana dan PhD, dengan aspirasi tinggi untuk memperkaya ilmu. Namun, laluan kerjaya mereka sering diganggu oleh faktor dalaman universiti dan persekitaran. Jika persatuan akademik tidak berfungsi dengan berkesan, pensyarah akan terus terbeban, dan universiti awam sukar mencapai kecemerlangan yang diidamkan. Kepakaran pensyarah tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Kekuatan persatuan bergantung kepada kepimpinan yang berani dan berwibawa. Pemimpin persatuan mesti berani menegur ketidakadilan, membawa isu ke meja rundingan, dan menjadi jambatan antara pensyarah dengan pentadbiran. Suara akar umbi mesti diterjemahkan kepada tindakan.
Kesimpulannya, persatuan pegawai akademik universiti awam perlu diperkasa sebagai suara kolektif yang berwibawa dan bersemangat. Dengan persatuan yang kuat, pensyarah dapat bekerja dalam suasana kondusif, budaya akademik dapat berkembang subur, dan universiti awam Malaysia akan terus maju sebagai pusat kecemerlangan ilmu. Suara pensyarah jangan sekali-kali dibisukan. Inilah masa untuk persatuan akademik bangkit dengan berani.
(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)
Penulis adalah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Mantan Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Mantan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Mantan Profesor UPM, yang aktif mengkaji alam dan kehidupannya
Sumber: bebasnews.my
Recent Comments