Sedih, kesal dan sesekali terasa tersangat mual apabila mendengar titah Baginda sempena pembukaan Sidang Dewan Rakyat semalam (19 Januari 2026). Tiga perkara yang cukup signifikan dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia, baik dalam bidang pentadbiran negara, kehidupan sosial dan sistem pendidikan negara.

Sedih kerana ada segelintir rakyat Malaysia yang tidak boleh menerima bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi sehingga mendesak agar bahasa ibunda mereka terus kekal sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Baginda bertitah, jika tidak boleh menerima Bahasa Melayu, boleh “tinggalkan negara ini”. Ia bukan sahaja sebagai amaran, tetapi juga sebagai pukulan keras yang bakal dipulangkan kepada mereka yang tidak setia kepada akujanji sebagai warganegara Malaysia.

Hal itu mengingatkan kita kepada apa yang Donald J Trump katakan kepada penduduk Amerika Syarikat. Dengan nada yang hampir sama, yakni “jika tidak sukakan Amerika, boleh tinggalkan negara itu”. Tetapi, Trump turut menjelaskan, “jangan fikirkan untuk kembali ke Amerika Syarikat” jika sudah buat keputusan keluar. Trump marah kerana kebangkitan rakyat Amerika Syarikat menentang keputusan dan dasar yang diambil olehnya terhadap kedudukan Palestin, perang perdagangan dan deraan yang berterusan atas alasan ingin menjadikan America Great Again.

Sistem pendidikan menjadi simpang-siur kerana bahasa sepatutnya menjadi alat komunikasi dan perpaduan dikecohkan dengan kenyataan bahawa perpaduan bukan hanya semata-mata bermula dengan bahasa yang tunggal. Atas kemahuan untuk menegakkan bahasa ibunda, maka sistem pendidikan menjadi berpecah kepada dua, jenis kebangsaan dan kebangsaan. Pendidikan jenis kebangsaan menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil manakala bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan.

Desakan juga muncul untuk menjadikan sekolah-sekolah selain berbahasa kebangsaan diarusperdanakan dengan pelbagai alasan dan konsekuensinya. Kemuncaknya ialah tuntutan untuk menubuhkan Universiti Merdeka dan 20 perkara yang diusulkan oleh Suqiu beberapa dekad lalu. Sebelumnya, muncul huatuan-huatuan yang lantang menyuarakan keinginan tersebut sehingga salah seorang daripadanya dilucutkan sijil kewarganegaraan.

Ketika ini, muncul desakan agar Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan oleh persatuan pendidikan Cina diiktiraf bagi membolehkan lukisannya diterima dalam jawatan sektor awam. Ia kembali hangat diutarakan apabila DAP tewas dalam semua kerusi yang ditandinginya pada PRN Sabah tahun lalu.

Kekalahan itu cuba hendak dipulihkan dengan mendesak agar UEC diiktiraf oleh kerajaan dalam tempoh enam bulan, yakni selewat-lewatnya pertengahan tahun ini. Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengangkat dirinya sebagai pejuang pada kali ini. Berjaya atau tidak, ia akan menjadi liabiliti kepada sistem pendidikan Malaysia.

Jika ianya berjaya, DAP akan mendapat sedikit petunjuk yang baik bahawa arus politiknya boleh pergi lebih jauh. Jika gagal, ia menjadi liabiliti yang akan diperjuangkan secara berterusan. Ia juga akan menjadi liabiliti kepada sistem pendidikan kebangsaan kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang sinis dalam usaha menjadikannya alat pemersatu.

Bahasa sebagai alat pemersatu ingin dikaburkan dengan persoalan budaya dan sastera, walhal semua orang tahu, bagaimana itik dan ayam boleh berkomunikasi dengan seirama kalau bahasanya berbeza. Hal ini ditentang oleh aktivis pendidikan persendirian yang dimulakan sejak sekian lama menerusi pelbagai gerakan. Ia diperjuangkan oleh parti politik yang menyokong huatuan yang ditubuhkan oleh sekumpulan pendidik persendirian. Bahasa ibunda dan sistem pendidikan tidak pernah lekang menjadi isu politik sejak sekian lama dan hingga sekarang belum selesai secara tunggal.

Menurut sejarah, pendidikan vernakular bermula setelah kaum imigran yang dibawa masuk oleh Britain semakin membesar, walaupun pada awalnya bukan untuk menetap di negara ini. Kehadiran mereka sekadar meraih rezeki disebabkan peluang pekerjaan dan keadaan ekonomi di negara masing-masing tidak membenarkan mereka meraih kehidupan yang lebih baik.

Jalaludin Rumi seorang penyair sufi termasyhur mengungkap cerita tentang empat orang yang berada dalam satu kafilah yang saling tidak bercakap kerana masalah bahasa. Ketika kafilah itu berhenti, mereka menyalakan api untuk mendapat rasa hangat dalam keadaan sejuk yang mencengkam.

Empat orang itu berasal dari empat buah negara yang berbeza: Parsi, Arab, Turki dan Yunani. Orang Yunani itu berasal berasal dari Kesultanan Rum. Pekerjaan mereka adalah sebagai buruh kasar. Muncul satu cadangan dalam kalangan mereka, salah seorang menawarkan sedikit wang agar ketiga rakannya dapat membeli apa yang dihajatinya (untuk dimakan pada hari itu).

Si Parsi mencadangkan agar wang itu digunakan untuk membeli anggur. Mendengarkan cadangan tersebut, orang Arab merasa ngeri, kerana apa yang diinginkannya adalah yang lain namanya (iman), walaupun maksud sebenar adalah sama, iaitu anggur.

“Tidak! Aku tidak setuju dengan apa engkau cadangkan, aku lebih suka anggur (uzun), ” kata orang Turki dalam bahasanya.

“Jangan bertengkar”, kata lelaki Rum, dalam bahasa Yunani, “sebaiknya kita semua setuju untuk membeli anggur (istafil).”

Akibat tidak memahami satu sama lain, keempat orang itu bertengkar, seorang yang bijaksana melihat mereka dari jauh dan segera mendekati mereka. Setelah berhasil menjarakkan mereka, orang yang bijaksana itu dapat mengambil kesimpulan, dan mengetahui apa sebenarnya masalah yang dihadapi. Orang bijaksana itu dapat jangkakan, bahawa pertengkaran mereka bukan kerana perkara yang berbeza tetapi kerana istilahnya berbeza menurut bahasa ibunda masing-masing.

Setelah itu, orang bijaksana dapat selesaikan kes, masing-masing sebenarnya mahukan buah anggur. Pemahaman itu membolehkan suasana menjadi tenang kembali dan setiap daripada mereka gembira kerana berjaya memakan buah kegemaran yang sama, tetapi berbeza istilahnya.

Kisah itu terkandung dalam Masnawi II, bait 3668-3679, versi terjemahan Mohd Ajmal Abdul Razak al-Aidrus, 2011:933-934. Kisah itu lebih mudah difahami jika kita membaca versi prosa yang disusun oleh Maryam Mafi dalam “Grapes for Four”, The Book of Rumi: 105 Stories and Fables that Illumine, Delight and Inform (2019:78 ).

Rasa pilu kedua ialah mengenai gejala rasuah yang semakin membarah sehingga sektor keselamatan negara turut menjadi lahan subur yang merosakkan. Ia akan menjadi negara dalam suasana bahaya jika rasuah tidak dapat dibendung apatah jika berkaitan dengan bidang keselamatan negara. Antara yang kencang dibincangkan ialah mengenai “counter setting” di KLIA, tidak amanahnya penjaga pintu masuk negara dengan membenarkan imigran masuk tanpa proses yang sah, dan juga pembangunan projek-projek keselamatan.

Dalam sejarah angkatan tentera, skandal mee Maggie pada suatu ketika dahulu cukup menggemparkan, kemudian diikuti dengan pembelian Skyhawk terpakai yang tersadai, LCS, kapal selam Scorpion dan terbaharu ialah pembekalan keperluan Tentera Darat yang melibatkan Panglima Angkatan Tentera (PAT) sendiri. Jadi, sebab itulah titah baginda mungkin kita lantik sahaja sarjan untuk mengetuai pasukan keselamatan berbanding mereka yang pangkatnya lebih tinggi. Kecenderungan salah guna kuasa dan rasuah cukup besar amaunnya.

Gejala rasuah di Malaysia, nampaknya walaupun diperangi habis-habisan masih belum dapat ditamatkan. Rasuah berlaku hampir di semua peringkat, bahkan di peringkat bawahan ikut menyebabkan undang-undang negara seolah-olah begitu mudah dipermainkan oleh segelintir orang. Apatah lagi bila rasuah dan salah guna kuasa dilakukan oleh pegawai tinggi dan ahli politik yang cekap bercakap mengenai kuasa, penggunaan kuasa, pengekalan kuasa dan memanipulasikan kuasa.

Kalau dahulu, kebanyakan penerima rasuah adalah lelaki, tetapi kini wanita juga ikut terjerumus dalam jenayah yang boleh menghancurkan negara. Kalau dahulu amaun rasuah boleh dikatakan ratusan ribu ringgit tetapi kini menjangkau kepada jumlah yang cukup besar sehingga ratusan juta atau bilion ringgit. Sekarang, jarang kedengaran perihal rasuah dalam bentuk “sedekah seks” tetapi pakej pelancongan mewah masih berlaku. Akibat gaya hidup yang melebihi pendapatan, desakan hidup mewah menjadikan rasuah seperti satu keperluan moden dan semakin membarah.

Ia cukup menarik apabila transaksi pemindahan wang boleh dilakukan dengan mudah secara elektronik, sama ada dimasukkan ke akaun penerima rasuah atau proksi. Rasuah juga berlaku kerana ada keperluan daripada pihak yang inginkan projek yang diuruskan oleh penjawat awam, dan kerana itu muncul pelobi yang menjalankan kerja-kerja tersebut bagi pihak syarikat yang melobi projek. Tentunya ia membabitkan kos, dan kos ini akan meningkatkan lagi harga kontrak.

Tidak kurang juga akibat adanya kerjasama yang dibina oleh kerajaan dengan sektor swasta, di mana projek mula dilaksanakan secara outsourcing. Penjawat awam semakin kurang mahir menetapkan spesifikasi, akhirnya menerima cadangan daripada penyumberluaran. Penyumberluaran ini mempunyai hubungan dengan pelaksana projek. Ia membentuk “lingkaran setan” yang tidak mudah dikesan dengan cepat.

Titah baginda, ” jika awak salah guna kuasa, seleweng dana awam, terima rasuah atau melindungi perasuah, awak adalah pengkhianat negara.” Istilah pengkhianat digunakan cukup tepat kerana salah guna kuasa, rasuah dan seleweng dana awam adalah perilaku yang tidak boleh dimaafkan. Jika di negara China, pelakunya boleh dikenakan hukuman mati (ditembak) dan ahli keluarga pula diwajibkan membayar harga peluru yang digunakan. Tetapi di Malaysia, hukuman paling berat ialah penjara, dan hukuman sedemikian dilihat semakin tidak memadai bagi pembendungan rasuah.

Hukuman denda sebanyak 10 kali daripada nilai suapan tidak menggentarkan hati perasuah. Atas sebab itu perlu dipertimbangkan jika benar-benar mahu hapuskan rasuah, pelakunya wajib dikenakan hukuman mandatori penjara seumur hidup dan setiap aset yang dapat dikaitkan dengan aktiviti terbabit dilucutkan hak. Pemberi rasuah ikut dikenakan dengan hukuman yang sama. Dalam keadaan tertentu, pemberi rasuah di Malaysia masih bebas, tetapi yang dikenakan hukuman ialah penerima rasuah. Kalau penerima rasuah didenda hingga sepuluh kali ganda nilai suapan, pemberi rasuah pula wajib dibatalkan lesen perniagaan dan syarikat atau pemiliknya ikut dikenakan hukuman yang berat, termasuk penjara seumur hidup.

Soalnya sekarang, apakah titah tersebut hanya sekadar amaran dan sejauhmanakah mekanisme pembendungan rasuah akan dilihat semula sebagai satu sistem yang benar-benar memberikan kesan. Apakah kerajaan Madani mempunyai keberanian politik yang benar-benar mampu untuk membersihkan gejala “pengkhianatan” tersebut sehabis upaya tanpa peduli siapakah pelakunya. Untuk tujuan permulaan, bilakah kerajaan Madani benar-benar berani untuk menggubal undang-undang pendanaan parti, yang ikut dilihat sebagai aktiviti ada hubung kait dengan rasuah. Setiap parti politik wajib mengisytiharkan dana yang diterimanya, dan SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat tanpa ada halangan.

KAMARUN KH

 

Translate »