Isu mengembalikan semula dua bentuk penilaian dalam sistem pendidikan, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3 (Penilaian Tingkatan Tiga) semakin banyak diperkatakan hanya kerana melihat semacam ada “kelesuan” yang berlaku.
“Kelesuan” pertama ialah pelajar dilihat cukup “relax” kerana mereka tidak lagi dikejar oleh aspirasi guru, ibu bapa dan komuniti untuk menjadi pelajar cemerlang akademik. Kelesuan itu membawa maksud, sekolah dan seluruh iklim pendidikan tidak lagi dikejar dengan ukuran pencapaian akademik bagi menentukan “segregasi” akademik, yang dikira berdasarkan sama ada jumlah peratus pelajar lulus, cemerlang atau mengecilnya jurang gred purata kebangsaan.
Oleh kerana UPSR dan PT3 sudah dimansuhkan kelihatan guru tidak lagi mengeluh untuk mengejar sukatan pelajaran, melaksanakan latih tubi, mengajar di kelas tambahan (tuisyen) mahupun tertekan untuk mencapai aspirasi “peratus cemerlang akademik”, yakni mengejar tahap sekolah kecemerlangan, kluster dan terbaik (peringkat daerah, negeri dan kebangsaan).
Komuniti turut merasa lesu kerana anak-anak mereka tidak perlu melakukan “drill” yang berpanjangan sehingga kehilangan masa-masa untuk bermain, sosialisasi dan menyerap amalan-amalan terbaik sebagai keperluan untuk hidup dalam lingkaran akidah dan akhlak. Oleh kerana tekanan terhadap peperiksaan, ibu bapa sanggup menghabiskan lebih banyak wang bagi membiayai yuran tuisyen yang dikendalikan oleh pihak swasta atau guru-gurunya sendiri selepas waktu sekolah.
Tekanan terhadap pencapaian akademik itu menyebabkan kelas-kelas tambahan dalam bentuk tuisyen berpusat atau persendirian (home tuition) menjadi begitu subur seperti cendawan selepas musim hujan, sehingga ada kecenderungan guru-guru mula “hilang tumpuan” ketika mengajar di sekolah, walaupun tugas hakiki itu adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Ini kerana mengajar di dalam kelas merupakan tanggungjawab manakala mengajar di kelas tuisyen adalah sebagai “sumber pendapatan tambahan”.
Ketika UPSR dan PT3 menjadi ukuran pencapaian murid, para guru yang sama juga sibuk untuk menempatkan dirinya sebagai “tenaga pengajar” di kelas-kelas tuisyen persendirian mahupun “ke rumah” para pelajar yang mana ibu bapa sanggup membayar walaupun dilihat sesetengah ibu bapa cukup mahal. Kalau di kelas tuisyen mungkin dibayar antara RM 50 hingga RM 100 sejam, manakala di rumah ia kadangkala mencecah RM 150 atau RM 200 sebulan. Bayangkan, kalau seorang guru mengajar kelas tuisyen untuk 20 jam sebulan, ia sudah meraih hitungan antara RM 1,000 hingga RM 1,500 sebulan. Jika bergerak dari rumah ke rumah untuk 10 orang pelajar, ia cukup lumayan boleh meraih sekitar RM 1500 hingga RM 2,000 tambahan sebulan.
Persekitaran itu membawa makna bahawa pendidikan semakin menuju kepada satu bentuk perniagaan, yang hanya menguntungkan segelintir orang bukan kepada negara. Ini kerana hasil pendapatan tambahan tidak pernah diisytiharkan sebagai pendapatan bercukai, kerana ia adalah pendapatan sambilan dan tidak dimasukkan dalam pengisytiharan pendapatan tahunan, yang boleh dikenakan cukai pendapatan. Ia bertransaksi secara tidak rasmi, yakni tanpa baucer.
Akibat pemansuhan UPSR dan PT3 ia membawa makna kepada kelesuan kedua, yakni hilang makna komersial. Ia bukan sahaja hilang sebagai “pendapatan sambilan” kepada para guru, bahkan bagi penerbit buku dan sewaan premis tertentu. Penerbit buku cukup ghairah menerbitkan pelbagai buku kerja yang kononnya dijamin Skor A ataupun mengaplikasikan latihan terbaik yang memenuhi KBSR mahupun KBSM. Apabila ketiadaan UPSR dan PT3 ikut lesu iklan-iklan yang mendabik dada sebagai guru pemeriksa kertas, penggubal soalan, guru pakar subjek dan pusat tuisyen yang berjaya “memandaikan” para pelajar, hanya kerana mengikuti kaedah belajar yang diterapkan dalam kelas di kelas tuisyen kendalian mereka.
Bila UPSR dan PT3 dimansuhkan, tidak lagi kedengaran ada pihak tertentu yang cuba melobi pengurusan sekolah untuk menggalakkan para pelajar menggunakan buku kerja yang diterbitkan oleh syarikat terbabit. Bahkan, pada suatu ketika ada “rekomendasi” oleh persatuan tertentu yang ada kaitannya dengan sekolah dan “perjanjian sulit, yang memberikan komisen jika buku terbabit dibeli oleh para pelajar. Oleh kerana penerbit melihat “pasaran” adalah besar, yakni lebih 400,000 pelajar di peringkat sekolah rendah yang akan menduduki UPSR, jika buku tambahan dapat menguasai sekitar 60 peratus, ia adalah sesuatu yang sangat menguntungkan. Itulah yang menyebabkan tindakan melobi cukup besar, mahu masuk ke sekolah sama ada dalam bentuk penajaan program tertentu mahupun dengan interaksi dengan panitia subjek sekolah, mahupun badan-badan NGO sekolah di peringkat negeri dan nasional.
Ketika ini, beberapa penerbit buku tambahan kelihatan lesu bila dua penilaian itu dimansuhkan dan sangat mengharapkan ia dikembalikan. Guru juga menyokongnya, kerana mereka boleh menghasilkan buku kerja atau buku tambahan berdasarkan pengalaman sebagai guru pakar (subjek) mahupun salah seorang yang terbabit sebagai penggubal soalan peperiksaan dan pemeriksa kertas tertentu, serta berjaya mencetak pelajar yang lulus subjek berkenaan setiap tahun, sehingga dinobatkan sebagai guru terbaik subjek dan sebagainya. Setiap daripada kita cukup mengharapkan, guru terbabit berjaya menjadikan pendidikan dalam kelas “hidup” dan cukup berkesan ketika mengajar.
Jadi apabila cadangan untuk mengembalikan semula dua penilaian tersebut ramai pula yang setuju. Ibu bapa setuju kerana anak-anak mereka akan memberikan perhatian yang lebih baik dalam kelas kerana ingin menjadi pelajar cemerlang. Setiap yang cemerlang ada banyak ganjaran yang menanti. PIBG akan meraikan kejayaan itu sehingga mewujudkan suasana tidak sihat bagi para pelajar yang meraih pencapaian sederhana dan rendah. Ia seolah-olah yang menang dapat semua, yang kalah hilang semua. Mereka yang cemerlang , boleh memohon ke SBP, sekolah terbaik mahupun MRSM. Mereka yang sederhana kekal di sekolah biasa, yang dilihat boleh ikut lesu kerana persaingan antara yang pandai dan sederhana tidak begitu besar.
Apa yang menariknya bila UPSR dan PT3 dimansuhkan, tekanan kepada guru yang mengajar di kelas-kelas berkenaan tidaklah begitu dan kita kurang mendengar lagi kisah guru “burn-out” seperti pada ketika dua ujian itu ada. Kita kurang dengar guru “hilang masa berharga” bersama keluarga kerana tidak ditekan untuk melaksanakan latih tubi dan terdesak untuk mencapai rekod cemerlang yang akan mengubah status sekolah.
Apa pun keputusan KPM nanti, harus mengambil kira pelbagai aspek, dan yang lebih diutamakan ialah kemenjadian murid, bukan sekadar pencapaian akademik, juga sebagai pelajar yang dapat menguasai ilmu pengetahuan, dan lahir sebagai anggota masyarakat yang berjiwa luhur. Itulah sebenarnya apa yang ditekankan dalam konsep pendidikan, menguasai ilmu dan mengubah kehidupan dari materialistik kepada keseimbangan sahsiah dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial serta spiritual.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments