Dalam istilah dialek Kelantan, ada satu istilah yang mencerminkan berapa seseorang itu berfikir dalam keadaan tidak berpijak kepada realiti sosial, budaya dan agama. Istilah itu ialah ‘khoya”, yang boleh ditelusuri dalam istilah bahasa Melayu menjurus kepada aktiviti berkhayal.
Maaf, saya tidak meremehkan nama keluarga LATHEEFA, yang sebutannya hampir sama, tetapi yang hendak saya gambarkan betapa tidak berpijaknya realiti sosial, budaya dan agama apabila beliau mengecam kenyataan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) yang bakal (mungkin) mengambil tindakan terhadap salah seorang daripada trio kumpulan penyanyi wanita tempatan, DOLLA.
DOLLA adalah sebuah kumpulan nyanyian yang ditubuhkan oleh Universal Music pada tahun 2019 dengan menggabungkan empat orang penyanyi berbakat, setelah dilakukan “ujian bakat”: Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo); Tabitha Ariel Lam Lianne (Tabby); Angelina Chai Ka Ying (Angel); dan, Norsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya). Bagaimanapun, pada tahun 2024, Syasya meninggalkan kumpulan tersebut setelah berkahwin, maka tinggallah mereka sebagai kumpulan trio (bertiga).
Universal Music Malaysia yang menaungi mereka cuba membentuk ciri kumpulan itu dengan meniru K-Pop, R&B dan sedikit genre hip-hop. Kumpulan ini menjadi popular setelah berjaya meluncurkan single pertama pada tahun 2022 dengan judul “Dolla Make You Wanna”. Lagu-lagunya mendapat perhatian ramai dan sering disiarkan melalui stesen-stesen radio tempatan, dan platform media sosial.
Kontroversi mula muncul apabila Syarikat Universal Music Malaysia memuatnaik klip video promosi single terbaharu DOLLA yang berjudul “Question” di pelbagai platform digital. Ia menjadi kontroversi bukan lagu itu, tetapi ekspresi seni yang cuba ditonjolkan sebagai “daya tarik visual” terhadap lagu tersebut. Ekspresi seni yang dimaksudkan ialah selain berpakaian seksi, lebih separuh “lucah” dalam pengertian etika berpakaian masyarakat Islam, ia juga menunjukkan satu sisi seolah-olah Sabronzo, salah seorang penyanyi wanita yang beragama Islam hampir “menanggalkan” tali baju dalamnya di bahagian belakang.
Tindakan tersebut bukan sahaja keterlaluan perilaku, bahkan seolah-olah cuba membudayakan seni melampau yang sepatutnya dijaga dengan penuh rasa hormat oleh seorang wanita beragama Islam. Sabronzo yang kini berusia 30 tahun merupakan anggota tertua dalam trio berkenaan, yang kesemuanya adalah generasi milenium yang lahir di Kuala Lumpur. Dua lagi anggota DOLLA, Tabby (25) dan Angel (24) adalah bukan Islam.
Ekoran klip video promosi berkenaan, masyarakat Islam mula mempersoalkan kewajarannya kerana sepatutnya kumpulan trio DOLLA lebih memahami sensitiviti masyarakat dan tidak hanyut dalam ekspresi seni versi barat mahaupun K-Pop, yang cuba dibangunkan dalam kalangan aktivis industri seni tempatan. Kita pernah suatu ketika menolak klip video “terlucut tali bra” yang dipakai oleh Janet Jackson ketika beraksi di pentas. Tetapi, ketika itu, bantahan hanya sekadar bantahan kerana Janet Jackson bukanlah rakyat tempatan dan beragama Islam.
Sabronzo adalah penganut Islam sejak lahir (7 Mac 1995), sepatutnya cukup tahu batas aurat yang perlu dijaga dan tidak dikorbankan dalam erti kata ekspresi seni. Tentunya, klip video itu bukan arahan mereka sendiri, tetapi diarahkan oleh orang lain yang dianggap kreatif dan punya sentuhan magik seni, maka itulah yang mungkin dilakukan oleh Sabronzo, termasuk menggunakan kostum yang mencolok mata.
Pihak Universal Music Malaysia mengambil keputusan untuk menarik balik klip video tersebut setelah mendapat kritikan tajam daripada masyarakat (rujuk:.https://share.google/zSY45sbeBsiHKJjh7). Kerosakan sudah pun berlaku, ia tidak bermakna penarikan balik klip video tersebut dapat memadamkan impaknya. Kita mungkin teringat kepada satu insiden yang berlaku apabila seorang wanita Islam membuka pakaian yang sopan ketika beraksi di pentas dalam persembahan stand-comedy pada suatu ketika, di sebuah kelab hiburan di Damansara, Kuala Lumpur (rujuk: https://www.bharian.com.my/…/jawi-siasat-persembahan…).
Bila terperangkap, dia akhirnya mengakui bukan seorang yang jahil, katanya sudah menghafal lima juzuk al-Quran. Akhirnya, wanita yang sedang berpasangan dengan salah seorang anak pemilik kelab hiburan tersebut dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan “menghina Islam” dengan mendedahkan aurat yang sepatutnya dihormati sebagaimana digariskan dalam etika berpakaian menurut Islam. Tidak menjaga kesucian diri sebagai wanita Islam.
Aurat seorang wanita ialah menutupi seluruh anggota badannya, kecuali bahagian muka dan pergelangan tangan. Bagaimanapun, wanita dibolehkan berpakaian seksi atau tidak berpakaian langsung ketika mandi di bilik tertutup dan ketika berdua-duan dengan pasangan muhrimnya, ditempat yang tertutup, kedap pandangan bukan mahram. Ini bermakna, secara moral dan obligasi agama, Sabronzo sudah pun melakukan kesalahan, yang boleh didakwa atas kesalahan melanggar syariat. (Rujuk: https://share.google/VMDdMhBHIbiF7e8uY).
Itulah yang sedang dipertimbangkan oleh Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) bukannya bertujuan mengugut sebagaimana difahami oleh bekas Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya (rujuk: https://share.google/0D3ZOZ7uzTHMYP5FD). Beberapa insiden terdahulu tidak pula disentuh oleh peguam tersebut, walhal jika Sabronzo didakwa, ia bukan dakwaan pertama yang berlaku dalam kalangan wanita Islam kerana berpakaian mencolok mata di khalayak awam atau di atas pentas atau di platform media sosial untuk tontonan umum.
Ertinya, dakwaan Latheefa Koya sebagai “mengugut” dengan dakwaan melanggar syariah itu adalah dalam keadaan “KHOYA” kerana beliau cuba menolak apa sahaja perkara yang dikategorikan sebagai pelanggaran etika berpakaian seorang wanita Islam, walhal, beliau sendiri dari imej yang ditunjukkan dan namanya mencirikan agama yang diyakininya. Nampaknya, secara jelas Latheefa Koya “khoya” dengan nilai-nilai kebebasan yang merosakkan akidah dan moral masyarakat. Islam hadir untuk membaiki akhlak manusia, sebab itulah akhlah merupakan tiang kehidupan yang cukup integral dalam Islam. Tanpa akhlak, integriti seseorang akan terlucut dalam cara hidup seorang Muslim.
Beliau seolah-olah sedang berada dalam (kembali) mentaliti “jahiliah”walaupun ketahui bahawa Islam sangat menekankan maruah wanita, bukan terlalu murah sehingga tidak segan silu mempamerkan asetnya di khalayak ramai seperti artis barat yang sudah terhasut dengan nilai-nilai kapitalisme, eksploitasi apa sahaja asalkan meraih jumlah penonton yang tinggi, berselindung pada kerangka kebebasan dan hak asasi. Syariah tidak menyekat hak asasi, tetapi cuba meletakkan hak itu dalam konteksnya yang betul dan adil, bukan di atas kepentingan komersial.
Kebebasan ada had dan batasannya.
Dalam komen tersebut (rujuk:https://www.malaysiakini.com/news/760926) Latheefa berkata: “Na’im tidak seharusnya membuat “ugutan” sedemikian, sambil menambah bahawa menteri tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau mendakwa rakyat.” Memang benar, kuasa mendakwa atau menyiasat tidak ada pada menteri, tetapi beliau merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal umat Islam dan agama Islam sebagaimana diperuntukkan dalam peraturan negara.
Jadi, Menteri bukan “mengugut”, sebaliknya berusaha memperbetulkan keadaan agar ia tidak menjadi barah yang akhirnya membawa kepada krisis moral umat Islam dan merosakkan akidah yang menjadi tiang agama. Menteri bukanlah “Justice Bao”, tetapi mempunyai prerogatif untuk mengarahkan sesuatu siasatan dilakukan oleh pihak yang diberikan peranan sebagai penyiasat bagi pembendungan salah laku, berdasarkan peruntukan undang-undang. Hasil siasatan wajib diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dipertimbangkan dakwaan, jika hasil siassatan itu memadai untuk dituduh melanggar undang-undang.
Jadi, jika diarahkan oleh beliau untuk menyiasat, bukan bererti mengugut, ia adalah satu langkah yang sepatutnya dibuat, yang mungkin akan berakhir dengan penyelesaian terbaik, sama ada didakwa atau sekadar memadai dengan nasihat atau teguran ke atas Sabronzo. Kita tahu, ada banyak kes yang hanya berakhir dengan nasihat dan ada juga berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.
Tentunya, pelaksanaan berdasarkan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Apakah bila seseorang yang mencuri didakwa atas kesalahannya, diminta membuktikan “tidak salah” dalam konteks “natural justice” itu dianggap mengugut? Jika inilah persepsi yang hanya muncul, maka budaya melanggar undang-undang akan menjadi satu bentuk normalisisasi, maka tunggulah kehancuran budaya dan kehidupan beradab. Dunia akan jadi kacau dan rukun kehidupan sudah tidak dipedulikan lagi, kerana semuanya mendakwa, saya berhak melakukan apa sahaja yang saya mahu, kerana itulah kebebasan dan hak asasi saya.
Satu lagi istilah yang digunakan oleh Latheefa Koya yang “khoya” ialah: “Dia, (Na’im) juga telah menjejaskan hak asasi Wan Sabrina (Sabronzo) untuk siasatan dan perbicaraan yang adil”. Nampaknya, Sabronzo belum lagi disiasat, hanya diusulkan agar disiasat sudah dikatakan seolah-olah dinafikan haknya sebagai seorang perempuan. Siasatan belum bermula, maknanya Sabronzo belum disiasat.
Jika disiasat, ia bukan bermakna terus didakwa, maka tidak munasabah untuk menganggap cadangan itu sebagai “pembicaraan yang tidak adil’. Sabronzo belum lagi dituduh, bermakna belum dihukum, bukan direnggut haknya untuk membela diri.
Sepatutnya, sebagai seorang peguam, Latheefa cukup mengetahui bahawa ada langkah yang wajib diikuti, dan Menteri bercadang untuk melakukan prosesnya, bukan terus menghukum. Jawabnya, Latheefa lebih lajak daripada perahu yang hendak didayungnya sendiri. Terlalu “khoya”.
Menteri hanya berkata: “…pakaian kumpulan itu sebagai tidak sesuai dan tidak menghormati sensitiviti budaya dan agama, serta mencadangkan untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang syariah terhadap ahli kumpulann yang beragama Islam.
“Dari sudut tindakan itu, kita akan lihat (terlebih dahulu) kalau ada pelanggaran kepada mana-mana peraturan, enakmen dan jenayah syariah…tindakan jenayah syariah dalam penelitan kita.” Nah, sepatutnya Latheefa tidak terlebih “khoya”; lihat dulu perkembangannya sebelum berkhayal tanpa pautan asas dan kejituan langkahnya.
Jika Sabronzo didakwa, ia bukan bermakna meledaknya amalan misogini dalam masyarakat, sebagaimana Latheefa katakan: “…kecaman terhadap kumpulan itu mencerminkan obsesi pihak tertentu yang tidak menyenangkan terhadap kesucian wanita, sambil mengabaikan sikap misoginis yang berbahaya dalam masyarakat.” Apa yang menimbulkan budaya misoginis? Sepatutnya, Latheefa boleh memberikan penjelasan yang memadai, sebelum menuduh ada “obsesi pihak tertentu yang tidak menyenangkan terhadap kesucian wanita.” Bukankah ada kes wanita sendiri yang mencirikan budaya misoginis? Wanita mengkhinati “kesucian wanita” sendiri?
Sekali lagi Latheefa “khoya”, apabila tidak dapat melihat kenapa budaya misoginis muncul dalam masyarakat? Tentunya, jika kita mengkaji kenapa ramai manusia memandang “jelek kepada wanita” sedangkan Islam cuba meletakkan “kesucian wanita” di kedudukan terbaik, dan posisinya yang sebenar. Menteri agama mencadangkan langkah itu kerana ingin mengembalikan “kesucian wanita” bukan terlalu meleburkan diri dalam kancah kapitalisme budaya dan strategi pemasaran yang merosakkan wanita itu sendiri.
Demi wang, wanita sudah terlalu lepas laku untuk dieksploitasi walaupun apa yang dikomersialkan itu tidak ada kaitan langsung dengan wanita. Demi wang, semuanya boleh dikorbankan, termasuklah nilai-nilai agama itu sendiri. Ia bukan menjadi tugas Menteri semata-mata, ia adalah tugas setiap orang yang menyahut dan mengakui dirinya sebagai seorang Islam.
Sebahagian seruan-seruan jihad, bukan menurut istilah sekarang, “kepoh atau kekwat” atau menjaga tepi kain orang. Kalau tidak ada orang lain menegur dan boleh menegur, jadilah kehidupan ini seperti batu yang bernyawa. Hidup tanpa adat dan adab. Sedangkan dalam kehidupan beradab, tegur menegur, reward and punishment terus berlaku sejak permulaan peradaban lagi. Jangan pula Latheefa termasuk dalam sindrom Goliath sebagaimana dikatakan oleh Luke Kemp (Goliath’s Curse, 2025).
Allah berfirman: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal sholeh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebebasan serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-Asyr:1-3)
Seorang Islam sentiasa terpanggil untuk menyatakan sesuatu, menegur dan menasihati sekiranya apa yang dilihatnya secara jelas salah dengan tujuan memperbetulkan kesilapan, bukan “khoya” sehingga akhirnya menerima nasib malang seperti labu yang dinaiki oleh tikus, dan sedikit sebanyak yang Latheefa khayalkan itu menjurus kepada tabie tikus membaiki labu.
Kata seorang ahli falsafah Perancis-Austria, Andre Gorz (1923-2007): ” Kapitalisme menjadikan kita sibuk bekerja membuatkan kita lupa menanyakan apa tujuan hidup.” Ertinya, kapitalisme menyebabkan manusia hilang asas kemanusiaan, kerana segalanya diukur atas pemenuhan material dan penyingkiran susila.
KAMARUN KH
Recent Comments