Tok Kenali atau Muhammad Yusof (nama timang-timangan beliau ialah Awang) dilahirkan di Kenali pada tahun 1868 Masehi. Beliau mempunyai pertalian yang rapat dengan pertumbuhan system pengajian pondok yang terdapat di negara ini amnya dan di Kelantan, khususnya. Pesanan beliau yang cukup terkenal di kalangan anak-anak murid yang datang ‘mengaji’ dari setiap pelosok negara termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Selatan Siam: “Belajar rajin-rajin” dan “balik buka pondok!”

Beliau dianggap wali kerana dianugerahkan oleh Allah pelbagai karamah seperti berjalan dipermukaan air, dapat berada di banyak tempat dalam jangka masa yang singkat, mempunyai mulut yang masin (berlakunya beberapa perkara setelah dikatakan oleh beliau) dan juga dapat mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seperti kedatangan Jepun dan peristiwa banjir besar. Beliau meninggal dunia dalam usia 65 tahun pada 19 November, 1933.

TENAGA PENTING MAJALAH “PENGASUH”

Beliau merupakan tokoh penting di sebalik penerbitan majalah “Pengasuh” di samping pernah menjadi Ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (Dewan) Ulama. Beliau pernah belajar selama 17 tahun di Makkah dan 5 tahun di Mesir. Beliau membuka dua buah pondok di kampung kelahirannya di Kenali, dalam jajahan Kota Bharu. Di sinilah beliau berjuang, mengasuh dan mendidik anak-anak muridnya hingga melahirkan banyak tokoh agama, yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Di samping mengajar, Tok Kenali juga aktif dalam penulisan.

GANDINGAN ULAMA DAN UMARA

Sebagai Ahli Majlis (Dewan) Ulama, Tok Kenali juga turut terlibat dalam pemerintahan negeri. Beliau telah membantu menyusun undang-undang tubuh Majlis Agama dan adat Istiadat Melayu Kelantan. Tok Kenali juga terlibat menggubal Kanun Tanah Negeri yang meliputi persoalan pembahagian harta pusaka menurut syariat. Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar) Kelantan ketika itu diketuai sahabatnya, Haji Nik Mahmud bin Ismail sering berbincang dan mendapatkan pandangan daripada Tok Kenali dalam banyak perkara pentadbiran. Beliau pernah bertanyakan Tok Kenali berhubung dengan cara untuk memajukan Bandar Kota Bharu. Tok Kenali mencadangkan agar membina banyak sekolah supaya dengan usaha itu akan wujud banyak kedai, bangunan-bangunan dan Bandar Kota Bharu akan maju. Cadangan itu kemudian dilaksanakan dengan penubuhan banyak sekolah agama dan sekolah kebangsaan. Sultan Ismail, turut menghormati Tok Kenali. Bagindalah yang memerintahkan Tok Kenali menterjemah kitab induk Imam Syafie iaitu Kitab Al-Umm dan kitab tafsir Al-Khazan.

MENGAJAR DI MASJID MUHAMMADI

Selain mengajar di Pondok Kg. Paya di Kenali, Tok Kenali juga mengajar di Masjid Muhammadi. Selepas kematian ibunya, Tok Kenali berpindah mengajar sepenuh masa di Masjid Muhammadi, atas permintaan Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar). Sejak itu, pondok-pondok kecil didirikan dengan banyak di sekeliling masjid itu, yang didiami pelajar-pelajar yang datang serata negeri di Tanah Melayu (Malaysia). Masjid Muhammadi menjadi pusat pengajian pondok tertinggi dan termasyhur ketika itu.

TOK KENALI
1868 – Dilahirkan di Kg. Paya, Kenali, Kelantan
1886 – Belayar ke Makkah untuk menuntut ilmu
1908 – Pulang ke Kelantan untuk mengajar agama
1916 – Membantu menyusun undang-undang tubuh MAIK
1918 – Mengetuai penerbitan majalah Pengasuh
1933 – Meninggal dunia

Susunan oleh Umar Luqman

Translate »