Guru bersara awal dan pemansuhan dua peperiksaan berpusat -UPSR dan PT3 atau sebelumnya PMR – bukan satu perubahan mendadak dan dilaksanakan secara tidak ada kajian yang mendalam. ( “Isu guru bersara awal, pemansuhan dua peperiksaan perlu kajian teliti”, Berita Harian, 11 September 2025).
Jika Dr Mohd Nor Yazid mengatakan itu adalah puncanya, ia merupakan satu kesilapan besar kerana kesimpulan yang dibuat tidak merupakan dapatan daripada kajian mendalam sebagaimana beliau berhujah.
Guru bersara awal bukan kerana perubahan sistem yang cepat dan kajian mendalam, tetapi ia adalah kaitan kecintaan guru itu sendiri dengan hakikat ilmu. Seseorang yang meminati dunia pendidikan dia akan terus kekal dan kental bersemangat kerana mendidik itu adalah kerjaya yang memerlukan dedikasi, kesabaran dan keikhlasan.
Perlu kita fahami, kenapa lebih ramai wanita menceburi bidang pendidikan berbanding lelaki. Kenapa setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, begitu ramai yang memohon menjadi guru. Apakah kerana minat atau kerana memikirkan jaminan kerja, maka dipilihlah kerjaya tersebut walaupun tahu, seseorang yang berkelulusan pendidikan daripada universiti sukar menggunakan ijazah untuk memohon bidang kerja bukan pendidikan, kecualilah mereka yang ada pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu (misalnya kejuruteraan, pengajian perniagaan, automotif dan sebagainya).
Antara sebab kenapa guru memohon bersara awal kerana pilihan kerjaya itu tidak seindah mimpi. Saya katakan begitu apabila saya mendapat beberapa jawapan daripada guru, walaupun jawapan tersebut tidak mewakili kesemua guru yang memohon bersara awal. Kebetulan, jawapan-jawapan bukan berdasarkan kajian, tetapi ia tetap memberikan kita gambaran dalam bentuk anekdot.
Sebab pertama ialah menjadi guru bermakna perlu akur dengan syarat perkhidmatan dan ini menjadi hak cukup besar untuk kita fahami. Seseorang kadangkala inginkan ditempatkan di negeri asal mereka, walaupun secara realitinya, guru diperlukan untuk mengisi sesuatu kekosongan yang berlaku, sama ada di bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman. Sistem penempatan guru adalah berdasarkan keperluan sekolah dan pengkhususan (option).
Itulah menjadi kekecewaan kerana sebahagian besar guru mahu ditempatkan di sekolah yang paling hampir dengan kampung halaman, dan setelah berkahwin, boleh berpindah dengan mudah ikut di mana suami atau isteri bekerja. Semakin sehari semakin sukar untuk memenuhi tuntutan peribadi atau keluarga, akhirnya mereka yang dijadikan sebagai seorang guru mengambil keputusan untuk bersara awal atas tekanan keluarga, juga tekanan sosial.
Tekanan sosial berlaku atas pelbagai faktor termasuklah jika ditempatkan di kawasan bandar, situasi cukup berbeza. Begitu juga harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, cabaran persekitaran dan juga disiplin para pelajar. Ia menjadi cukup tertekan apabila ibu bapa lebih “pandai” daripada guru sehingga menganggap dirinya lebih guru daripada guru. Guru adalah manusia biasa, guru juga ada kekurangan sebagaimana ibu bapa ada kekurangan.
Sistem dan nilai itulah sepatutnya menjadi faktor yang saling melengkapi dan kerana itu pemuafakatan guru dan ibu bapa adalah tunjangan penting dalam kemenjadian murid. Kemenjadian murid inilah yang menjadi tujuan dan hasil daripada sistem pendidikan, bukan hanya untuk memenuhi kehendak pasaran sebagaimana sistem pendidikan sentiasa dikambinghitamkan.
Memang perlu sesuatu sistem pendidikan mengalami perubahan kerana ilmu dan penemuan baharu sentiasa berlaku, termasuklah sistem penilaian berasaskan peperiksaan mahupun kriteria guru cemerlang. Namun, pernahkah Dr Mohd Nor membuat analisa tentang hasil peperiksaan berpusat yang dikatakan dimansuhkan tanpa kajian teliti? Apakah bila seseorang murid tidak mencapai tahap minimum peperiksaan berpusat itu juga menggambarkan kegagalan sistem pendidikan? Seharusnya tidak hanya melihat berapa ramai yang mencapai keputusan cemerlang setiap tahun. Apakah akan dirasai oleh pelajar yang berprestasi rendah dan sederhana apabila sekolah meraikan mereka yang cemerlang.
Dalam dunia realiti, mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang rendah dan sederhana inilah lebih ramai berjaya dalam kerjaya masing-masing sedangkan yang berkelulusan cemerlang biasanya menjadi guru, pensyarah dan pengkaji (researcher) yang bergelumang dengan teori (Robert Kiyosaki, Why “A” Students Work for “C” Students, 2012).
Sejak UPSR diperkenalkan, pada asasnya ialah untuk menguji penguasaan 3M – menulis, membaca dan mengira – dalam sistem Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), setiap tahun tidak kurang 10 peratus pelajar yang gagal total. Jika diambil dan dicampur jumlah yang gagal separuh, maka peratusnya adalah lebih besar.
Begitu juga ketika dilaksanakan PPSMI atas kehendak PM ketika itu, jumlah yang gagal semakin besar kerana tidak menguasai bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bukanlah bahasa ibunda, maka alternatifnya pelajar boleh membuat pilihan kerana soalan dan jawapan turut disediakan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar, maka sejak PPSMI dilaksanakan, data keputusan peperiksaan tidak menunjukkan ada peningkatan dalam penguasaan bahasa ilmu itu.
Sebab itulah ada cadangan untuk menghaluskan dua peperiksaan tersebut. Ada analisis siri data yang dibuat oleh para pakar dan pengurusan pendidikan di KPM. Cadangan untuk memansuhkan peperiksaan itu lama dibangkitkan dalam pelbagai forum, termasuk dalam kalangan pakar pendidikan sendiri yang melihat, para pelajar seumpama “tikus makmal” kepada perubahan kurikulum.
Perubahan kurikulum bukanlah berlaku semalaman, ia memerlukan satu pusingan. Sebelum diperluaskan secara universal, kurikulum itu dilaksanakan program rintis. Itulah proses yang perlu difahami, satu pusingan untuk sekolah rendah mengambil masa enam atau tujuh tahun.
Namun tidak bermakna di sela-selanya tidak berlaku penambahbaikan, penambahbaikan berlaku sepanjang masa, dan ia memerlukan kreativiti guru untuk menterjemahkannya di dalam kelas semasa mengajar. Itulah yang diharapkan berlaku. Tidak kurang juga guru yang menterjemahkan kurikulum kepada bahan pengajaran dan pembelajaran melihat ianya sebagai satu beban.
Tentunya, dalam usaha untuk memahami sesuatu orientasi, ia memerlukan latihan semula, yang bagi setengah guru dilihat juga sebagai satu beban. Inilah apa yang boleh dipanggil sebagai sindrom kasut baharu. Oleh kerana sudah terlalu selesa dengan kasut lama, kasut baharu tidak dipakai dengan kerap akan melecet.
Situasi itu akan berlaku lagi setiap kali berlakunya perubahan orientasi. Bayangkan jika ia berlaku setiap tujuh atau sepuluh tahun, setiap orang akan merasakan sindrom sekurang-kurangnya tiga atau empat kaki dalam tempoh perkhidmatannya sebagai guru. Tidak semua guru bersedia pada perubahan itu, kerana menganggap diri cukup selesai dengan nilai-nilai lama.
Sepatutnya Dr Mohd Nor mengambil contoh bagaimana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dikerangkakan. PPPM melihat pelbagai pihak dan pelbagai kajian, selain libat urus yang cukup dapat dianggap mewakili pemegang taruh, namun pelaksanaannya ikut berhadapan dengan rintangan dan tentangan. Ada pihak cuba menjadikan PPPM sebagai serangan bersifat politik dan perkauman, sehingga beberapa ketetapan yang dibuat tidak dapat mereka terima, dan perlukan penyesuaian.
Setiap daripada kaum mentafsirkannya berdasarkan kepentingan sosiobudaya masing-masing sehingga kerangka yang dibentuk dengan baik itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Kita juga boleh melihat kepada asas yang sama apabila ada pihak menolak Dasar Pelajaran Kebangsaan hanya kerana berpengantarkan bahasa Melayu sepenuhnya. Juga mengenai pembinaan surau di sekolah-sekolah kebangsaan sehingga disalahfahami sebagai proses Islamisasi ke atas pelajar bukan Islam.
Begitu juga dengan pengenalan semula tulisan jawi sebagai sebahagian kecil dalam kurikulum pendidikan Bahasa Melayu, ribut bukan sekampung, ributnya sampai dari Perlis hingga ke Sabah. Itulah seharusnya apabila dasar dan program pendidikan dipolitikkan, walaupun ada menteri yang dilantik bukan dalam kalangan politikus.
Pernahkah Dr Mohd Nor melihat kepada permasalahan dua peperiksaan itu sebagai satu “malapetaka” bagi segelintir pelajar? Pernahkah beliau membaca ada laporan pelajar murung kerana tidak mampu memenuhi aspirasi ibu bapa yang sangat mengharapkan anak-anaknya cemerlang dalam peperiksaan sejak dini lagi? Bukankah ada kejadian bagaimana ada pelajar yang cuba bunuh diri kerana bimbang tidak dapat memenuhi aspirasi ibu bapa menguruskannya? Begitu juga dengan “kesukaran” dan dukalara yang dialami oleh guru kerana terpaksa menghabiskan bahan pengajaran dalam tempoh tertentu dan perlu diadakan pelbagai kelas tambahan, latih tubi dan ujian-ujian yang kerap bagi meningkatkan prestasi sekolah.
Prestasi sekolah diukur secara mutlaknya daripada berapa ramai pelajar yang meraih semua A, sedangkan matlamat sebenar pendidikan ialah kemenjadian murid. Pada tahun-tahun 1970-an, aspirasi ibu bapa ialah untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai “orang yang berguna”; bukan sebagai pelajar cemerlang. Jika anaknya cemerlang, ia adalah bonus. Sebab itu ibu bapa tidaklah seego ibu bapa sekarang, kerana ibu bapa sekarang sangat merasakan dirinya lebih baik daripada guru yang dilatih dengan psikologi dan pedagogi.
Jika KPM dan KPT dipisahkan, ia adalah sesuatu yang wajar. Ia wajar kerana dua entiti itu mempunyai orientasi yang berbeza. KPM menguruskan murid-murid yang “belum cerdik” dan bermula dengan murid yang masih belum pandai baca, tulis dan mengira dengan betul.
KPT hanya mengambil pelajar yang sudah pandai, yang sudah tahu asas menguruskan kendiri, dan yang sudah lulus ujian-ujian tertentu. Walau bagaimanapun, KPM tetap merupakan “feeder” kepada KPT, jadi antara dua entiti itu perlukan kerjasama yang erat, bukan seumpama enau dalam belukar. Tetapi, kita perlu faham bahawa sekolah atau universiti “bukan kilang” mengeluarkan tenaga pekerja sebaliknya, pengetahuan dan kemahiran yang ada itu perlu dilaras semula untuk kepentingan industri itu sendiri.
Jadi, pemansuhan dua peperiksaan awam di peringkat awal itu adalah sesuatu yang wajar, kerana sistem pendidikan antarabangsa juga tidak melakukan hal yang sama. Jepun tidak mensyaratkan pelajar sekolah rendah dan menengah rendah menduduki peperiksaan, sebaliknya mereka diuji secara berpusat dalam tempoh sepuluh atau sebelas tahun bersekolah. Ertinya, SPM merupakan peperiksaan pertama secara universal di seluruh dunia, yang hakikatya berbeza sebagai “O Level” ataupun peperiksaan sekolah menengah.
Jadi tidak benar bahawa pemansuhan dua peperiksaan awam itu sebagai langkah yang tidak dilakukan berdasarkan kajian mendalam. Begitu juga dengan sebab-sebab kenapa guru bersara lebih awal, ia bergantung kepada pelbagai faktor termasuklah faktor peribadi, keluarga, sosial, ekonomi, kesihatan dan minat terhadap kerjaya pendidikan.
Bagi saya, guru bersara awal adalah pilihannya sendiri dan perubahan orientasi dalam sistem pendidikan bukanlah punca utama pilihan tersebut. Ada faktor lain yang lebih besar, seperti dikatakan “semakin hilang minat” dan tentunya minat itu hilang disebabkan melihat kerjaya lain lebih hebat dan memberikan manfaat yang lebih besar. Namun, bagi seseorang yang berjiwa pendidik, selagi mampu menyumbang, ia akan tetap melihat kerjaya guru adalah yang terbaik dan sesuai dengan nuraninya.
MONOSIN SOBRI
_____________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments