Rumah mewah mereka (Ahmad Sahroni, Eko Patrio, Nafa Urbach, Sri Mulyani dan Uya Kuya) akhirnya bersih isi dalamnya digotongroyongkan oleh perusuh tanpa pedulikan hukum dan perintah agama. Apa sahaja yang mereka rasakan berharga, diambil dan dibawa keluar tanpa rasa bersalah.
Ada pula kisah membahagi-bahagikan wang kepada orang awam, daripada wang berjaya diambil dari sebuah rumah mewah milik Crazy Rich Tanjung Priok (Ahmad Sahroni) yang dikatakan sudah berlepas ke Singapura (29 Ogos 2025) menggunakan sebuah pesawat peribadi. Ahmad Sahroni memberikan kat yang memicu rasa marah dan benci terhadap mereka yang mencadangkan agar DPR dibubarkan. Katanya, mereka yang mengeluarkan gesaan itu sebagai “orang tolol sedunia” (22 Ogos 2025). Akhirnya, walaupun meminta maaf, ia benar-benar menyebabkan seluruh keluarganya menjadi “tolol“.
Deretan kenderaan mewahnya di rosak. Patung berharga jutaan rupiah dibawa keluar. Beg tangan berjenama mewah milik isterinya dirampas. Kolam renang digunakan untuk menyejukkan rasa marah manakala turut dirampas ialah simpanan wang tunai.
Ada juga cerita, bukan barangan mewah, lukisan berharga, pakaian berjenama seluar dalam pemilik rumah yang digelidah juga diturut dirampas. Kucing kesayangan keluarga turut dibawa pergi, yang tentunya akan mengalami pelbagai kejutan sepanjang “masa penculikan” itu.
Kalaupun kemarahan atas kata-kata dan perbuatan, ia tidak sepatutnya mengambil apa yang bukan hak dan membakar rumah-rumah mewah milik mereka. Tindakan itu bukan sahaja dianggap anarkisme, ia juga membawa kepada makna melaksanakan tanpa alasan yang logik, dan boleh dianggap zalim dan gila.
Kalau pun benci kerana mereka kaya mendadak setelah menyertai politik, desaklah agar hukuman dikenakan ke atas mereka seandainya harta itu diraih secara tidak halal atau melanggar undang-undang. Orang ramai yang merusuh bukanlah ada autoriti untuk bertindak balas atau menghukum. Kerana itu, selepas ini akan ada beberapa tangkapan yang akan dibuat kerana Prabowo sudahpun memberikan mandat, perlu diambil tindakan berdasarkan undang-undang dengan tegas tanpa terkecuali.
Apa pun yang berlaku, ia sudah tidak boleh dikembalikan sebagaimana sebelumnya. Kerosakan sudah nyata, namun yang lebih memeritkan ialah kepercayaan masyarakat luar tentang masyarakat Indonesia. Tentunya, Indonesia akan mengambil masa yang lama untuk menyakinkan semula pelancong. Ia akan menyebabkan industri pelancongan Indonesia turut terjejas.
Walaupun asalnya bukan ditunjangi oleh mana-mana yang bersifat politik seperti tindakan untuk menjejaskan reputasi Jokowi di akhir pentadbirannya. Jokowi yang dipanggil tukang kayu sebenarnya berjaya meletakkan Indonesia sebagai sebuah ekonomi terbesar dan bakal menjadi kawasan pertumbuhan yang menggerunkan Malaysia, Thailand dan Vietnam.
Tetapi oleh kerana ada kebencian melulu, usaha yang dibuat untuk menafikan kelulusan akademiknya, hoak yang tersebar luas menjadikan Indonesia penuh dengan kemelut. Ketika itu, Jokowi menyusun strategi dan akhirnya setelah penyerangnya kehabisan modal, beliau mempertimbangkan untuk membawanya kepada pertimbangan hukum. Ertinya, siapa yang menabur angin akhirnya akan menuai badai.
Biarpun dijawab dengan jelas oleh pihak universiti tempat di mana Jokowi belajar, masih ada segelintir manusia yang sakit hati; mereka mahukan Jokowi tidak meninggalkan legasi politik. Mereka mahu “bunuh” Jokowi kerana Jokowi bekerja untuk menjadikan Indonesia lebih maju dan tidak hanya sekadar diperlukan sebagai pengeksport bahan mentah.
Jokowi bertindak menghapuskan korupsi, juga membina industri hiliran dan kerana itu, ada pihak secara halus menaja kitaran benci terhadapnya. Jokowi menggunakan ikhtiar, Indonesia perlu membina industri hiliran, maka itu menyebabkan segelintir oligarki marah, kerana ada di antaranya tidak berupaya membangunkan industri hiliran walaupun memiliki kawasan lombong dan pertanian yang luas.
Berbeza dengan Prabowo. Beliau dilihat “tunduk” dengan permainan buku Trump sehingga bersetuju untuk memberikan konsesi bahan mentah yang cukup diperlukan seperti REE dan tembaga. Jokowi, pada suatu ketika tidak membenarkan iPhone memasuki pasaran Indonesia selagi pengeluarnya tidak melabur sama ada sebagai pusat penyelidikan dan mahupun pengeluarnya. iPhone difabrikasikan di China dan kemudian beralih ke India.
Indonesia juga merupakan pengeluar minyak ke-10 dunia tetapi negara itu terjerat dengan permainan oligarki, minyak fieskport manakala untuk kegunaan domestik, ia diimport. Ini menyebabkan harga petrol di Indonesia lebih tinggi daripada Malaysia walaupun bukan berada dalam kelompok OPEC. Untuk itu, Indonesia dikhabarkan rugi berbilion ringgit dan oligarki terus melonjakkan kekayaan peribadi. Khabarnya, salah seorang yang didakwa terbabit masih sembunyikan diri di Malaysia.
Rusuhan yang berlaku sejak 25 Ogos lalu (https://www.facebook.com/share/v/1D4JLzHQxn/), iaitu lebih seminggu Indonesia selesai menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-78 cukup mengingatkan politikus Malaysia agar berhentilah menjadi tikus politik. Setiap ucapan, kata-kata mahupun janji wajib direalisasikan. Jika tidak anarkisme akan mengambil tempat dan pemaknaan kontrak sosial menjadi hal yang cukup cemas dan cepat merebak.
Rumah seorang menteri, empat orang wakil rakyat telah diceroboh masuk dan barangan yang ada dijarah. Setakat ini seramai 6 orang diberitakan terbunuh dan rusuhan sudah menyebar di Jakarta, Bandung, Surabaya, Kediri, Medan, Makasar, dan beberapa kota Indonesia. Para perusuh yang ditunjangi oleh mahasiswa mahukan institusi DPR (Dewan Perwakilan Rakyat, atau Dewan Rakyat) dibubarkan.
Ertinya, semua 520 orang wakil rakyat tidak lagi boleh dipanggil sebagai wakil rakyat. Sebabnya, mereka yang sepatutnya mengatasi kesukaran hidup rakyat, bukannya berterusan menekan rakyat dengan pelbagai dasar, termasuk kenaikan cukai (pajak) dan dalam masa yang sama, wakil rakyat terus menerima pendapatan bulanan daripada pembayar cukai antara 10 hingga 20 kaki ganda pendapatan bulanan rakyat biasa. )https://www.facebook.com/share/r/1BLVG6gF5U/) miskin semakin membesar, ia mewujudkan jurang ekonomi yang tersangat besar.
Komen-komen “bodoh” wakil rakyat itulah yang menjadi “minyak” yang menyala anarkisme. Walaupun meminta maaf di atas “kata-kata” dan aksi berjoget di dalam DPR dikatakan menjadi punca, secara kumulatifnya ia sudah bermula sejak bulan September 2024. Setelah tiada tindakan tegas dibuat untuk merampas aset si penjarah harta negara, kenaikan harga makanan dan barangan, kenaikan cukai dan tentunya, kesombongan komen wakil rakyat membawa kepada letusan kemarahan yang tidak lagi boleh disekat.
Pada 25 Ogos 2025, berlakulah tunjuk perasaan dan semasa kejadian tersebut seorang pemuda berusia 21 tahun, Arif Kurniawan Zulkifli (rider objek, penghantar makanan e-hailing seperti Mat Grab di Malaysia) terbunuh dirempuh kereta kebal (https://www.facebook.com/share/r/1D6oaGTcfr/) atau dikenali sebagai Barracuda, milik TNI (Tentera Nasional Indonesia). Kematian tersebut menjadi demonstrasi semakin besar dan merebak. Kemarahan rakyat semakin tidak terkawal dan kemuncaknya, beberapa premis DPR dah DPRD terus menjadi sasaran “api kemarahan”.
Pada 31 Ogos 2025, Presiden Indonesia, Prabowo mengumumkan membatalkan beberapa elaun ke atas wakil rakyat selain menangguhkan lawatan kerja mereka ke luar negara. Tetapi, isu itu belum mampu memadamkan kemarahan, kerana rakyat mahukan DPR dibubarkan kerana pada pandangan mereka, wakil rakyat sudah tidak diperlukan lagi.
Sebagai asas pembentukan sesebuah negara: rakyat, wilayah, sebuah kerajaan yang sah dan berdaulat, dan pengiktirafan negara luar. DPR bukanlah sebuah syarat bagi pembentukan sesebuah negara,.cukup dengan perwakilan agensi kerajaan di peringkat wilayah, daerah dan kampung. Jika tidak ada wakil rakyat, ia tidak menjadi sebuah kecacatan dalam konteks bernegara.
Bukan guru yang “menjadi beban negara” (https://www.facebook.com/share/r/1AGu4VM5g2/) tetapi “wakil rakyat” kerana gaji dan elaun mereka berkali ganda besar daripada kelas menengah. Bahkan puluhan kali ganda dengan pendapatan petani di desa yang hidup dibawah garis kemiskinan. Habis sepenggal menjadi wakil rakyat, mereka layak mendapat pencen (pensiun) sedangkan rakyat biasa sampai mati pun perlu bekerja demi sesuap nasi.
Sri Mulyani cuba menafikan kata-kata menghina itu. Namun jejak digital berjaya mendapatkannya, ia benar diucapkan oleh Menteri Kewangan Indonesia yang juga digelar “Raja Pajak (cukai)”. Apa yang dilakukan oleh Sri Mulyani adalah tugasnya, kerana beliau hanya menterjemahkan kehendak dasar pemerintah, setiap kali membentangkan belanjawan negara.
Pilihan raya perlu, dah Indonesia melaksanakan pilihan secara langsung untuk melantik pemimpin negara dalam sesuatu tempoh. Presiden pula dibenarkan melantik pembantunya untuk melaksanakan dasar yang diputuskan. Itu sudah cukup, bukan diperlukan pun wakil rakyat. Sebabnya, wakil rakyat inilah yang membawa masalah besar kepada rakyat, mereka bukan bekerja untuk rakyat. Sebaliknya mereka menggunakan rakyat untuk mengumpul kekayaan peribadi dan “menindas rakyat”.
Atas sebab itu, para perusuh memberikan tempoh kepada pemerintah khususnya Presiden Indonesia agar segera melakukan reformasi DPR. Antaranya ialah memecat semua anggota DPR yang menghina rakyat (termasuk semua yang berjoget), badan pencegah rasuah (KPK) hendaklah menyiasat kekayaan para wakil rakyat bagi memastikan pemilikan aset yang besar itu bukan secara haram, dan menurunkan cukai barangan dan perkhidmatan agar rakyat tidak terbeban.
Kesemua tuntutan itu perlu dilakukan sehingga tengah malam 5 September dan selepasnya jika tidak ada ketetapan dibuat, akan berlaku rusuhan yang lebih besar yang mungkin akan menjadikan Prabowo sebagai sasaran (https://www.facebook.com/share/v/1FqCvADaR5/ ). Ia mungkin akan mengulangi peristiwa yang berlaku pada tahun 1998, memaksa Prabowo dan seluruh kabinetnya meletakkan jawatan, mengulangi apa yang berlaku ke atas Suharto.
Ironinya, setelah terkedu dengan penjarahan rumah mewahnya, Ahmad Sahron menebarkan pula makna tolol, yakni apa yang dimaksudkan. Katanya tolol itu maksudnya, bijak, pintar ataupun hebat. Kita tidak tahu, kamus mana yang beliau gunakan, kerana tolol itu membawa maksud “bodoh, bebal dan kurang cerdik”. Tolol digunakan sebagai satu bentuk penghinaan bukan puji-pujian atau motivasi.
Akibat tidak hati-hati itulah Ahmad Sahroni telah menimbulkan kemarahan besar rakyat Indonesia sehingga digesa agar segera dipecat bersama-sama Sri Mulyani, Nafa Urbach, Ahmad Dhani, Uya Kuya, Eko Patrio dan Puan Maharani (Ketua DPR).(https://www.facebook.com/share/r/19vjzpdTBH/)
MONOSIN SOBRI
_____________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments