Bulan Rabiul Awal adalah antara bulan yang paling istimewa dalam sejarah Islam. Di bulan inilah lahirnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal tahun Gajah. Kelahiran Baginda membawa cahaya dan rahmat kepada seluruh alam, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.”
Peristiwa agung ini mengingatkan kita bahawa kehadiran Baginda bukan sekadar sejarah, tetapi permulaan kepada penyebaran tauhid, keadilan dan akhlak mulia.
Selain kelahiran, Rabiul Awal juga mencatat peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Hijrah bermula pada awal bulan Rabiul Awal, ketika Baginda berangkat bersama Abu Bakar al-Siddiq r.a. dari Gua Tsur menuju Madinah.
Tanggal 12 Rabiul Awal, Baginda tiba di Madinah dan disambut dengan penuh kegembiraan oleh para sahabat dan penduduk Ansar. Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi simbol pengorbanan, persaudaraan, serta titik tolak pembinaan masyarakat Islam yang berdaulat.
Dari sinilah bermulanya sebuah peradaban Islam yang menjadi rujukan sepanjang zaman.
Di bulan yang sama juga berlaku peristiwa penting yang lain, antaranya pendirian Masjid Quba, masjid pertama dalam sejarah Islam.
Tidak lama selepas itu, Rasulullah SAW juga mendirikan solat Jumaat pertama bersama para sahabat. Hal ini menunjukkan bahawa setiap langkah Baginda di bulan Rabiul Awal dipenuhi dengan hikmah dan panduan untuk umat, iaitu menegakkan agama dengan dasar ibadah dan persaudaraan.
Namun demikian, bulan Rabiul Awal juga mengingatkan kita akan peristiwa sedih dalam sejarah Islam, iaitu kewafatan Rasulullah SAW pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal tahun ke-11 Hijrah.
Kembalinya Baginda ke sisi Allah menjadi ujian besar kepada para sahabat, malah Saidina Umar al-Khattab r.a. pada mulanya enggan menerima hakikat tersebut. Akan tetapi, Abu Bakar al-Siddiq r.a. menenangkan umat dengan kata-kata yang masyhur:
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Muhammad, sebenarnya Muhammad sudah mati; dan sesiapa yang menyembah Allah, sebenarnya Allah itu Maha Hidup tidak mati sekali-kali (seterusnya menyebutkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 144)
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).”
Peristiwa ini menjadi peringatan bahawa Islam tidak bergantung kepada jasad seseorang, tetapi kepada ajaran Allah SWT yang kekal sepanjang zaman.
Kesimpulannya, bulan Rabiul Awal adalah bulan yang sarat dengan peristiwa agung, bermula daripada kelahiran, hijrah, pendirian masjid, hingga kewafatan Rasulullah SAW. Setiap peristiwa mengandungi pengajaran yang mendalam iaitu tentang pengorbanan, persaudaraan, kepatuhan, dan keteguhan iman.
Sumber: www.waktusolat.digital
_____________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments