Desakan agar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan nampaknya tidak surut walaupun PMX sudah memberikan jaminan untuk menggubal Akta Anti-Buli dalam tempoh segera. Menteri Pendidikan juga berhasrat untuk melaksanakan libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan bagi mendapat input bagi merangka kertas dasar mengenainya sebelum boleh dijadikan Rang Undang-Undang.
Nampaknya, segelintir kelompok yang tidak puas hati dengan tindakan itu telah berhimpun di Bangunan KPM hari ini bagi menyerahkan memorandum untuk dilaksanakan dalam tempoh 30 hari, jika gagal, Fadhlina perlu meletakkan jawatan. Siapakah yang menjadi kumpulan pendesak itu?
Mereka ialah digerakkan oleh GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia) dan HARAM (Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia). Antara perkara yang dituntut ialah menyediakan talian aduan 24 jam bagi membolehkan mangsa buli mengadu, memberikan latihan kepada guru dan warden berkaitan “post trauma” buli, menyediakan sokongan psikososial dan meningkatkan nisbah kaunselor-pelajar.
Tuntutan-tuntutan itu boleh dilaksanakan, tetapi ia memerlukan masa dan juga persiapan, yang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh 30 hari sebagaimana dipinta. Untuk menyediakan “roadmap” atau perancangan, ia mungkin boleh dibuat berdasarkan kepakaran dalaman, sebabnya KPM mempunyai sumber terlatih yang mampu menzahirkannya.
Namun, persoalannya ia cukup mudah untuk digesa, pelaksanaannya tidak boleh berlaku semalaman. Ia melibatkan banyak persiapan, latihan semula fasilitator dan juga jadual latihan. Ia melibatkan perbelanjaan yang besar, yang tentunya akan mengheret pengagihan semula bajet yang sedia, atau memohon bajet tambahan. Ia turut melibatkan kos pengangkutan kerana guru-guru dan warden yang terbabit dimobilasikan, yang tentunya, menjadi satu lagi “krisis” setelah lama isu “beban tugas guru” tidak beres hingga kini.
Tentunya, beberapa hari lalu ada berita mengatakan lebih 19,000 guru memohon bersara awal sejak tahun 2022. Permohonan itu, walaupun dikatakan faktor utama ialah “sudah tidak lagi berminat” dengan kerjaya itu, yang turut bercelaru dengan “beban tugas guru”, yang pernah dianggap “melakukan kerja-kerja pengkeranian” dan tugas di luar bilik darjah.
Sesekali, apabila menyemak tentang nisbah guru lelaki dan perempuan, ternyata bilangan guru perempuan jauh lebih besar. Ini bermakna, ada ketidakseimbangan gender dalam kerjaya perguruan, yang tentunya memberikan sedikit lojik mengenai pengurusan disiplin di sekolah-sekolah dan asrama. Bagi tugas warden, Majlis Amanah Rakyat misalnya, sudah mula melantik warden dalam kalangan bekas anggota tentera. Tujuannya adalah jelas, menerapkan sedikit sebanyak unsur disiplin kendiri dan bagaimana mengesan tanda-tanda buli di peringkat awal.
Namun, MARA juga perlu melatih semula warden baharu itu dengan elemen psikologi dan keagamaan, agar tidak dilihat keras dan “tulang yang bengkok menjadi patah”. Rasionalnya, kita tahu, pelajar merupakan kelompok remaja yang sedang berkembang dan mereka sedang menerima pelbagai asakan nilai dari persekitaran dan media.
Tentunya juga, untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak, ia bukan menjadi tugas guru atau sekolah semata-mata. Di luar sekolah dan dunia maya cukup kuat menerjah jiwa dan pemikiran. Dan, tentunya, kita seharusnya mampu mendidik anak-anak dengan kesedaran dan asas nilai, sebagai usaha memugar gejala negatif. Di sinilah munculnya persekitaran komuniti yang cukup berwibawa dan berupaya menjadikan suasana di luar sekolah lebih prihatin dan cakna.
Suatu ketika, gejala ponteng sekolah ada kaitannya dengan premis-premis hiburan dan permainan yang berdekatan dengan kawasan sekolah. Ada kedai snoker, ada cyber cafe, ada tarikan untuk keluar daripada sekolah dalam masa bersekolah. Ia menjadi lebih menarik berbanding cara guru mengajar, atau sebagai “pelarian” daripada sikap guru yang keras dan tegas.
Atas sebab itu, untuk melahirkan masyarakat bebas buli, orang tua atau ahli masyarakat sebenarnya yang patut menyekat gejala buli, termasuklah buli politik yang setiap hari berlaku. Buli berlaku di mana-mana, termasuk dalam keluarga sendiri dari seorang suami terhadap isteri dan anak-anak. Antara anak-anak, buli tetapi berlaku sama ada secara terbuka atau tertutup. Kumpulan yang hadir mendesak Fadhlina Sidek meletakkan jawatan juga boleh dianggap sebagai pembuli, kerana mereka hadir dengan prasangka dan desakan, bukan dengan hasrat berunding dan memberikan sumbang saran untuk membantu menghaluskan gejala buli.
Secara umumnya buli membawa maksud: tindakan agresif dan berulang untuk menyakitkan orang lain, sama ada dalam bentuk fizikal, mental dan emosi. Ini bermakna, jika anda datang untuk menyerahkan memorandum sebagai bentuk teguran, cadangan atau penambahbaikan, ia adalah sesuatu yang wajar. Tetapi, anda tidak sepatutnya meletakkan desakan agar Fadhlina berundur jika gagal melaksanakan apa yang anda mahukan dalam tempoh 30 hari. Anda juga adalah pembuli.
Benar, anda berhak untuk melakukan apa yang fikirkan baik, tetapi anda juga telah gagal menunjukkan sikap dan nilai yang baik dengan mendesak orang lain. Sudah diberikan penjelasan, ia memerlukan banyak masa dan lihat urus kerana Fadhlina juga benci kepada perilaku buli.
MONOSIN SOBRI
_____________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments