SEJARAH KOTA IRAM MELALUI BEBERAPA PENELITIAN DAN SUMBER MUSLIM DAN BARAT.
Pandangan pertama, lokasi keberadaan kota Iram masih dikenalpasti berada di kawasan antara sempadan Yaman dan Oman atau berada di kawasan lingkungan Quarter Empty atau Rub al-Khali yang meliputi kawasan Arab Saudi, Oman dan Yaman.
1. Di dalam buku ‘Muqaddimah’ karya Ibnu Khaldun, bapa sejarawan Islam, beliau menyatakan tentang sejarah kota Iram.
Ad adalah seorang pemimpin Kerajaan Ad dan dia mempunyai dua orang anak bernama Shadid dan Shaddad. Setelah kewafatan Ad, Shadid menaiki takhta tetapi tidak bertahan lama lalu beliau pun meninggal dunia. Kerusi pemerintahan Kerajaan Ad diserahkan kepada putera kedua, Shaddad. Raja Shaddad pernah mendengar tentang kewujudan dan keindahan syurga lalu baginda berhasrat untuk membina syurga di sebuah tempat, maka Iram menjadi lokasi yang sesuai kerana ianya adalah pusat perdagangan antarabangsa.
Raja Shaddad pun memulakan projek membina dan menghiasi kota Iram dengan pelbagai struktur bangunan, kediaman dan kebun-kebun bunga serta buah-buahan selama 300 tahun lamanya (umur Raja Shaddad melangkaui 900 tahun). Raja Shaddad berkeinginan untuk menjadikan kota Iram sebagai pusat pentadbirannya setelah ia siap sepenuhnya.
Kota ini dibuat daripada emas, perak dan permata dan dibentengi dengan benteng pertahanan yang sangat kuat daripada serangan musuh. Pada fasa-fasa pembinaan inilah, ramai pengunjung dan pedagang datang dari luar untuk berjualan di sini. Para penduduk di kota ini menjadi semakin kaya-raya.
Tetapi, dalam mereka mengejar harta dunia, mereka juga semakin lupa dengan Allah swt. Zaman pun berlalu. Kota Iram pun siap sepenuhnya. Raja Shaddad bersama rombongan kerajaannya bertolak dari istana menuju ke kota Iram. Ketikamana lagi satu hari satu malam jarak perjalanan, baginda mendapat khabar bahawasanya kota Iram telah dimusnahkan oleh Allah swt. Catatan ini direkodkan oleh at-Thabari, at-Tha’alibi dan az-Zamakhshari.
2. Di dalam buku bertajuk ‘The A to Z of Prophets in Islam and Judaism’ oleh Scott B. Noegel dan Brannon M. Wheeler:
Kota Iram merupakan kota yang disebutkan di dalam Quran dalam kisah Nabi Hud a.s. Beberapa sumber menyatakan Iram membawa maksud sebagai sebuah nama kaum, bukannya nama sebuah kota. Nama kota kaum Ad pada masa itu adalah Dhat al-Imad.
Pendapat seterusnya mendakwa Iram merupakan nama gelaran sebuah kawasan, Tanah Iram. Kota ini dikatakan berdiri teguh selama 500 tahun lamanya sebelum ianya dimusnahkan Tuhan. Hasil binaan bangunan-bangunan kota ini terdiri daripada emas, perak dan batu permata yang ditambang oleh mereka. Kekayaan kota ini menjadikan mereka sebagai peradaban yang ditakuti oleh musuh di sekitarnya. Kerana itulah, kajian di Barat mengelarkannya sebagai Atlantis of the Sands atau Iram of the Pillars.
3. Di dalam buku ‘Religious Tourism in Asia: Tradition and Change Through Case Studies and Narratives’ disunting oleh Shin Yasuda, Razaq Raj dan Kevin Griffin:
Kota Iram terkenal sebagai kota penting komersial dalam perdagangan antara wilayah-wilayah lain. Raja atau pemerintah Iram, mempunyai akses yang sangat luas dalam mendapatkan bekalan emas, perak dan batu-batu pertama dari seluruh kawasan dalam projek pembinaan dan pengindahan kota tersebut.
4. Melalui buku ‘Sejarah Arab Sebelum Islam: Geografi, Iklim, Karakteristik dan Silsilah’ oleh Dr. Jawwad Ali:
Yaqut al-Hamawi, ahli geografi Muslim terkenal, menyatakan tanah Wabar merupakan bekas runtuhan kota Iram berdasarkan keadaan geografinya di sana iaitu sebuah gunung berpasir bernama Gunung Aj’a yang mudah didaki oleh unta dan di puncak gunung pasir ini tempat tinggalnya kaum Ad dan terletaknya kota Iram. Yaqut al-Hamawi pula mendakwa kaum Ad dan kaum Iram adalah dua jenis kaum yang berbeza. Di sini terdapat banyak batu yang dipahat dengan lukisan-lukisan.
Tetapi, para peneliti lain menolak dakwaan Yaqut berkaitan perbezaan kaum Ad dan kaum Iram adalah berbeza walhal Ad adalah nama kaum dan Iram nama sebuah kota atau kawasan yang didiami oleh mereka.
5. Di dalam buku ‘Journey to the End of Islam’ oleh Michael Knight, dinyatakan:
Kota Iram atau Ubar merupakan ibukota kaum Ad pada 3,000 SM. Arab Saudi menyatakan kawasan Rub al-Khali (Empty Quarter) merupakan bekas hentaman meteor zaman purba. Kawah meteor ini dikenali sebagai kawah Wabar. Dan kawasan hentaman inilah didakwa sebagai tapak kota Iram. Peradaban mereka dihancurkan oleh sebuah meteor dari langit yang berkelajuan 40,000-70,000 km/jam yang seberat 3,500 ton.
Meteor ini terpecah kepada empat bahagian setelah memasuki ruangan atmosfera sebelum menghempas kota Iram. Impak hentaman ini disamakan seperti impak bom atom yang dijatuhkan di kota Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Tetapi dakwaan mengenai hempasan meteor dan kemusnahan kaum Ad tidak sama sekali sama kerana meteor ini dikatakan terhempas pada 250 tahun yang lalu, terlalu jauh dari zaman kaum Ad. Padahal, Ranulph Fiennes, penulis buku ‘Atlantis of the Sand’ mengatakan kaum Ad hancur disebabkan azab dari bencana alam.
Daripada bab ini, kota Iram digambarkan berada di sekitar kawasan Rub al-Khali, Arab Saudi-Oman-Yaman. Gambaran jelas menyatakan keluasan kota ini menyamai keluasan oasis tersebut. Sebuah benteng pertahanan yang dilengkapi oleh menara pengawal dibina mengelilingi kota dan dijelaskan menara-menara ini terlalu banyak sehinggakan ianya digelar ‘Iram of the Pillars’ atau dalam Quran ‘Iramazatil i’mad’, kota tiang.
Kekayaan kota ini didasari daripada kebijakan pemimpin Ad yang menjadikan ia sebagai sebuah kota eksport-import di selatan Arab. Pada masa ini, kota Iram merupakan satu-satunya kota yang berdiri di sini sebelum kemunculan kota Hegra di utara Arab.
Kaum Ad merupakan saudara jauh kaum Thamud. Kemahiran kaum Ad dalam membina bangunan yang besar dan kota diaplikasikan oleh kaum Thamud sesudahnya. Hasil bekalan emas, perak dan permata yang diterima sebagai barang rampasan atau jualan di kota tersebut dijadikan sebagai perhiasan memperindahkan kota syurga impian Raja Shaddad.
Tetapi malang sekali, kota megah ini tidak mampu bertahan lama apabila Allah swt menghantar puting beliung dan angin ribut yang kuat yang memusnahkan segala kemegahan mereka sehingga menjadi debu tanpa jejak. Selain Rub al-Khali, para peneliti juga menemui lokasi kedua yang disyaki mempunyai hubungan dengan kota Iram, iaitu kota Shisr di negara Oman.
KOTA IRAM: WUJUDKAH ‘ATLANTIS OF THE SANDS’ ATAU HANYA SEKADAR DONGENG QURAN?
Pada pandangan kedua, sebuah tapak kota kuno yang ditemui di daerah Shisr, Oman disyaki sebagai tapak kota Iram melalui beberapa penemuan yang mempunyai hubungan dekat dengan peristiwa dan kesan kejadian yang berlaku pada zaman Nabi Hud a.s.
1. Di dalam buku ‘The Rough Guide to Oman’ oleh Gavin Thomas:
Legenda kewujudan kota Ubar (Wubar), dikaitkan dengan kota Iram kaum Ad. Catatan fakta mengenai penemuan bekas runtuhan kota Iram pertama kali dicatatkan oleh seorang pengembara dari Eropah, Bertram Thomas di dalam catatannya, Arabia Felix, yang mendakwa telah menemui runtuhan tapak kota tersebut di sekitar kawasan berdekatan Rub al-Khali pada tahun 1930. Ketika dalam perjalanan ke utara Shisr, beliau melihat sebuah jalur jalan yang sangat baik terkambus di bawah debuan pasir.
Setelah dakwaan ini dikemukakan pada umum, ramai para arkeologi dan pemburu harta karun cuba menjejak kota Iram tersebut dari tahun 1930 sehingga 1940 tetapi usaha mereka membuahkan hasil yang nihil. Teka-teki jalanraya kota Iram menjadi misteri sehinggalah pada tahun 1980, seorang pengarah dari Amerika Syarikat juga seorang sejarawan profesional, Nicholas Clapp menggunakan teknologi imbasan radar HD yang terdapat di US Space Shuttle untuk mencari jalanraya yang didakwa oleh Bertram.
Dari tahun 1980 sehinggalah ke tahun 1990, akhirnya Nicholas Clapp, pengembara Britain Ranulph Fiennes dan ahli arkeologi Juris Zarins berjaya menyatukan kesemua klu-klu yang ditemui dari imbasan satelit tersebut. Setelah lapan belas bulan mereka berkhemah di kawasan ini, akhirnya mereka menemui tapak kota perdagangan berdekatan dengan daerah Shisr.
Penemuan ini menjadi tergempar di serata dunia dan menjadi tajuk utama pada tahun 1992 oleh media dan akhbar. Walaupun penemuan ini adalah penemuan yang berharga, tetapi mereka tidak mendakwa ianya tapak kota Iram atau Ubar kerana kekurangan data dan rekod. Nicholas Clap menuliskan tentang pengembaraan dan catatan sepanjang dalam ekpedisi mencari kota Iram di dalam buku bertajuk ‘The Road to Ubar: Finding the Atlantis of the Sands’.
Penemuan arkeologi di daerah Shisr, Oman membuktikan kebenaran Quran. Kota Iram merupakan kota yang dikelilingi oleh benteng pertahanan dan tiang yang dimaksudkan tersebut merupakan menara-menara pengawal yang mengelilingi kota.
Kota Iram didakwa dibina mengelilingi sebuah oasis di Rub al-Khali dan dikatakan jumlah penduduk tetap di kota tersebut adalah seramai 150 orang dan dikelilingi oleh 3,000 khemah yang disediakan untuk para pedagang dan pengunjung dari luar. Menara-menara ini dibina sepanjang perjalanan di jalur darat dari kota Iram melintasi kerajaan Ad. Kemungkinan tapak kota Shisr adalah sebahagian daripada kota Iram ataupun kota Shisr merupakan kota pembuka menuju ke kota Iram.
Mengikut rekod arkeologi pada tahun 1992 tersebut di kawasan Shisr, mereka telah menemui benteng pertahanan setebal 90 cm yang dilengkapi lapan buah menara pengawal, sebuah perigi air kuno dan pembakar kemenyan yang diperkirakan bertarikh 1000 SM dan 900 M sehingga 1400 M yang lalu dan penemuan barangan tembikar yang berunsurkan seni halus buatan dari Rom, Syria dan Yunani.
Dikatakan, maksud ‘Iram of the Pillars’ boleh merujuk kepada dua makna, iaitu ‘tiang’ ataupun ‘menara’.
2. Pada tahun 2007, ahli arkeologi, Juris Zarins yang meneliti tentang Iram menyatakan teori ‘sinkhole’ dalam ‘Southern Arabian Desert Trade Routes, Frankincense, Myrrh and the Ubar Legend’:
Kajian di tapak kota Shisr mendapati berkemungkinan kota tersebut terbenam di bawah padang pasir disebabkan terlalu banyak saluran air dan perigi yang dibina disekeliling kota. Tanah yang tidak dapat menampung struktur bangunan yang terlalu banyak menyebabkan sebahagian kota ini runtuh menyembah bumi. Teori ini berkemungkinan diterima kerana di dalam surah al-Ahqaf ayat 24 di atas:
“…yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa”.
Tetapi kalau diikutkan, lokasi kota Shisr dan Rub al-Khali terlalu jauh. Sekiranya kejadian ‘sinkhole’ berlaku di daerah Shisr sahaja, adakah ianya berimpak sehingga ke kota Iram di Rub al-Khali? Atapun adakah daripada kesan ‘sinkhole’ di Rub al-Khali memberikan impak terhadap kawasan di sekeliling termasuk kota Shisr?
Walaupun kajian ke atas kota Iram dan lokasi sebenarnya yang masih diteroka, tetapi kebanyakan para ilmuwan bersetuju tentang keberadaan lokasi kota ini yang masih tersembunyi dibawah padang pasir diantara negara Oman dan Yaman pada hari ini. Kewujudan kota Iram tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak termasuk bagi orientalis Barat.
3. Majalah National Geographic (edisi 154) yang dicetak pada Disember tahun 1978, menyatakan kota Iram sememangnya wujud berdasarkan dari kitab Quran sepertimana kewujudan kota Sodom dan Gamorrah.
Maka, kota Iram yang terkenal dengan gelaran Atlantis of the Sands pada suatu ketika dahulu, bukanlah sebuah kisah dongeng Quran mahupun karya Nabi Muhammad saw, bahkan ianya sebuah kota yang pernah dibina oleh sebuah peradaban manusia. Penemuan tapak kota purba Shisr di Oman, menyakinkan lagi untuk ahli arkeologi mengkaji dan menjejak peradaban kaum Ad secara lebih mendalam. Selagimana belum ditemui, mereka pasti akan mencarinya.
Akhir kalam, daripada kisah daripada Al-Quran mengenai kemusnahan kaum Ad, kita dapat melihat bagaimana kota Iram yang dijadikan sebagai kota perdagangan yang berfungsi sebagai pusat pertukaran barang dagangan oleh kaum Ad yang memiliki pelbagai kemudahan, pengaruh dan pertahanan, akhirnya hancur dibenam ke dalam padang pasir oleh Allah swt dalam tempoh masa 8 hari 7 malam sahaja.
Kaum Ad yang telah diberi peluang oleh Allah swt untuk menyembahnya setelah diberikan pelbagai kenikmatan dunia tidak mampu diselamatkan dengan kesombongan dan kekafiran mereka dalam menyekutukanNya. Pengajaran yang sudah dikhabarkan tidak didengar, malahan ianya memakan diri. Keagungan kota Iram dan kemegahan kaum Ad ditamatkan oleh Allah swt dan peninggalan mereka masih tidak diketahui keberadaannya. Ianya masih kekal menjadi sebuah tanda tanya kepada umat manusia.
JIJI AZIZAN
Sumber: thepatriots.asia
_____________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments