Pada peringkat awal, kilang-kilang yang mendapat kontrak menubuhkan kilang yang lain untuk mengeluarkan produk yang sama dengan jenama berbeza. Oleh kerana China mempunyai sumber manusia yang ramai, akhirnya China berjaya mengeluarkan produk tiruannya.
Mereka kemudiannya mempertingkatkan kualiti dan seterusnya menjadi pengeluar produk dengan jenama sendiri, bukan sahaja setanding bahkan melangkaui keupayaan produk asal yang ditirunya. Ia belajar daripada cara Jepun membina industrinya pada peringkat awal sehingga muncul istilah “techno-bandits”, lanun teknologi.
Walaupun istilah itu pada mulanya digunakan ke atas Soviet yang meniru atau menciplak hasil teknologi barat, ia kemudiannya ikut berlaku di Jepun dan China. (Rujuk: Linda Melvin, Nick Aming, dan David Hebditch, Techno-Bandits: How Soviets are Stealing America’s High-tech Future, Boston: Houghton Mifflin Harcourt, 1984).
Ia membawa kepada inovasi besar dan seterusnya mencabar produk-produk lain yang sebelumnya dikuasai oleh Eropah, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat sendiri. Selain daripada itu, China mengenakan tindakan yang keras bagi mengawal kegiatan rasuah, dan dalam masa yang sama, membangunkan secara intensif infrastrukturnya.
China memandang ke hadapan, dan harus memikirkan bagaimana untuk tidak bergantung kepada minyak dan gas daripada Rusia dan Iran jika Amerika Syarikat melakukan sekatan yang lebih keras ke atas dua negara terbabit. (Rujuk: Michael Pillsbury, Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika Syarikat, K.Lumour: IBDE Ilham Books, 2024).
China mencari jalan bagaimana melepaskan diri daripada tekanan kuasa Amerika Syarikat dan tidak mudah melatah walaupun cuba ditekan dengan pelbagai strategi.
China melabur secara besar-besaran dalam bidang tenaga, daripada tenaga air, angin hinggalah tenaga suria. China sedang dalam proses menyiapkan sebuah empangan mega yang menggunakan air Sungai Brahmaputra, dalam wilayah Tibet (Medog Dam). Manakala tenaga suria, China membinanya stesen janakuasa terbesar di kawasan padang pasir. Kini, China menguasai 80 peratus eksport panel tenaga solar dunia.
India dan Bangladesh bimbang dengan empangan mega di Tibet, kerana China mungkin akan menggunakannya sebagai senjata untuk mengancam India dan Bangladesh sekiranya berlaku konflik di sempadan.
Jika airnya dilepaskan, ia akan menyebabkan sebahagian besar India tenggelam dan seluruh Bangladesh bertukar menjadi laut. Projek itu memakan belanja lebih 168 bilion dolar, dan dijangka siap tahun 2030.
China menyusun strategi yang berbeza dengan kebiasaan yang berlaku dalam proses kolonialisasi dan imperialisme Amerika Syaeikat dan Eropah. China cuba mengelakkan diri daripada campur tangan dalam mana-mana konflik yang berlaku dan tidak berhasrat menguasai negara terbabit melalui kekerasan, kecuali dalam tindakan mempertahankan wilayah-wilayahnya.
China hadir ke mana-mana negara dengan cara diplomasi, dan membina hubungan perdagangan tanpa berniat untuk menjajah. Negara-negara tersebut akan dibantu sekiranya memerlukan bantuan.
Bahkan China bersedia membangunkan infrastruktur baharu yang lebih moden di sesebuah negara, dengan membawa bersama pakej pembiayaannya. Ia berbeza dengan cara bagaimana Barat melakukannya.
Projek pembangunan infrastruktur mega diuruskan oleh syarikat milik kerajaan sedangkan dalam kaedah lama, barat menyerahkan kerja-kerja kepada syarikat swasta. Ini membawa natijah terhadap keyakinan dan kebertangungjawaban yang tinggi apabila entiti kerajaan melaksanakannya ketimbang syarikat swasta
Jika sesebuah negara berhasrat membangunkan sesebuah infrastruktur, ia perlu membuat pinjaman daripada Bank Dunia yang dikawal oleh kapitalis Yahudi.
Selain itu, mereka mengenakan syarat yang lebih sukar, dan proses pembiayaannya agak lambat. Ia berdasarkan kepentingan dan matlamat mereka sendiri.
Mereka juga cukup melakukan secara berstruktur, sistematik dan penuh dengan birokrasi. China mempermudahkan urusan dan sebab itulah China menjadi pilihan banyak negara. China hadir dengan pakej yang mudah dan lengkap. Misalnya dalam pembinaan keretapi laju.
Spesifikasi dibuat berdasarkan keperluan negara berkenaan dan China hadir dengan bantuan teknikal selepas projek itu selesai. Ia berbeza dengan cara barat melakukannya, khidmat selepas jualan yang kurang cekap dan kadangkala melakukannya cuba melepas tangan setelah tempoh jaminan tamat.
Bagi China, Amerika Syarikat kurang mampu untuk campur tangan disebabkan komunisme begitu kuat mencengkam sistem politik selain ketegasan pemimpinnya menolak dominasi pengaruh barat.
Jepun yang dikalahkan dalam Perang Dunia II menjadi sebuah negara di bawah naungan Amerika Syarikat bersama Korea Selatan, di mana kawalan sistem pertahanan lautnya diserahkan kepada adikuasa baharu itu.
Atas sebab keinginan dan nafsu gila perang itulah Amerika Syarikat sentiasa mencari jalan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai polis dunia. Amerika Syarikat telah membina lebih 800 pengkalan tentera di lebih 80 buah negara. (BACA: Ayman Rashdan Wong, Adikuasa: Merebut Order Dunia, K.Lumpur, Patriot Publishing, 2025).
Tentunya, belanja untuk mengurus dan melengkapkan pengkalan itu merupakan sesuatu yang cukup besar. Hal ini sedang dipersoalkan oleh pembayar cukai dan mereka menegaskan Amerika Syarikat tidak sepatutnya menghabis wang untuk tujuan politik, menukarkan rejim sesebuah negara.
China tidak berminat untuk menguasai dunia dengan cara begitu, sebaliknya melalui pendekatan lembut (soft approach), yakni menjalin kerjasama dengan semua negara tanpa ada niat untuk merosakkan ideologi politik sesebuah negara.
Apa yang China lakukan ialah memperluaskan eksport produknya, dan mengemukakan pakej pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan perdagangan di mana-mana negara.
China mengeluarkan apa sahaja yang diperlukan oleh masyarakat dan cuba memainkan peranan sebagai pembekal barangan yang berkait rapat dengan budaya pengguna dengan kualiti yang setanding dan berharga murah…..
(Bersambung)
KAMARUN KH
___________________________________________________________________________________________________
Perhatian sebentar…
Kami berusaha gigih menyebarkan ilmu dan menyediakan bahan bacaan bermanfaat secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini akan terus diteruskan selaras dengan misi kami memperkasa pengetahuan dan kefahaman ummah.
Namun, menyediakan bacaan dan program ilmu secara percuma memerlukan kos yang berterusan. Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan dikembangkan.
Tidak seperti organisasi besar yang dibiayai pihak berkepentingan, PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA (OMIW) berdiri secara bebas, demi memastikan setiap perkongsian ilmu kekal bersih daripada pengaruh politik atau agenda tertentu.
Kini, kami memerlukan sokongan anda. Walaupun kami memahami tidak semua berkemampuan, sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna. Dengan sokongan anda, lebih ramai akan mendapat manfaat daripada program dan bahan bacaan percuma yang kami sediakan.
Salurkan sumbangan anda ke:
PERTUBUHAN KEARIFAN ISLAM MALAYSIA
No. Akaun: 8602859886 (CIMB BANK)
Sokongan anda adalah pelaburan untuk manfaat ilmu yang berkekalan. Terima kasih kerana bersama kami dalam perjuangan ini.
Recent Comments