Ketika saya melihat pohon kelapa, ubi dan lada sudah mula ditanam oleh bonda setelah kawasan satu ekar itu dibersihkan, saya mula kembali merenung ke lohong waktu. Dulu, semasa muda, barangkali ramai yang mahu berhijrah ke kota dengan alasan untuk mencari rezeki dan wang lebih. Usia muda selalu menjadi waktu memandang kota sebagai tempat sumber rezeki yang melimpah ruah, tetapi apabila usia menjengah tua, jiwa selalu merusuh kerana kota selalu menjadi tempat yang menjarakkan kita dengan peribadi yang berasal-usulkan tanah.
Bau rumput, semilir yang menyapa tubuh, bau hamis hujan, lecak dan lopak air, embun yang bertakung di daun yang rimbun, pagi yang dingin dibumbu kicau burung, debur air sungai yang mengalir, dan segala macam kenangan yang mendorong jiwa untuk kembali ke desa, tempat akar peribadi yang telah lama ditancap. Benarlah, apabila waktu sudah menjelang senja, burung pun tahu pulang ke sarang, dan manusia apabila umur menjelang tua, akan terasa kukuh azam untuk kembali kepada alam.
Waktu sentiasa laju meninggalkan, tanpa menghiraukan sebarang sesalan yang timbul. Demikianlah Allah menegaskan dalam al-Quran dan bersumpah dengan makhluk yang bernama masa.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (al-‘Asr 103: 1-3)
Jika kehidupan kita di dunia ini ibarat sebuah perniagaan, maka umur adalah modalnya, dan umur sentiasa akrab dengan setiap detik dan saat yang berlalu iaitu waktu. Pelaburan modal umur yang terbaik adalah pelaburan dengan keimanan, amal soleh dan saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran. Keimanan adalah hubungan manusia dengan Tuhannya dan hubungan ini memberi manusia dorongan, kekuatan, juga menanam kebahagian hakiki yang diidamkan oleh setiap yang bergelar insan. Amal soleh merupakan buah dari keimanan yang telah dibaja. Tiadalah hakikat keimanan yang ada dalam sanubari seorang Mukmin melainkan dia berusaha merealisasikannya melalui amal soleh. Kebenaran pula adalah sesuatu yang sukar diterima. Banyak godaan dan halangan yang timbul, justeru menasihati atas asas kesabaran juga dituntut dalam merealisasikan berpesan-pesan kerana Allah. Perkataan ‘saling’ itu menghilangkan tujuan-tujuan yang bersifat individual kepada tujuan yang bersifat jamaah atau kolektif.
Tujuan yang bersifat kolektif ini menuju ke arah satu matlamat yang utama, iaitu Husnul Khatimah – menuju pengakhiran yang baik di dunia sebagai penumpang dan peminjam nikmat-nikmat-Nya. Apabila manusia mendapat taufiq dalam mengurus waktunya, maka usianya menjadi panjang meskipun ia telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila manusia meninggalkan dunia maka terputuslah amal darinya kecuali tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang selalu mendoakannya.” (HR Muslim)
Dalam satu hadith yang lain, tiga amalan yang kekal itu diperincikan. Sabda Rasulullah SAW riwayat Abu Hurairah RA:
“Di antara amal perbuatan dan kebaikan yang akan tetap mengalir (pahalanya) kepada seorang Mukmin setelah ia meninggal ialah: ilmu yang ia ajarkan dan sebarkan, anak soleh yang ia tinggalkan, mushaf yang ia wariskan, masjid yang ia bangunkan, rumah untuk ibnu sabil yang ia dirikan, sungai yang ia alirkan, dan sedekah yang ia keluarkan dari hartanya pada masa sihat dan hidupnya. Semuanya itu akan mengalir kepadanya setelah ia meninggal.” (HR Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya)
Sebelum mati, pelaburan amal adalah pelaburan umur. Umur yang dimanfaatkan untuk kebaikan akan terus berpanjangan meskipun nafas dan jasad sudah tiada. Pelaburan umur ini diperincikan secara jelas oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadith:
“Barangsiapa membuat sunnah yang baik di dalam Islam lalu sunnah tersebut dilaksanakan sesudahnya, maka akan ditulis untuknya seperti pahala orang-orang yang mengerjakannya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan barangsiapa membuat sunnah yang buruk di dalam Islam lalu sunnah tersebut dilaksanakan sesudahnya, maka akan ditulis untuknya seperti dosa orang-orang yang melakukannya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (HR Muslim, Nasa’ie dan selain keduanya, daripada Jarir bin Abdullah)
Betapa ruginya orang yang menemui ajal sedangkan kerosakan dan dosanya berkembang setelah ketiadaan jasadnya. Dia dikenang kerana dosa yang ditinggalkannya dan dikeji kerana keburukan yang diwariskannya. Dan berbahagialah orang yang telah kujur kaku di dalam tanah, tetapi orang terus menikmati kebaikan yang ditinggalkannya, berbahagia kerana amal solehnya menjadi ikutan selepas ketiadaannya.
Saya memerhatikan bonda yang telah melahirkan dan membesarkan saya. Dia sedang leka menyiram batas sayur yang kelihatan baru bertunas. Saya tahu, bonda akan membaja dan sentiasa memerhatikan tunas itu berkembang hingga boleh memberi manfaat. Usah dinafikan setiap saat yang telah dilaburkan oleh seorang yang bernama “bonda” terhadap anak-anaknya. Seperti tunas yang berkembang, bonda pasti akan memastikan anak-anaknya menjadi insan yang baik dan bermanfaat bukan semata-mata bijak dan cerdik. Kata bonda, kebijakan dan kecerdasan belum boleh menjamin untuk menjadi insan yang berbudi, kerana budi adalah pekerti dan pekerti hanya boleh dibentur melalui jiwa yang celik dan sedar.
Ketika usia sudah menjangkau dewasa ini, dan saya memerhatikan bonda, saya sentiasa terdorong untuk merenung kembali apa-apa yang telah ditinggalkan. Apakah “sunnah hasanah” (petunjuk yang baik) atau “sunnah sayyi’ah” (petunjuk yang buruk) sebelum sampai waktu berpisah dari dunia yang entah bila-bila masa. Melihat kegigihan bonda, saya kembali memerhati kegigihan diri dengan anak-anak sendiri, apakah yang telah saya wariskan?
Benar, nilai waktu hanya akan disedari oleh orang yang lalai ketika datang dua tempoh. Tempoh yang pertama ialah ketika menjelang sakaratul maut, ketika ia hendak berpindah dari dunia untuk menyambut akhirat. Dia berharap agar dapat menangguhkan saat kematian supaya ia boleh memperbaiki kerosakan yang dibuat. Tempoh kedua ialah ketika di akhirat, apabila masing-masing mendapat balasan dari segala yang telah dilakukan di dunia, dan dia berharap agar dapat dikembali ke dunia untuk beramal soleh.
Saya bingkas, dan terus menuju kepada bonda untuk membantunya menyemai batas baharu. Dan batas baharu itu adalah “sunnah hasanah” yang diharapkan menjadi bekal untuk mencapai Husnul Khatimah. Demimu, Husnul Khatimah, saya akan selalu merenung diri memerhatikan jalan yang telah dan akan ditinggalkan.
Oleh Abu Ikram
Recent Comments