Siti Khadijah binti Khuwailid r.a. merupakan lambang wanita Muslimah unggul dalam sejarah Islam. Beliau bukan sahaja isteri Nabi Muhammad SAW, bahkan menjadi penyokong paling awal dan paling teguh terhadap dakwah baginda. Keperibadiannya menjadi teladan buat wanita Islam hari ini – dari sudut iman, akhlak, kewangan, dan peranan dalam keluarga serta masyarakat.
Siti Khadijah merupakan wanita pertama yang memeluk Islam. Ketika wahyu pertama turun dan Rasulullah SAW pulang dalam keadaan menggigil, beliaulah yang mententeramkan, membalut ketakutan baginda dengan kata-kata penuh hikmah dan keyakinan.
Lebih mengagumkan, beliau seorang hartawan yang menggunakan kekayaannya untuk menyokong perjuangan Islam tanpa ragu. Tidak ramai wanita mampu menyeimbangkan antara kekayaan dunia dan ketaatan penuh kepada Allah dan Rasul-Nya.
Saidatina Khadijah juga pernah diiktiraf oleh Nabi Muhammad SAW sebagai wanita terbaik melalui hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abu Tolib R.A:
خَيْرُ نِسَائِهَا مَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ ، وَخَيْرُ نِسَائِهَا خَدِيجَةُ
Maksudnya: “Wanita terbaik yang pernah ada ialah Maryam binti Imran dan Khadijah.”
Rasulullah SAW sangat menghargai Siti Khadijah. Walaupun beliau telah wafat, Rasulullah terus menyebut-nyebut nama Khadijah, menyambung hubungan dengan sahabat-sahabatnya, dan tidak pernah menggantikan tempatnya di hati baginda.
Saidatina Khadijah juga diberikan khabar gembira akan ganjaran syurga oleh Jibril A.S dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
فَأَقْرِئْهَا مِنْ رَبِّهَا السَّلاَمَ وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ لاَ صَخَبَ فِيهِ وَلاَ نَصَبَ
Maksudnya: Sampaikan salam daripada Tuhannya al-Salam, dan berikan kepada berita gembira akan sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada qasab, di mana tiada bunyi bising atau keletihan.
Sahih al-Bukhari (7497)
Ketabahan Siti Khadijah bukan sekadar kekuatan fizikal, tetapi lahir dari keyakinan dan keimanan yang mendalam. Beliau yakin bahawa perjuangan ini benar, dan beliau rela kehilangan segalanya – asal tidak kehilangan cinta Allah dan Rasul-Nya.
Wanita Islam hari ini, walau diuji dengan cabaran yang berbeza, tetap boleh meneladani semangat dan jiwa besar Khadijah: sabar ketika sempit, teguh ketika goyah, setia dalam ujian, dan yakin bahawa setiap pengorbanan kerana Allah tidak akan sia-sia.
Wanita Islam hari ini harus menjadikan Siti Khadijah sebagai inspirasi – wanita berakhlak tinggi, penyokong kebenaran, pendamping setia, dan pemilik jiwa dermawan.
Dalam zaman yang penuh cabaran ini, wanita Muslim tidak hanya dilihat dari luaran, tetapi dinilai dari iman, akhlak dan sumbangan kepada umat. Siti Khadijah membuktikan bahawa wanita boleh menjadi tulang belakang dakwah, penyokong ekonomi, dan sumber kekuatan kepada keluarga. Mari kita teladani semangat dan nilai-nilai beliau dalam kehidupan seharian.
Catatan: Ummu Zainab
Recent Comments