Suluk Tok Selehor bukan bertujuan untuk menjauhi masyarakat, sebaliknya untuk mempersediakan diri untuk berhadapan dengan masyarakat yang penuh dengan pelbagai cabaran zahir dan batin.

Oleh itu, sikap orang-orang sufi yang alim amilin tidak menyalahgunakan motif mereka bersuluk, sehingga menjadi negatif, iaitu sehingga menolak segala kemudahan dan keperluan dunia dengan cara menyendiri daripada masyarakat, dan menghilangkan sifat prihatin terhadap masalah masyarakat dan dunia amnya berkaitan dengan maslalah khas atau umum.

Salah faham matlamat suluk diperbetulkan oleh Tok Selehor, yang mana hakikat kehidupannya, dalam masa beliau mengisi rutin suluk di tempat khas yang disediakan di bawah tanah dalam kawasan perkuburan, dalam masa yang sama beliau terjun dan aktif ke tengah masyarakat melakukan dakwah dan menyebarkan ilmu melalui kuliah.

Pengajian yang disampaikan dalam pusat pengajian yang dibinanya sendiri (kepada anak murid dan mereka yang datang daripada beberapa pelusuk negara) dan juga disampaikan di masjid dan surau dalam negeri Kelantan, yang mana beliau dijemput.

Selain menyampaikan ilmu, Tok Selehor juga mengisi aktiviti lain bersama rakan-rakan dan penduduk kampungnya seperti memburu, menangkap ikan, bertani dan bermain seni silat pertahan diri, dan melakukan amal makruf terhadap masyarakat dan golongan yang memerlukan.

Ini bukti, bahawa Tok Selehor bukan berada di dalam lubang kubur yang digalinya sahaja, ia cuma salah satu tempat yang dijadikan untuk beribadah (caranya tersendiri), selain bentuk-bentuk ibadah lain. Tempat itu seperti lubang kubur yang mana saiznya hampir sama dengan kubur yang dibina untuk bersuluk dan beribadat (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.

Beliau memperuntukkan masa-masa tertentu sahaja, selaku seorang yang zuhud dan warak, atas tujuan mujahadatunnafs, kerana beliau bimbang hatinya menjadi angkuh dan riak jika tidak mendekati Tuhan dan muhasabah diri, ketika beliau telah mula dimasyhurkan oleh masyarakat.

Oleh itu, beliau membuat lubang khas di antara perkuburan untuk dijadikan tempat suluk beliau agar beliau sentiasa mengingati mati, agar terbunuh segala nafsu mazmumahnya.

Dengan mengingati mati seseorang itu akan dianggap cerdik oleh Allah SWT. “Ingat akan mati menjadikan seseorang lebih gigih, progresif dan berusaha membina diri menjadi jujur, amanah serta bertanggungjawab, kerana yakin segala amalan di dunia akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak.”

Sepanjang mendalami ilmu, khususnya ilmu tasawuf, beliau sedar bahawa dunia ini bukan tempat untuk kita menikmati sepuas-puasnya kehidupan ini. Dunia ini adalah tempat percaturan manusia untuk mencari bekalan selepas kematian.

Ramai tidak menghiraukan urusan mengingati kematian seolah-olah merasakan kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, mereka tidak bersungguh-sungguh melakukan amal kebajikan dan memperbaiki diri sebagai bekalan selepas hidup di dunia ini.

Tok Selehor tidak mahu beliau hanya mengajar orang lain mengingati mati, tanpa beliau sendiri mempraktikkan dan membuat sesuatu akan cara-cara mengingati mati dan menyediakan bekalan untuk mati.

Pesan Rasulullah SAW sentiasa diambil perhatian yang bermaksud: Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri. (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).

Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus RA daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda: Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya). [Berkata Abu Isa : Hadith ini hassan, sebagaimana riwayat at-Tirmizi, No. Hadith : 2459).]

Setiap orang yang beriman akan digelar seorang yang cerdik atau benar-benar berakal apabila sentiasa bermuhasabah dan menghitung dirinya. Dengan erti kata lain, orang yang sentiasa memikirkan keadaan dirinya selepas kematian, lalu dia beramal dengan sesuatu yang boleh memberi faedah kepadanya selepas kematiannya. Menggunakan kesempatan yang ada dengan melakukan amalan bermanfaat secara bersungguh-sungguh dan dengan niat yang ikhlas, tanpa mensia-siakannya.

Inilah kesan positif  daripada Pendidikan Sufi Tok Selehor sepertimana yang dirumuskan dalam perbincangan para ulama dan ahli akademik semasa seminar SULUK DAN PENGHAYATAN TASAWUF TOK SELEHOR @ SELEHONG Ke-3, yang diadakan di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2019.

Mereka yang terlibat dalam perbincangan itu ialah terdiri para ahli akedamik, para pakar dan ulama, antaranya Riduan Makhtar dari Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Pusat Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr. Khairatulakmar Abdul Latif, dari Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr. Norfazila Abdul Hamid dari Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, dan Abdul Ganing Laengkang, dari Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Dalam perbincangan khusus berkaitan SUFI TOK SELEHOR, tokoh-tokoh ilmu yang hadir dalam seminar itu merumuskan bahawa, pendekatan yang digunakan oleh Tok Selehor iaitu menguzlahkan diri daripada dunia luar melalui bersuluk telah memberikan kesan yang sangat baik (positif) kepada hati manusia.

Hasil dapatan menunjukkan bahawa, suluk dan penghayatan tasawuf yang diamalkan oleh Tok Selehor sangat memberi kesan kepada pendidikan hati dan seterusnya telah menjadikan beliau seorang yang warak, alim dan terdidik hatinya dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa penggunaan pendekatan yang digunakan oleh Tok Selehor iaitu menggunakan kaedah suluk bagi mentarbiah diri beliau terbukti sangat berkesan menjadi seorang yang dinamik dan berjaya.

Ini dapat dilihat pada personaliti beliau yang sering mendekati masyarakat melakukan kerja-kerja dakwah dan makrufat. Amalan suluk yang dilakukan oleh beliau tidak menjadikan beliau pasif terhadap masyarakat dan alam sekeliling.

Bahkan, seperti yang dipaparkan terdahulu kisah beliau  mempunyai empat orang isteri dan ini sudah menjadi kebiasaan bagi beliau. Beliau juga mempunyai dua ekor kuda, dua laras senapang, sebuah perahu bidar untuk jadi pengangkutan jalan sungai Tumpat.

 Tok Selehor juga gemar memburu, memukat dan menjala ikan. Ini menunjukkan Tok Selehor tidak pisahkan dirinya dengan dunia, bahkan memiliknya serta diurus dengan baik mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Seperti mana dipaparkan terdahulu juga, Tok Selehor selaku seorang ulama yang mempelajari dan mempunyai pelbagai kelebihan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan.

Walaupun beliau cerderung menampilkan bidang ilmu yang paling diminati oleh beliau ialah bidang ilmu tasawuf atau kesufian, tetapi penampilan beliau di tengah masyarakat bukan sebagai seorang yang berpakaian compang-camping dengan rambut dan misai serta janggut yang tidak terurus.

Sebaliknya, beliau kelihatan sebagai seorang yang bergaya (smart) ditambah dengan wajahnya yang tampan (handsome) serta susuk badan kelihatan gagah bak panglima. Lantaran itu, beliau diminati oleh ramai wanita sehingga dalam sejarah pernah berkahwin sebanyak 11 kali dan beristeri 4 dalam satu masa.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »