Menurut cerita cicitnya Rizaltul Akmal Zaid, Tok Selehor tidak menetap terus di Patani sepanjang dia belajar selama 7 tahun. Beliau berulang-alik, merentas jalan-jalan yang kesunyian, lebih-lebih lagi terdapat penyamun dan perompak di pertengahan perjalanannya.
Namun, mereka tidak berani mengganggunya. Ini kerana, sewaktu mula-mula Tok Selehor berangkat ke Patani. Beliau pernah diserang oleh sekumpulan perompak yang diketuai oleh Tok Hati Hitam tetapi Tok Selehor berjaya menangkis serangan itu dengan silat dan keris sedangkan saat itu Tok Selehor hanya seorang diri sahaja.
Sebaliknya, Tok Hati Hitam itu menggunakan siasah untuk memerangkap Tok Selehor dengan berpura-pura ingin berbaik-baik dengan mempelawa Tok Selehor singgah dan menginap di rumahnya. Dia telah menyediakan bilik khas di mana dalamnya ada digantung balak yang dipasang tali, apabila dilepas kayu balak itu akan menghempap Tok Selehor.
Anehnya, ketika Tok Selehor sedang nyenyak tidur pada waktu malam, mereka cuba memotong tali tersebut. Namun, kayu balak itu tidak jatuh, sebaliknya tergantung di awang-awangan. Tok Selehor terselamat daripada dihempap balak itu — nyawanya masih belum diizinkan Allah untuk berakhir.
Selepas menyaksikan keanehan itu, perompak tersebut ketakutan dan terus membebaskan Tok Selehor dan beliau terus menyambung perjalanannya hingga ke Patani. Setiap kali Tok Selehor berulang-alik dari Patani ke Kelantan sepanjang tujuh tahun pengajiannya di sana, perompak itu tidak lagi berani mengganggunya.
Bahkan, terdapat anak-anak muda yang mengetahui akan kepandaian Tok Selehor dalam ilmu persilatan, lalu mereka berguru dengannya. Ketika membuka pondok di Kampung Kok Pasir, Tok Selehor bukan sahaja mengajar kitab, malah turut mengajar pancak silat.
Salah seorang muridnya, Haji Daud — yang kemudiannya bergelar Pendekar Bulat (Cabang Empat Tok Mek Ngah) — telah menjadi guru silat dan berjaya melahirkan ramai pendekar.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments