Oleh: Mohd. Shah Abdullah
Lebih sedekad dunia menyaksikan peristiwa dramatik kononnya kebangkitan rakyat di dunia Arab dikenali sebagai Arab Spring. Bermula di Tunisia pada penghujung 2010 dan merebak ke Mesir, Libya, Syria dan Yaman, gerakan tersebut disambut dengan penuh harapan dan euforia untuk melihat permulaan harapan baharu – era demokrasi, keadilan dan kebebasan.
Namun, hari ini ternayata lebih ramai yang mengakui hakikat bahawa Arab Spring lebih dekat kepada kegagalan besar daripada kejayaan.
Tunisia yang menjadi paksi bangkitnya amarah rakyat untuk menumbangkan sebuah regim yang didakwa zalim dan menindas pada peringkat awalnya berjaya melakukan transisi demokratik.
Hari ini apa yang terjadi? Presiden Kais Saied dilihat memusatkan kuasa di tangan sendiri dengan menggantung Parlimen dan melemahkan institusi “semak dan imbang”.
Negara yang yang suatu ketika menjadi contoh kini mengalami kemerosotan demokrasi dan kelembapan ekonomi.
Mesir pula berjaya menggulingkan Presiden Hosni Mubarak namun dalam masa singkat sahaja bunga-bunga demokrasi bungkam dan bungkus apabila pemerintahan autoritarian ketenteraan kembali menguasai.
Situasi tidaklah lebih baik malah ekonomi kian parah dan hutang luar terus mencanak. Sementara di Libya, Syria dan Yemen menjadi kawah perang saudara yang tiada kesudahan.
Kesannya negara runtuh, ekonomi hancur manakala jutaan rakyat menjadi pelarian.
Lebih membimbangkan ialah campurtangan kuasa-kuasa asing yang melanjutkan konflik dan menjadikan negara-negara tersebut sebagai pentas perang proksi.
Dari Russia ke Amerika Syarikat, Iran dan Turki memperalatkan kekacauan tersebut untuk kepentingan geopolitik mereka. Konflik terus meruncing dan penyelesaian konflik menjadi amat mustahil.
Kebangkitan kumpulan radikal dan pengganas seperti ISIS menambah buruk dan menjejaskan kestabilan di kebanyakan negara berkenaan. Kekosongan kuasa dan ketidakmampuan negara membina semua institusi telah membuka ruang kepada ideologi ekstrim untuk berkembang.
Arab Spring memberi satu kesan pengajaran penting: demokrasi tidak boleh dipaksakan secara tergesa-gesa dan melalui jalan kekerasan. Ia memerlukan asas-asas yang kukuh – institusi yang bebas, masyarakat sivil, pendidikan politik dan kestabilan ekonomi.
Menjatuhkan pemimpin lama tidak semestinya membawa kepada kebebasan; kadangkala, ia hanya membuka jalan dan ruang kepada satu bentuk penindasan baharu.
Hari ini realiti di negara-negara yang dahulunya ghairah dengan Arab Spring kini terus sahaja bergelut dengan cengkaman inflasi, pekerjaaan yang terhad, ketidakpastian dan krisis kemanusiaan berpanjangan. Demokrasi bertukar kepada kuku besi.
Begitulah pada Sabtu 26 Julai, pemimpin oposisi diketuai Perikatan Nasional (PN), aktivis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhimpun di ibu negara untuk menuntut “Turun Anwar”.
Persis gerakan Arab Spring, gerakan “Turun Anwar” menuntut perkara yang sama. Bermula dengan sebuah mimpi indah rakyat untuk menuntut perubahan. Namun, seperti tabie banyak revolusi dalam sejarah, realiti pasca-revolusi seringkali lebih pahit daripada harapan yang mengiringi.
Demikian gerakan “Turun Anwar” meskipun membawa kesedaran politik rakyat, ia hanyalah sebuah harapan palsu dan belum tentu.
Revolusi tidak cukup sekadar dengan semangat dan retorika politik tetapi kosong hampa dengan pengisian cita-cita rakyat yang mahukan ekonomi stabil, cukup makan-minum, pendidikan berkualiti, aman ke sana ke sini dan harmoni dalam sebuah masyarakat jamak budaya serta kepelbagaian.
Negara yang baik harus dibina atas asas reformasi struktur, kestabilan, dan pemerkasaan institusi negara. Itu yang sedang diusahakan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kita jangan menempah jalan mati dan mimpi ngeri kerana negara masih stabil dan kekal harmoni.
Belajarlah daripada Arab Spring. Gerakan itu gagal kerana ia hanya bertujuan menggulingkan individu, bukan mengubah sistem. Revolusi itu gagal kerana tidak berjaya membina institusi demokrasi yang kuat, tidak membina budaya politik matang, dan tidak memperkasakan masyarakat sivil secara menyeluruh.
Mohd. Shah Abdullah adalah bekas wartawan dan bekas Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi. Kini berkhidmat sebagai Setiausaha Media dan Komunikasi kepada Senator Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Sumber: nasionaldaily.com
Recent Comments