SABTU ini, 26 Julai 2025 seolah-olah ada pesta politik terbesar di Malaysia yang akan dipentaskan oleh wira yang kecewa, oportunis dan anarkis. Untuk menunjukkan “pesta’ itu hebat, cukup menggerunkan, akan berlakulah pelbagai sendeng laporan mengenainya.

Pada andaian awal, sekitar 300,000 orang akan hadir. Cukup meriah jika dalam sehari benar-benar kehadirannya mencecah ke angka tersebut. Oleh kerana ghairahnya lebih besar, maka andaiannya itu kemudian dinaikkan menjadi 500,000, dua kali ganda meriahnya.

Huh! Lagi jenuh nak buat kira-kira bila Timbalan Presiden Bersatu ramalkan kehadiran boleh mencecah satu juta. Hampir setengah daripada keseluruhan anggaran penduduk Kuala Lumpur tahun lalu (2024, seramai 2.075 juta orang).

Tidak ada sesiapa yang dapat mengesahkan “crowd” yang hadir nanti begitu besar. Awalnya sudah ramai yang ketawa, dari mana datangnya jumlah itu sehingga mengalahkan kehadiran pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) untuk sehari.

PBAKL dapat kunjungan yang cukup ramai, bahkan ada yang merekodkan lebih sejuta orang untuk tempoh beberapa hari, sepanjang tempoh ianya berlangsung.

Bayangkan kalau 100,000 orang sahaja yang hadir, berapa buah bas yang dapat menampung kesemuanya?. Katakanlah bas maksimum boleh mengambil 40 orang penumpang, ia memerlukan 2,500 buah. Kalau 300,000 orang, diperlukan 7,500 buah bas. Untuk 500,000 perlukan 12,500 buah bas.

Jika 1,000 buah bas memasuki jalan-jalan ke Kuala Lumpur dari semua arah, ia akan menyebabkan bandar raya akan sesak teruk. Tentunya akan bertambah sesak apabila pihak polis dan JPJ laksanakan sekatan; bukan tujuan menyaman tetapi untuk mengurangkan kesesakan dan menjamin keselamatan.

1,000 buah bas hanya mampu mengangkut 40,000 orang. Selebihnya, menggunakan kenderaan sendiri. Kita andaikan setiap kenderaan sendiri dengan kapasiti penuh. Katakan 10,000 kenderaan, angkanya baru mencapai 50,000 orang.

Menggunakan kenderaan awam untuk ke Kuala Lumpur pada hari kejadian, bagi “musafir politik” dari seluruh Semenanjung, sekitar 30,000 orang. Jumlah keseluruhannya boleh sampai 130,000 orang. Di manakah lokasi untuk tempatkan jumlah “pengunjung” itu?

Setakat ini, kapasiti Dataran Merdeka dan jalan-jalan di sekitarnya belum pasti dapat menampung lebih 150,000 orang. Begitu juga dengan stadium yang terbesar yang ada di Malaysia, sekadar mampu menampung 80,000 penonton. Ini bermakna dua buah stadium besar diperlukan untuk menampung kehadiran 150,000 orang.

Itu logik yang boleh kita gunakan bila menilai jumlah orang yang hadir dalam himpunan Turun Anwar nanti. Pihak polis pun menyatakan, jumlah kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 adalah munasabah untuk tidak menjadikan Kuala Lumpur cukup padat dalam keadaan cuaca panas.

Apa pun, pada hari kejadian nanti, kita tonton secara langsung apa yang mereka akan laporkan. Kita juga akan baca apa yang netizen tulis; benar atau tidak ia bergantung kepada siapakah yang melaporkan, berada di pihak mana.

Namun, yang akan ketahui semuanya bukan angka yang tepat, sebaliknya, manipulasi dan tokoh tambah yang berlebihan. Itulah yang berlaku, kerana jumlah yang besar seringkali memberikan petunjuk hebat dan cukup menarik.

Ia seperti cerita promoter “ubat kuat”, walhal ubat itu sendiri tidaklah kuat sebagaimana digambarkan. Ia muncul sebagai satu bentuk ekstasi. Semuanya itu berlaku kerana setiap daripada kita faham, bentuk dan peranan propaganda dalam membentuk persepsi, bukan meneguhkan sebuah kebenaran sejati.

Propaganda, hanya menggunakan secebis realiti, yang kemudiannya dimanipulasi seolah-olah ia benar-benar menjadi bukti walhal, persepsilah akhirnya ramai yang akan menyesal. Persepsi membangunkan “realiti palsu” dan khayalan dalam kesamaran menuju kepada kebohongan.

KAMARUN KH

Translate »