Kuala Lumpur dijadikan lokasi untuk parti pembangkang dan sekutunya berdemonstrasi, dengan tujuannya untuk “turunkan Anwar”. Apakah itu hakikat sebenar atau hanyalah satu bentuk imaginasi setelah lebih dua tahun “menyalak, busut dan bukit tidak juga dapat diruntuhkan?”
Alasan untuk menggalakkan orang ramai turun berdemo, katanya sejak berkuasa Anwar Ibrahim telah gagal dalam banyak perkara yang melibatkan rakyat. Apakah dakwaan itu benar atau hanya sekadar imaginasi sekelompok politikus yang kepenatan bertukang siang dan malam’? Cara mereka bertukang juga kadangkala cukup membosankan, seolah-olah rumah dibina atas tapak tanah jerlus atau penuh batu kapor.
Bila ada orang memberikan pandangan, berdemo dalam kalangan penjawat awam tidak dibenarkan, muncullah suara menentang. Dakwa mereka, setiap orang diberikan hak untuk bersuara, berorganisasi dan berhimpun. Hak yang dijamin dalam Perlembagaan. Apakah hak itu tidak berkaitan langsung dengan peraturan-peraturan yang dikembangkan daripada Perlembagaan?
Jawabnya, memang ada kebebasan bagi setiap orang, tetapi kebebasan itu tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan ketenteraman awam. Apakah setiap kali berlaku tunjuk perasaan, tidak berlaku tindakan yang mencabar ketenteraman dan kesejahteraan awam? Pernah berlaku, pada suatu ketika, para penunjuk perasaan melawan pasukan keselamatan yang tugasnya cukup jelas, menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Misalnya, dalam perhimpunan Bersih, ada motosikal polis ditendang sehingga rosak. Ada kereta polis dipijak-pijak kerana marahkan anggota polis yang bertugas untuk menentukan tiada gejala samseng berlaku, apabila setiap daripada penunjuk perasaan hilang pertimbangan akal sihat. Bertindak berdasarkan emosi. Emosinya sentiasa dibakar dan dicurahkan minyak agar cita-cita yang tidak kesampaian itu menjadi “realiti yang menipu”.
Perhimpunan aman sebagai salah satu petunjuk demokrasi, tetapi mereka yang menjadi dalang perhimpunan itu lupa bahawa mereka menjadi aktivis yang tidak melaksanakan demokrasi. Sepatutnya, demonstrasi berlaku secara sukarela, bukan dipaksa atau dikerah, sebagai eksploitasi politik setelah kecewa berada dalam koridor kuasa.
Sistem demokrasi, ada kaedahnya, bukan hanya boleh ditentukan menerusi perhimpunan jalanan, jika ingin menjatuhkan orang yang berkuasa, yakni dalam konteks sistem politik. Pertama, menggunakan kuasa undi. Dalam keadaan sekarang, kuasa undi secara umumnya “terhenti”. Ia akan diberikan semula bila tiba masanya, iaitu pilihan raya. Ketika ini, Pilihan Raya umum terakhir berlangsung pada bulan November 2022, bererti untuk genap lima tahun, masih berbaki lagi sekitar tiga tahun (Februari 2028), berdasarkan kiraan tarikh kerajaan dibentuk.
Kedua, seseorang pemimpin boleh dijatuhkan menerusi suara majoriti di Dewan Rakyat. Ia ditentukan setelah usul dibuat dan diadakan undi dalam kalangan 222 orang wakil rakyat. Ini bermakna, parti-parti pembangkang secara logiknya “sudah kalah”, tidak mempunyai jumlah yang cukup untuk melepasi garis “cukup majoriti” sama ada majoriti mudah atau majoriti besar. Ketika ini, parti-parti pembangkang hanya ada 74 kerusi di Dewan Rakyat. Parti-parti yang membentuk kerajaan ada 148 kerusi, melepasi garis dua pertiga.
Sejak mengambil alih kuasa, Anwar membuat cabaran undi percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat sebanyak empat kali dah terbaharu pada minggu ini. Tidak seorang pun wakil rakyat parti pembangkang membentang usul, hanya sekadar berkokok di luar gelanggang.
Ketiga, seseorang pemimpin boleh diturunkan sekiranya ia disabitkan dengan kesalahan jenayah ataupun dijatuhkan hukuman penjara, walaupun sehari. Ia secara sahnya, hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Ketika ini, Anwar Ibrahim belum dijatuhkan hukuman yang membolehkan dia hilang kelayakan.
Keempat, seseorang pemimpin meninggal dunia, atau tidak lagi waras berfikir. Anwar masih sihat, bahkan belum ada petunjuk dirinya “tidak waras”. Namun, dalam keadaan seperti itu, seseorang perdana menteri hanya boleh digantikan dengan pemimpin yang paling banyak mendapat sokongan daripada parti yang memerintah atau gabungan yang membentuk kerajaan.
Jadi, tidak perlulah orang awam terpengaruh bahawa Anwar boleh dijatuhkan melalui perhimpunan aman atau pun desakan untuk turun secara demonstrasi jalanan. Mereka yang menyeru atau mengajak berdemonstrasi itulah yang akan mencari laba politik. Laba politik secara salah dan tidak semestinya akan dilantik mengambil alih kuasa. Keadaan sekarang bukan seperti Langkah Sheraton. Tidak ada lagi kerajaan tebuk atap ataupun kerajaan pintu belakang.
Sebaliknya, pilihan rayalah yang akan menentukan siapakah yang akan mendapat peluang menjadi Perdana Menteri. Kalaupun pilihan raya tidak dapat mengesahkan parti manakah yang memerintah, Yang Di Pertuan Agong adalah penentunya, seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum 2022. Membentuk kerajaan gabungan, bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada kerusi yang dimenangi sehingga berjaya melepasi majoriti mudah.
Sebahagian besar rakyat sebenarnya tidak “terpukul” untuk hadir berdemo pada 26 Julai nanti. Mereka sedar, hanyalah orang politik sahaja yang meraih untung, rakyat akan kekal dengan kebiasaan harian masing-masing. Ekonomi negara semakin bertambah baik, tahun 2024 pertumbuhannya sudah meningkat kepada 5 peratus. Kadar pengangguran telah turun kepada 3.1 peratus. Peluang pekerjaan semakin bertambah, walaupun katanya, masih ramai siswazah menganggur.
Sebelum akhir 2025, Perdana Menteri sudah pun memberikan jaminan, 4,350 jawatan sebagai doktor di hospital awam akan dilantik, sama ada sebagai doktor tetap mahupun doktor kontrak. Usaha fikirkan soal gaji yang jauh berbeza dengan gaji seorang doktor di Singapura. Walaupun ramai doktor dan jururawat terlatih bekerja di Singapura, atau di luar negara, itu adalah pilihan mereka, bukan kerana tidak ada peluang pekerjaan dalam negara.
Dakwaan yang tidak pernah lekang oleh pembangkang ialah “kos sara hidup yang tinggi”. Kos itu akan menyebabkan rakyat sudah dan dihimpit kesukaran untuk hidup. Cuba kita lihat, cuba kita renungkan apa yang pernah dinyatakan oleh Presiden PAS suatu ketika, yakni ketika parti itu berada dalam kerajaan 30 bulan (17 bulan dalam Perikatan Nasional dan 13 bulan dalam Keluarga Malaysia ).
Sebotol minyak masak 5 kg pernah mencecah hampir RM 50. Kini, harga sebotol minyak masak yang sama berada dalam lingkungan RM 30. Benar, harga beras putih import lebih mahal daripada zaman dua kerajaan itu, tetapi tentunya harga itu ditetapkan berdasarkan harga beras yang diimport. Kita tahu, permintaan beras dunia semakin meningkat, dah Malaysia bergantung 40 peratus daripada import. Kalau pun harga beras import kekal di pasaran antarabangsa, ia ikut meningkat naik apabila nilai ringgit menurun berbanding dolar.
Perdagangan dunia menggunakan mata wang dolar, walaupun kini sudah ada alternatif untuk menggunakan mata wang masing-masing. Misalnya, jika beras itu diimport daripada Thailand, Malaysia boleh membayarnya dalam nilai Bhat. Bagaimanapun, sandaran nilai masih lagi berkait rapat dengan tukaran dolar. Belum sepenuhnya bebas daripada dolar.
Tuan Guru Haji Hadi pernah berkata, tidak boleh salahkan kerajaan sepenuhnya bola harga barang keperluan meningkat. Ia bergantung kepada banyak faktor, antarabangsa harga pasaran di peringkat antarabangsa, permintaan terhadap sesuatu komoditi, rantaian pemasaran dan peruncitan, kos pembungkusan semula, kisah pengangkutan dan sebagainya. Jadi, tidak ada sebab untuk turun berdemo lagi hanya kerana berlakunya kos barangan.
Sebenarnya, lebih banyak barang keperluan stabil dan jika ada kebaikan pun ia tidaklah melampau sehingga 100 peratus. Kata sesetengah orang, harga santan cukup tinggi sekarang. Sebabnya, kekurangan bekalan kelapa tua. Tanaman kelapa di Malaysia lebih banyak terarah kepada kelapa muda kerana sebiji boleh dijual sehingga RM 4, hampir sama dengan harga kelapa tua. Ya, harga santan kotak juga tinggi. Tetapi sedarkah bahawa jenama Kara yang cukup popular bukan dihasilkan dalam negeri, ia diimport daripada Indonesia.
Maknanya, tidak semua barangan keperluan harian meningkat naik. Ada juga barangan yang dijual lebih murah daripada sebelum subsidi dimansuhkan. Contohnya, harga ayam dan telur ayam. Sepapan telur ayam gred c, sebelumnya ditetapkan RM 11.40 sepapan (30 biji). Kini, ada pasar raya jual telur gred yang sama kurang RM 9.00 sepapan.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, pengeluaran telur ayam telah meningkat kepada lebih 1.6 bilion biji sebulan. Keperluan rakyat adalah sekitar 1 bilion biji sebulan, ada lebihan sekitar 600 juta biji. Lebihan itulah yang dieksport. Akibat pengeluaran tinggi itu harganya semakin murah. Ia bergantung pada permintaan dan penawaran, asas ekonomi yang sangat difahami oleh Presiden PAS.
Jadi, kalaulah itu isunya, buang masa sahaja turun berdemonstrasi dalam keadaan cuaca panas. Cuaca Kuala Lumpur diramalkan akan meningkat kepada 37 darjah celcius. Ketika ini, suhu di Kuala Lumpur sekitar 35 darjah celcius, terasa cukup panas dan tidak sesuai dilakukan aktiviti di luar rumah.
Perihal harga minyak, RON 95 Perdana Menteri sudah umumkan, harganya akan diturunkan kepada RM 1.99 seliter bagi rakyat Malaysia. Ia akan berkuatkuasa akhir September atau awal Oktober nanti, dengan kaedah, perlu menggunakan MyKad sebagai dokumen yang sah.
Kata Perdana Menteri, selepas ini apakah ada lagi pihak yang akan membela orang asing? Sebabnya, bukan warganegara dikenakan harga mengikut pasaran, bukan harga bersubsidi. Apakah kaedah ini dianggap zalim kepada rakyat Malaysia?. Jika itulah yang ditafsirkan, pentafsirnya lebih baik berhenti menjadi manusia yang berhemah dan bersyukur.
Kita tahu, selagi namanya parti pembangkang, selagi itulah terus bermimpi walaupun mimpi itu tidak bertepikan kenyataan. Mereka cuba menjadi pihak yang cukup idealis, sedangkan setiap daripada kita tidak hidup bersandarkan idealisme sahaja.
Itulah yang pernah dihadapkan oleh Rasulullah SAW sendiri yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda “(Wajib) Ke atas semua muslim untuk mendengar dan mentaati pemerintah sama ada saja ada dalam perkara yang dia suka atau tidak, melainkan sekiranya pemimpin itu memerintahkan kepada perkara-perkara maksiat. Sekiranya dia memerintahkan perkara maksiat, maka tidak perlu mendengar dan ditaati.” (Shahih Muslim no. 1839).
“Daripada Ubadah bin al-Samit RA dia berkata: Rasulullah SAW telah memanggil kami lalu kami berbai’ah (mengucapkan janji setia) kepada Baginda Babi SAW. Nabi bersabda kepada kami tentang (antara butir) perjanjian kami. Kami berbai’ah untuk dengar dan taat (pemimpin) dalam perkara yang kami suka atau benci, dalam keadaan kami senang atau susah, dan mengutamakan Baginda lebih daripada diri kami sendiri. Dan, kami tidak boleh mencabut urusan (jawatan) daripada ahlinya (daripada pemimpin) melainkan sekiranya kamu melihat kekufuran yang jelas, yang boleh dikemukakan sebagai bukti di hadapan Allah.” (Shahih al-Bukhari, no. 7056).
Larangan menjatuhkan seseorang pemimpin sebagai langkah demokratik, bukanlah satu tindakan yang beretika apatah lagi jika dilakukan tanpa proses yang betul dan kaedah yang dibenarkan. Ia adalah tindakan yang tidak menepati makna politik Islam yang sangat menekankan perihal akhlak dan susila. Jika beralasan, dilarang penjawat awam “ikut serta” sebagai tidak memahami semangat Rukun Negara, menyeru kepada himpunan jalanan juga ikut tidak memahaminya. Rukun Negara menegaskan, bersama-sama prinsip yang wajib dijunjung tinggi, Kesopanan dan Kesusilaan. Bersusilakah berkumpul, berarak dalam suasana panas terik dengan pekikan, kaki hamun dan desakan yang jelas memperlihatkan “gila kuasa”?
Tunggulah, bila sampai waktunya, tidak seorang pun menolak sekiranya Perikatan Nasional menang Pilihan Raya Umum ke-16. Kalau benar-benar “anak jantan” bersilatlah apabila gelanggang dibuka, bukan tunjuk hebat di jalan raya ketika rakyat sedang memulakan kehidupan pasca PKP yang menyeksa dah menyebabkan kita dilanda emosi terkepong. Usah seretkan rakyat bersama politik kebencian dan narsistik.
KAMARUN KH
Recent Comments