Ramalan pada tahun 2035, California bakal jadi sebuah negara baharu yang tidak lagi dalam Amerika Syarikat. California tidak ada apa-apa lagi hubungannya dengan pemerintah pusat. California akan mentadbir sendiri tanpa ada keluh-kesah untuk memenuhi tuntutan dan kehendak politik Rumah Puteh.
California yang kita ketahui, awal tahun ini berlaku kebakaran besar yang yang telah memusnahkan ribuan ekar hutan, kebanggaan Hollywood dan rumah-rumah agam para artis semakin merasakan terpinggir oleh pentadbiran persekutuan.
Sebelumnya, semasa kempen Pilihan Raya Presiden (2016), California pernah bercadang untuk keluar daripada gabungan Amerika Syarikat jika Donald Trump memenanginya. Bagaimanapun, setelah Trump benar-benar meraih kejayaan mengalahkan Hillary Clinton, California tidak jadi mengajukan tindakan tersebut.
Namun, kali ini muncul beberapa ramalan bahawa California mungkin akan membentuk kerajaannya sendiri yang merdeka pada tahun 2035 atas alasan, Amerika Syarikat semakin ditadbir secara diktator, dan sebahagian pentadbirnya, diresapi pendekatan komunis.
Bagi sebahagian rakyat Amerika Syarikat, sosialisme disamakan dengan komunisme. Secara teori ada benarnya, sebab sosialisme lahir dari pemencaran pemikiran komunisme yang dianggap terlalu “ketat mengurung kebebasan rakyat.” Sosialisme lebih lunak, tidak menyekat kemajuan rakyat tetapi ada kawalan yang perlu dipatuhi.
Sekurang-kurangnya itulah yang Trump lakukan apabila melabelkan calon walikota New York yang mengakui berfahaman sosialis sebagai membawa ideologi komunis.
Zohran Kwame Mamdani tidak gentar dengan pembingkaian imej oleh Trunp sebaliknya, berusaha keras menyatakan perjuangannya ialah membela rakyat New York yang selama ini dipinggirkan, yakni bukan dalam kalangan hartawan dan kapitalis besar.
Zohran menjadi calon walikota New York yang popular dan tegas dalam pendiriannya terhadap fasisme Donald Trump terhadap Palestin. Zohran sudah digelar sebagai “People Mayor” oleh penduduk New York. Datuk Bandar berjiwa rakyat, sebabnya, jika menang Mamdani berjanji akan membela para imigran dan membongkar apa yang berlaku di Penjara Al-Catraz, yang menjadi ruang Trump membina pengurah politiknya.
Trump melebarkan kenyataannya dengan menjadikan isu imigran, dan penduduk tetap sebagai “punching bag” terbaharu setelah tarif timbal balas dikritik tajam oleh banyak negara. Trump khabarnya sedang menunggu tarikh 1 Ogos 2025 untuk melaksanakan tarif timbal balas tersebut. Segala-galanya menjadikan Trump malu, Mamdani mengemukakan sijil kerakyatan dan kronologi kemasukannya ke Amerika Syarikat secara sah.
Negara-negara yang sudah “berbincang” tidak pula diumumkan kasarnya, kecuali Vietnam dikenakan 24 peratus (pengurangan daripada 44 peratus) dengan syarat produk Amerika Syarikat bebas dibawa masuk, dengan tiada tarif atau mungkin dengan tarif yang sangat rendah.
Tentunya, California akan mengalami situasi yang boleh menjejaskan kesihatan ekonominya. Ini kerana sebahagian besar pekerja di Silicon Valley adalah rakyat asing termasuk di peringkat penyelidik mahupun pereka bentuk isi kandungan teknologi. Pekerja bawahan memang diisi oleh rakyat asing, sebaliknya rakyat Amerika Syarikat semakin ramai bekerja di luar negara sebagai ekspatriat.
Trump juga menghalang penduduk tetapnya daripada keluar daripada Amerika Syarikat sama ada untuk melancong, mengunjungi keluarga atau hadir majlis perkahwinan anak saudara, kenalan dan relatif. Jika keluar juga, taraf penduduk tetap akan dibatalkan. Dasar-dasar sebegitulah dilihat Trump semakin terselindung fasisme dan politik identiti. MAGA semakin mirip ke arah itu.
Perbalahan Trump dengan Musk turut mewarnakan makna politik MAGA apabila orang yang terkaya dan pernah menyalurkan dana kempen sebanyak USD 280 juta sedang berusaha menubuhkan parti baharu, yang bakal mempertaruhkan calonnya merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat dalam pilihan raya akan datang (2028).
Tentunya, sebahagian besar penggerak American Party adalah dalam kalangan aktivis Parti Republikan sendiri yang bencikan Donald Trump, yang ketika ini “berdiam diri” dan pura-pura menyokong Trump demi “bertahan hidup”.
Ramalan persaingan politik seterusnya akan menjadi semakin jelas, perspektif politik identiti yang diperluaskan oleh Donald Trump akan menjadi ukuran. Jika MAGA berjaya, ia akan mengekalkan penguasaan Parti Republikan untuk tempoh seterusnya, tetapi yang jelas ialah sedikit sebanyak sabotaj akan berlaku kerana lebih ramai rakyat Amerika Syarikat sudah mula rasa tertipu.
Isu yang sedang diperkatakan ialah mengenai kelulusan cadangan peraturan perdagangan dan perbelanjaan yang disifatkan sebagai “big beautiful bill”. Kelulusan itu akan membawa kepada kelulusan undang-undang dan dikhuatiri menyebabkan lebih 37 juta terjejas akses kesihatan, yang sebelumnya dijamin melalui oleh pelan insurans kesihatan.
Sama ada menjadi kenyataan atau tidak, California merupakan negara yang terkaya dan KDNK tahunan melebihi purata KDNK Amerika Syarikat. California tidak berhadapan dengan masalah pengurusan dan pentadbiran jika berpisah kerana segala-segalanya sudah dimiliki.
Bahkan, Amerika Syarikat terpaksa memikirkan untuk memindahkan pengkalan tenteranya di California, kerana California akan menjadi entiti yang berasingan, jika pemisahan itu menjadi kenyataan dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Yang dibimbangkan, apakah jika cadangan itu benar-benar berlaku, adakah akan tercetus perang saudara antara Amerika Syarikat yang masih berbaki 49 buah negara melawan California. Apakah sikap Amerika Syarikat jika cadangan itu benar-benar muncul?
Semuanya boleh berlaku, kerana California semakin merasakan “terbeban” dengan “tempias” dasar dan cara Trump mentadbirkan gabungan Amerika Syarikat, walaupun baharu melepasi tempoh enam bulan, untuk penggal kedua.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments