Antara kisah keanehan yang berlaku kepada Tok Selehor ialah seorang lelaki pernah datang bertemu beliau untuk memohon doa agar isterinya yang membencinya berubah hati.

Daripada kisah itu, lalu Tok Selehor menggubah dua buah syair dan disuruh suaminya itu berikan kepada isterinya untuk dibaca.

Maka, terbitlahlah rasa sayang di hatinya kepada suaminya tersebut buat selama-lamanya. Inilah bunyi syairnya….

Tiap-tiap malam kanda bermimpi

Adinda di tengah kanda di tepi

Menghisap rokok meminum kopi

Memeluk tengkuk mencium pipi

Sedap rasanya tiada terperi

Harum baunya umpama kasturi

Suka dan hilai senang di hati

Kasih mesra sehingga mati.

Ini antara syair yang sangat berpengaruh yang masih diingat oleh muridnya Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah di Kampung Kok Pasir, Tumpat.

Jika dilihat lirik syair ini biasa sahaja, tetapi kesannya begitu mendalam, bahkan masih segar hingga ke hari ini apabila dibaca dan didengar alunannya.

Ini dek kerana syair ini ditulis daripada suara hati, lalu yang terkena ialah hati. Inilah salah satu karamah Tok Selehor yang jarang-jarang pihak penganalisis mendedahkannya.

Betapa tajamnya lidah dan masinnya madah Tok Selehor, yang terus tertusuk ke dalam jiwa sehingga boleh mengubah sifat seseorang.

Selain melalui syair, antara kesan daripada bacaan lidah Tok Selehor ialah bacaan kisah Israk dan Mikraj.

Jika beliau membaca kisah itu, terasa benarlah kemesraan terhadap Nabi Muhammad SAW dan ada orang terpaksa memanjat pokok kelapa untuk melihat Tok Selehor yang sedang membacakannya.

Orang-orang yang datang mendengarnya telah banyak berubah daripada tidak solat kepada solat secara istiqamah, daripada jahat kepada baik, daripada nakal kepada insaf.

Ini menyebabkan Kampung Selehor yang dahulunya banyak acara pemujaan hantu-hantu telah berhenti dengan serta-merta dan mereka bertukar menyembah kepada Allah semata-mata.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »