Oleh: Awang Idris

5 Julai 2025 | Sabtu | 10:35 malam

Sudah lebih tiga dekad berlalu sejak Kelantan diamanahkan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan laungan penuh semangat “Membangun Bersama Islam.” Ia bukan sekadar slogan, tetapi satu cita-cita luhur — agar bumi Serambi Mekah ini menjadi contoh cemerlang sebuah negeri yang maju dari segi rohani dan sahsiah, meskipun mungkin sederhana dalam ukuran material dan fizikal.

Harapan dan Realiti

Sebagai anak watan yang menaruh harapan tinggi, saya mengimpikan Kelantan akan tampil sebagai negeri contoh — sebuah wilayah yang mesra rakyat, bersih daripada jenayah, kaya dengan budaya ilmu, subur dengan amal soleh, dan kaya nilai kemanusiaan. Biarlah bangunan tidak menjulang, asalkan akhlak dan budi pekerti masyarakatnya tinggi melangit.

Namun, apa yang terpapar di media dalam beberapa hari ini, benar-benar mengejutkan. Penangkapan seorang individu yang dikenali sebagai pempengaruh sosial — didakwa sebagai tokan dadah — bukan sahaja menggoncang emosi rakyat, bahkan mencalar keyakinan terhadap arah tuju pembangunan sahsiah yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Setinggi-tinggi Penghargaan

Di celah keresahan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya kontinjen Kelantan yang bertindak cermat, tegas dan berani dalam membanteras jenayah tanpa mengira latar belakang pelaku. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada YDH Datuk Mohd Yusoff Mamat, Ketua Polis Kelantan, yang bukan sahaja menunjukkan ketegasan dalam tindakan, tetapi juga ketelusan dan profesionalisme dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Sedikit catatan peribadi — jika tidak silap saya, YDH Datuk Mohd Yusoff Mamat pernah bersama-sama dalam satu pasukan dikir barat ketika menuntut di UTM dahulu, di bawah bimbingan En. Nik Mohamad Husin, seorang pegawai Hal Ehwal Pelajar yang sangat aktif memupuk bakat, disiplin dan semangat berpasukan. Betapa jauh perjalanan masa membawa beliau ke medan tanggungjawab yang lebih besar, namun nilai murni kepimpinan dan kebersamaan itu nyata masih terpancar dalam keperibadian beliau hari ini.

Teguran Beradat, Nasihat Berhikmah

Kepada yang memimpin negeri, teguran ini bukan datang dengan caci dan hina, tetapi dengan hati yang ikhlas dan penuh hormat — membawa suara rakyat yang ingin melihat perubahan dan penambahbaikan. 30 tahun adalah satu tempoh yang cukup untuk menilai — bukan sekadar sejauh mana projek pembangunan fizikal terlaksana, tetapi sejauh mana rakyat, khususnya golongan muda, terlindung daripada kerosakan sosial dan racun dadah.

Jika ada kelemahan, akuilah. Jika ada kelalaian, insaflah. Sesungguhnya rakyat Kelantan tidak mendambakan pencakar langit, tetapi mendambakan pemuda yang bangkit daripada lemah, keluarga yang bebas tekanan, dan masyarakat yang hidup dalam aman dan berkat.

Masa Hadapan: Titik Perubahan

Marilah kita jadikan insiden ini sebagai satu detik keinsafan bersama — untuk seluruh jentera kerajaan negeri, masyarakat sivil dan institusi keagamaan berganding bahu menyelamatkan generasi akan datang. Kita tidak mahu lagi mendengar berita-berita sedih yang mencemarkan nama negeri yang kaya dengan tradisi dan agama ini.

Sesungguhnya, membangun bersama Islam bukan sekadar mendirikan masjid dan menara, tetapi membina insan yang hatinya adalah mihrab takwa, akalnya dipandu ilmu, dan perbuatannya mencerminkan akhlak Rasulullah SAW.

Kelantan, bangkitlah. Bukan untuk menunjuk kepada dunia, tetapi untuk menunaikan amanah Tuhan.

Translate »