Kisah Ikan Yu Puaka

Pada suatu hari dalam tahun 1935, Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kebiasaannya di selatan Thailand Namun, kali ini dia pergi berburu di Gual Periok, suatu tempat yang dianggap berpuaka, tetapi Tok Selehor tidak takut sedikitpun dengan ikan yu yang dikatakan berpuaka itu.

Semasa berburu itu digunakannya pipit (sejenis alat tiupan) untuk memanggil rusa. Setelah ditiup pipit itu, maka rusa pun datang dan ketika itulah rusa ditembak dan disembelih.

Oleh sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa. Demikian dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Husain dan Encik Mamat bin Senik dari Selangor.

Selepas tiga hari pulang daripada memburu rusa, seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pangkalan tempat mandi Tok Guru Selehor (Sungai Selehor). Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, ia kemudian keluar semula ke laut.

Dua hari kemudian datang burung gagak ke tanah perkuburan kampung Selehor (Kok Pasir) dengan banyaknya sehingga orang-orang kampung hairan melihat peristiwa itu kerana mereka tidak tahu apa maksudnya.

Selepas beberapa hari, Tok Selehor ditimpa sakit kepala, walaupun puas diubati tetap tidak sembuh. Selepas lapan hari, iaitu pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935, jam 8.30 malam, dia pun meninggal dunia dalam usia 64 tahun.

Kemudian, barulah murid-muridnya sedar. Mungkin kejadian kemunculan ikan yu yang dianggap agak aneh di tempat permandian Tok Selehor sebagai pertemuan terakhir untuk mengucapkan salam terakhir kepada Tok Selehor menjelang kematiannya.

Kisah Buaya Putih

Kisah buaya putih di tempat mandian Tok Selehor sering diceritakan oleh penduduk kampung selepas kematiannya, kononnya ia dibela oleh Allahyarham Tok Selehor. Kisah aneh itu masih segar dalam ingatan masyarakat di kedua-dua buah kampung berdekatan iaitu, di Kampung Kok Pasir dan Kampung Kok Keli.

Pada suatu ketika dahulu, seekor buaya putih telah dilepaskan oleh Tok Selehor ke dalam sungai ini. Tujuannya adalah agar buaya putih tersebut dapat menghalau mana-mana buaya liar yang cuba mengganggu penduduk kampung yang mencari rezeki atau bermandi-manda di sungai ini.

Waris terdekat kepada Tok Selehor, seorang muslimah, pernah diceritakan telah dilibas oleh ekor buaya putih itu ketika sedang membasuh pakaian di tepi sungai. Namun, tiada apa-apa yang berlaku kepadanya. Mungkin ia merupakan satu isyarat amaran, atas sebab-sebab tertentu yang tidak diketahui.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »