Dalam sambutan Hari Tentera Darat itu, yang dihadiri oleh 6,000 orang tentera dan yang terbesar daripada sambutan sebelumnya, Trump berkata “US Army” yang ditubuhkan pada tahun 1775 adalah lebih tua daripada negara Amerika Syarikat itu sendiri.

Trump mengambil sejarah berkenan 13 buah jajahan British yang bergabung mengisytiharkan kemerdekaan pada 4 Julai 1776, iaitu setahun selepas tertubuhnya US Army secara rasmi.

Hari ini, dengan pelbagai helah dan tindakan, Amerika Syarikat merupakan gabungan 50 buah negara, yang terdiri daripada jajahan takluk British, Sepanyol dan milik penduduk asal yang diusir dan disisihkan daripada tanah leluhurnya.

Walaupun secara dasarnya isu perkauman dapat diselesaikan, Amerika Syarikat belum bebas sepenuhnya daripada politik identiti, sebaliknya terus berusaha untuk mengekalkan white supremacy, ketuanan kulit putih.

Masyarakat kulit hitam, walaupun sudah menunjukkan banyak kemajuan berlaku dari segi hak dan peluang, isu perkauman terus membelenggu dalam beberapa program pembinaan bangsa Amerika yang semakin nyah asal usul etniknya.

Bagaimanapun, setakat ini rakyat Amerika Syarikat belum bersedia menerima calon Presiden daripada kalangan wanita. Dua percubaan Parti Demokrat telah gagal (Hillary Clinton dan Kamala Haris).

Menariknya, kemenangan Trump dalam dua pilihan raya Presiden dianggap sebagai kemenangan apabila bersaing dengan wanita. Trump kalah bersaing dengan calon lelaki, walaupun Joe Biden lebih tua dan diragui staminanya.

Joe Biden tidak pertahankan jawatan untuk penggal kedua atas alasan kesihatan, dan beberapa kali tersasar bila menyebut Zelensky, pemimpin Ukraine.

Banyak pihak melihat apa yang dilakukan oleh Trump sebagai hasrat untuk menobatkan dirinya sebagai seorang raja atau seorang pemimpin diktator. Dalam bulan-bulan awal penggal kedua di Rumah Putih, Trump banyak berselisih dengan kakitangan selain berusaha melantik kroninya yang sebahagian besar adalah berketurunan Yahudi.

Seorang wartawan, Brianna Kellar melaporkan dalam CNN, perilaku presiden telah menyebabkan “…very hard for some people to separate the presidential politics and protests from the parade and its stated purpose which is to celebrate the anniversary of the United States army.”

Walaupun sambutan itu dianggap sebagai satu peristiwa besar dengan haknya yang tersendiri, kata Kellar “the institution which was key to the founding of our nation and its survival”.

Maknanya, survival Amerika Syarikat sangat bergantung kepada kekuatan tentera, juga kecanggihan senjata, teknologi perang dan strategi dasar luar selain kecekapan sistem pertahanan.

Sayangnya, aspek moral dan psikologi tentera tidak diberikan pemakanan, maka tidak hairanlah ramai para veteran tenter ikut mengkritik dasar ketenteraan Amerika Syarikat.

Tentunya kita masih ingat beberapa tragedi yang membabitkan amukan anggota tentera selepas mereka balik daripada perang terbuka di mana-mana negara, kerana penyertaan mereka bukan mempertahankan negara sendiri, tetapi kerana ego seorang presiden untuk menjadikan Amerika Syarikat kekal sebagai polis dunia.

Sebagai contoh ialah tragedi yang berlaku di salah sebuah pengkalan tentera terbesar Amerika Syarikat di Ford Hod, Texas. Bulan April 2020, seorang askar wanita, Vanessa Guillen dilaporkan hilang. Mayatnya ditemukan dua bulan selepas dilaporkan hilang dalam keadaan sangat mengerikan.

Akhirnya ia membawa kepada pendedahan jenayah kejam yang dilakukan oleh rakannya sendiri dalam kalangan anggota tentera. Ertinya, jenayah seksual dalam kalangan rakan setugas dalam angkatan tentera cukup meresahkan, antaranya disebabkan oleh tekanan latihan dan disiplin tentera, yang kadangkala mengongkong keperluan biologi manusia.

Selain itu, kisah seorang anggota tentera yang baharu kembali daripada tugasannya di Irak turut menggemparkan betapa “marahnya” kerana dipaksa berperang dalam tujuan yang tidak wajar, yakni bukan mempertahankan kedaulatan negara sendiri daripada pencerobohan.

Dalam amukan seorang askar yang pernah bertugas di Irak pada tahun 2014 itu menyebabkan empat orang terbunuh dan 16 lagi cedera. Askar yang mengamuk itu dikatakan mengalami masalah mental (PSTD) akibat tekanan kerja semasa ditugaskan di Irak (2011). Askar itu sedang menerima rawatan psikiatri. Bagaimanapun, askar terbabit akhirnya menembak diri sendiri.

November 2009, Ford Hod mengalami tragedi yang membabitkan seorang askar berpangkat major, Nidal Hassan menembak mati 13 orang dan mencederakan lebih 30 mangsa. Nidal kemudiannya berjaya ditembak, tetapi beliau tidak mati dan kemudiannya dijatuhkan hukuman mati.

Kata-kata Nidal Hassan cukup menggemparkan rakyat Amerika Syarikat kerana dia tidak sanggup membunuh orang Islam di Irak. Bagi Nidal, dia seharusnya menolong sesama Islam, bukan membunuhnya. Tentera Amerika Syarikat tidak sepatutnya terbabit dalam mana-mana peperangan atas dasar yang tidak wajar, kecuali mempertahankan negara sendiri daripada serangan musuh.

Seharusnya, sebagai seorang yang dipilih untuk Make America Great Again, Trump wajib belajar daripada insiden dan tragedi yang berlaku akibat keghairahan seorang pemimpin untuk berperang atau melampiaskan ego sebagai negara adikuasa.

Ertinya, Trump akan dihormati oleh masyarakat dunia sekiranya beliau menggunakan kuasa untuk menyelesaikan konflik di Timur Tengah yang sudah berlarutan sejak tertubuhnya negara haram Israel.

Jika ini dapat dilakukan, moral Amerika Syarikat akan meningkat, bukan dibenci oleh masyarakat dunia, juga rakyatnya sendiri. Masyarakat dunia sudah terlalu bosan dengan angkara Amerika Syarikat yang suka campur tangan dan melaksanakan dasar imperialisme ke atas negara-negara kecil.

Sebaliknya, dengan Rusia yang mampu dilakukan ialah mengenakan embargo. Dengan China dilaksanakan Perang Perdagangan’. Dengan Korea Utara, Trump pernah gagal pada penggal pertama pemerintahannya (2017-2020).

Sambutan yang cuba dilaksanakan semula setelah 34 tahun diabaikan mungkin bagi Trump untuk menunjukkan kekuatan angkatan tentera Amerika Syarikat kepada dunia. Itulah tidak hairan apabila beberapa jam selepas menyertai Amrmy Parade, Trump berkata, Amerika Syarikat mempunyai kuasa ketenteraan terbesar di dunia. Ia cuba menyindir Rusia, China mahupun Korea Utara.

Trump juga sedang menunjukkan perangai buruknya suka membuli apabila mendapat tahu banyak negara mula memberikan sokongan moral kepada Iran. Paling mengecewakan Amerika Syarikat apabila dengan beraninya pemimpin Korea Utara secara terbuka mengumumkan akan membantu Iran apa sahaja yang diperlukan.

Trump yang cuba mengendurkan ketegangan diplomatik dengan Rusia dan China cuba menunjukkan bahawa negara itu belum lagi lumpuh sama ada dari segi ketenteraan dan ekonomi domestiknya. Amerika Syarikat terpaksa berbuat demikian kerana di bawah kepimpinan Trump semakin dipencilkan dan hilang rakan strategiknya.

Kanada turut berkecil hati bila Trump berhasrat menjadikan negara itu sebagai anggota ke-51. Norway juga berkecil hati apabila Trump bercadang membeli Greenland. China tidak gentar dan membalasnya dengan tarif yang tinggi apabila produknya dikenakan tarif timbal balas sehingga melebihi 150 peratus.

Nampaknya, hanya India yang benar-benar membuat keputusan terbuka dalam hubungannya dengan Amerika Syarikat. Ekoran cadangan dikenakan tarif, India segera “melutut” dan menawarkan pembelian senjata dan pesawat terbang yang besar daripada Amerika Syarikat.

Sejumlah lebih 8,800 buah pesawat komersial buat Amerika syarikat, Boeing yang ditempah oleh China dibatalkan akibat dasar perlindungan perdagangan yang tidak adil. Ketika itu Trump mengenakan tarif 145 ke atas produk China yang diimport, dan secara timbal balasnya, China membatalkan tempahan yang dibuatnya untuk membeli pesawat penumpang Boeing untuk tempoh 20 tahun. Boeing terpinga-pinga dengan keputusan tersebut, sebabnya, Boeing telah membuka hab pengeluarannya di China sejak tahun 2018.

Jadi, Trump secara simboliknya cuba menghidupkan sambutan ulangtahun US Army sebagai “bermaruah” membuktikan Amerika Syarikat masih kuat, gagah dan mampu menguruskan geopolitik antarabangsa. Tentunya, ada juga benarnya bila sambutan itu turut “dirampas” dengan tunjuk perasaan membantah Trump untuk mengisytiharkan dirinya sebagai “Raja Amerika Syarikat” secara tidak langsung.

Langkah dan tindakannya cukup mencirikan hasrat tersebut, termasuk suka menunjukkan kuasa dan membantah sesuai sahaja yang enggan bersetuju dengan keputusannya. Dibawah kepimpinan Trump, Amerika Syarikat dikatakan sedang menuju kepada sistem pentadbiran diktator, kerana Trump mahu semua orang “melutut” dan menjadikannya sebagai “Raja tanpa ada nasab dan darah bangsawan. Trump adalah anak keluarga pasangan Yahudi yang berhijrah dari Jerman (ayahnya, Fred Trump). Ibunya (Mary Anne MacLeod) berasal dari Scotland.

Trump cuba meletakkan dirinya lebih tinggi daripada undang-undang. Beliau bukan sahaja memperlekehkan keputusan undang-undang bahkan cuba menelan pengamal undang yang tidak berusaha menjadikan dirinya kebal . Itulah apa yang berlaku ketika ini, Trump mahu jadikan dirinya sebagai Raja dan sekaligus diktator.

KAMARUN KH

Translate »