Walaupun “tidak mengaku kalah”, Trump takjub dengan apa yang dilakukan oleh Iran. Ia menunjukkan pengakuan terbuka secara tidak langsung tentang kehebatan teknologi nuklear Iran, yang lebih terkehadapan dengan Amerika Syarikat sendiri.
Dalam pada mengutuk dan mengecam Iran, Trump kagum dengan sistem pertahanan yang tidak mampu dirosakkan sepenuhnya walaupun bertan-tan bom telah digugurkan. Loji nuklear Iran di dalam tanah semacam “tidak tersentuh” oleh B2B (Bunker Buster) yang dikatakan mampu memasak ke dalam bumi sehingga 200 kaki.
Tembok loji nuklear Iran masih kebal, dan di atas kekebalan itulah Trump terus membuli Iran untuk segera menghentikan pengayaan uraniumnya. Iran tidak takut ugutan Trump, sebaliknya Menteri Luar Iran terus mengatakan, Iran belum bersetuju berbincang dengan sesiapa pun mengenai projek nuklear yang seterusnya.
Kejayaan Iran kerana visi masa depan pemimpinnya yang tidak mahu tunduk kepada mana-mana negara yang dianggap kuasa besar. Iran berusaha untuk menjadikan dirinya sebagai kuasa yang berpengaruh di Timur Tengah dan tidak bersedia mengalah.
Sejak Iran dikucilkan oleh banyak negara yang bersekutu dengan Amerika Syarikat, pemimpinnya tidak berhenti berfikir untuk menunjukkan bahawa Islam bukanlah fahaman yang mundur dan senang dicaturkan oleh kuasa-kuasa besar.
Dengan sekatan antarabangsa, Iran menjalin hubungan dan kerjasama ekonomi dengan China dan Rusia. Saintis Iran belajar daripada negara-negara tersebut, dan juga Korea Utara bagaimana untuk membebaskan diri daripada naungan barat, bukan seperti kebanyakan negara-negara Arab dan Afrika Utara.
Setiap hari Iran sering disebut sebagai negara Syiah, dan dengan sistem pemerintahan autokratik, tidak mampu bangkit sebagai sebuah negara besar, baik dari segi pembangunan ekonomi dan kemajuan teknologi. Akhirnya, dalam “tekanan” itu, Iran benar-benar muncul sebagai sebuah negara yang berani melawan Amerika Syarikat.
Pemimpinnya akan menyanggah setiap tekanan yang dikenakan dan dalam Perang Iran-Israel, cukup jelas membuktikan para mullahnya tidak pernah takut. Rakyatnya bukan pengecut, dan sanggup bersama para pemimpin untuk melawan imperialis, walaupun lawannya itu dianggap sebagai “polis dunia” dan “adikuasa”.
Dalam ghairah Israel, tidak ada satu pun negara Arab yang menunjukkan pendirian tegas menyokong Iran, kebanyakannya sekadar menyatakan gesaan untuk segera dihentikan perang. Negara-negara Arab semacam termakan propaganda Amerika Syarikat dan sekutunya, Iran adalah sebuah negara yang bahaya.
Sebenarnya, Iran tidak bahaya, yang bahaya ialah Amerika Syarikat akibat gila nak mempertahankan hagemoni dan dasar imperialismanya. Walaupun mengugut untuk menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan 20 peratus eksport minyak, Iran masih belum melakukannya.
Sebabnya, Iran harus mempertimbangkan eksport minyaknya ke China, yang merupakan pembeli utama. Jika laluan itu ditutup, ia turut menjejaskan pendapatan Iran, UAE, Qatar dan Kuwait. Sebaliknya, Amerika Syarikat tidak terjejas kerana minyak dikeluarkan olehnya sendiri daripada “shell oil” sejak teknologi mengoperasi minyak (fracking) dalam batu berjaya dibangunkan sejak tahun 2007 lalu.
Pada tahun 2017, Amerika Syarikat berjaya mengatasi keluaran minyak mentah (10 juta tong sehari) Arab Saudi (9 juta tong sehari). Sejak itu, Amerika Syarikat merupakan pengeluar minyak terbesar dunia.
Israel merupakan “suis perang” yang dipasang oleh Amerika Syarikat untuk mendominasi politik Timur Tengah. Itulah sebabnya hampir separuh rakyat Israel mempunyai dua kerakyatan, Israel dan Amerika Syarikat. Itulah juga menjadi sebab kenapa Amerika Syarikat menaja Israel dan akan mempertahankan Israel mungkin sampai munculnya Imam Mahadi. Menurut penganut Yahudi, Imam Mahadi akan muncul di Jerusalem dan akan kembali menguasai kerajaan di dunia, dengan satu tekad dan tujuan, mendajalkan semua manusia dan agama.
Messianik itulah juga menjadi salah satu mitos dalam penubuhan negara haram Israel, setelah idea asalnya ditolak oleh penganut Yahudi sendiri. Bila suntikan nilai-nilai agama dimasukkan dalam Zionisme, ia mendapat sokongan sebahagian pengamal agama tersebut, dan mereka bersama melobi untuk menzahirkannya sebagai negara Yahudi (Jew State), yang dinamakan Israel.
Iran bukanlah sebuah negara bahaya sebagaimana bahayanya orang-orang Asia Barat bila berkunjung ke Amerika Syarikat. Secara amnya, setiap orang Islam yang berpakaian jubah dan wanitanya berjilbab, sudah dianggap “pengganas”. Hak asasi dan kebebasan beragama hanya sekadar teori politik, pada praktiknya, sentiasa muncul kecaman, diskriminasi dan “rasa takut”. Islamofobia sentiasa dihidupkan dan dikerangkan dalam bentuk, imej dan bungkusan yang baharu.
Trump sudah memulakan “rasa takut” apabila cuba mengecam calon (pemilihan 2025) Datuk Bandar New York, Zohran Kwame Mamdani. Zohran beragama Islam dan merupakan ahli politik Parti Demokrat. Zohran adalah wakil rakyat New York dan berasal dari Uganda. Keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat ketika Zohran berusia 7 tahun (lahir 1991). Ayahnya, Mahmood Mandani merupakan seorang ahli akademik manakala ibunya, Mira Nair seorang penggiat filem.
Zohran dipilih sebagai wakil rakyat sejak tahun 2021, untuk District 36, Queen, New York. Tahun 2018, Zohran mendapat taraf kewarganegaraan Amerika Syarikat. Zohran merupakan seorang yang lantang bersuara mengenai pembebasan Palestin dan mengecam keganasan Israel.
Trump yang berang dengan Zohran mengulangi dengan lebih tegas apa yang pernah dilabelkan oleh Senator Benny Sanders, sebagai seorang beraliran sosialis dalam Parti Demokrat. Benny Sanders merupakan seorang pengkritik yang lantang menolak dasar pentadbiran Trump dan beberapa kali mengecam dasar Amerika Syarikat terhadap pembebasan Palestin.
Apa pun, yang jelas Trump melakukan apa yang pernah dilakukan oleh George Walker Bush (Bush Jr), yakni berperang dengan Islam dan negara-negara Islam yang enggan tunduk dan berdiplomasi dengan Israel. Kalau Bush Jr menjarah Iraq, maka Trump juga akan berbuat hal yang sama, menjarah Iran.
Sayangnya, Iran tidak mudah dikalahkan walaupun kata Trump, dialah yang memberi arahan kepada Israel untuk tidak membunuh Ayatullah Ali Khameni, pemimpin spiritual Iran. Trump dan Bush Jr sentiasa “membuat kacau” kerana beliau percaya kepada kekuatan teori kekacauan (chaos theory) berlekuk kepada kesan kupu-kupu (butterfly effect).
Ekoran sikap Iran yang tidak mahu tunduk kepada kehendak Amerika Syarikat yang menjadi tangan kanan Israel, Trump mengancam untuk mengebom Iran sekali lagi dengan kapasiti yang lebih besar. Trump harus ingat, sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan adikuasanya tidak mampu menghaluskan Taliban, di Afghanistan dan juga tentera Viet Cong ketika Perang Indochina.
Jika sikap perhitungan, Amerika Syarikat akan mengalami nasib yang sama di Iran kerana kekuatan rakyatnya tidaklah sama dengan kejayaan Amerika Syarikat menguasai Iraq setelah berjaya membunuh Saddam Hussein.
Apa yang menjadi pertimbangan Trump kali ini ialah untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran, kerana Amerika Syarikat dan Israel percaya, bila pemimpin utama terbunuh, ia akan mengendurkan semangat rakyatnya. Itu adalah ‘jangkaan meleset’ kerana sudah ramai pemimpin Hamas dibunuh, Hamas tetap berjuang untuk membebaskan Palestin. Trump harus belajar, ketika Khomeini dibuang daerah atas dorongan Amerika Syarikat untuk menjadikan Redza Shah Pahlavi berkuasa penuh, semangat menolak bonekanya tidak pernah padam.
Khomeini ada kaedahnya untuk kekal memotivasikan rakyat Iran untuk menggulingkan Shah Pahlavi. Hanya dengan kaset dan rakaman pendidikan politik yang dibaluti agama telah berjaya menggulingkan boneka Amerika Syarikat itu. Nampaknya, ketika ini, anak kepada Shah Pahlavi cukup bersemangat untuk kembali memerintah Iran, sekiranya Amerika Syarikat dan Israel berjaya membunuh Ayatullah Ali Khameini, salah seorang tangan kanan Ayatullah Rahullah Khomeini.
Ali Khamenei diangkat memegang beberapa jawatan penting semasa pembentukan kerajaan peralihan selepas Revolusi Iran (1979). Tahun 1981-1989 Khamenei adalah Presiden Iran ketiga. Bila meninggalnya Ayatullah Rahullah Khomeini (3 Jun 1989), Ali Khamenei dipilih sebagai pemimpin tertinggi Iran, pemimpin spiritual (6 Ogos 1989).
Khameini banyak berguru dengan Khomeini dalam bidang agama dan menjadi orang kuat dalam menggerakkan Revolusi Iran walaupun ikut dibuang negeri oleh Redza Shah Pahlavi. Iran dalam pemerintahan Khameini sudah memasuki hampir empat dekad (36 tahun) menjadikannya pemerintah paling lama di Iran selepas Mohamad Redza Shah Pahlavi selama 38 tahun (1941-1979).
Mungkin itulah yang dikatakan oleh Trump bahawa Khameini adalah seorang diktator, walhal Trump sendiri cukup menyamai amalan seorang diktator dalam pentadbirannya. Berkelahi dengan pegawai dan kakitangan, bahkan tidak endahkan apa yang rakyat Amerika Syarikat mahu.
Trump mahukan dirinya dianggap sebagai Maharaja Amerika Syarikat, walhal secara sejarahnya, tidak ada pemerintahan monarki pernah diamalkan sejak Columbus berjaya menemui benua baharu itu. Dalam sambutan ulangtahun tentera darat, 14 Jun 2025, Trump cuba muncul seperti Maharaja, tetapi rakyat menyambutnya dengan demonstrasi “No King” untung Trump dan juga Amerika Syarikat.
Oleh kerana Iran bertegas dengan hak dan kepentingannya dipertahankan, Trump yang sombong dan angkuh mengugut akan serang Iran sekaki lagi kerana Khameini dianggap angkuh. Sebenarnya, yang angkuh adalah Trump bukan Khameini.
Sifat bongkak, angkuh dan sombong Trump itulah mungkin menjadi maksud Presiden China, Xi Jinping berkata, “dunia boleh hidup tanpa Amerika”. Tentunya, ramai yang bersetuju dengan Xi Jinping, atas alasan Trump “tidak boleh buat kawan”, Trump akan buli sesiapa sahaja kerana mahu buktikan dirinya cukup berpengaruh dan kuat, dalam makna semberono.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments