Perang Perdagangan itu turut menjadikan rakyat Amerika Syarikat hidup tertekan, dengan kos sara hidup, selain golongan kaya mula menunjukkan rasa marah kerana terpaksa mengubah gaya hidup.

Semuanya menuju kepada budaya lokal dan bakal menyebabkan firma-firma Amerika Syarikat yang melabur di luar negara tertekan. Produk mereka dikenakan tarif yang tinggi untuk dieksport ke Amerika Syarikat, ditakrifkan sebagai produk asing.

Trump juga membuat onar dengan Ketua Pegawai Eksekutif Federal Reserve. Trump beberapa kali mendesak agar Federal Reserve menurunkan kadar faedah bagi membolehkan ekonomi domestik berkembang. Menurunkan kadar faedah membawa maksud, lebih ramai usahawan akan membuat pinjaman untuk melabur dalam negeri.

Namun Federal Reserve tidak yakin dengan unjuran Trump. Sebaliknya ia boleh menjadikan kedudukan dolar melemah di peringkat global. Apabila dolar lemah, ia akan membawa peluang besar kepada dedolarization yang sudah pun bermula dalam kalangan ahli BRICS dan negara-negara yang bekerjasama dengannya.

BRICS sebenarnya belum bersedia menggunakan mata wang tunggal, hanya sekadar menggunakan mata wang masing-masing dalam pembayaran perdagangan. Negara anggota turut beralih kepada pelbagai nilai matawang untuk menentukan rezab kewangan domestik masing-masing, tidak lagi sangat bergantung kepada dolar.

Kesemua faktor itu menjadi punca kepada penilaian sebahagian rakyat Amerika Syarikat terhadap keputusan Rumah Putih. Trump juga cuba menyekat kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam di Amerika Syarikat, termasuk universiti ternama seperti Harvard dan Pennsylvania. Keputusan lain Trump ialah menghentikan dana kerajaan kepada universiti awam.

Keputusan itu dibuat kerana universiti-universiti mula menunjukkan penentangan terhadap dana universiti dan dasar Rumah Putih yang mendokong genosid Gaza. Krisis kemanusiaan di Gaza sudah dianggap sebagai krisis kemanusiaan terbesar dalam sejarah, bukan lagi krisis antara Palestin-Yahudi.

Gerakan memboikot (BDS) mana-mana produk yang ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Israel menjadi semakin berkesan sehingga produk itu mengalami kemerosotan pendapatan yang ketara.

Antaranya, makanan segera McDonald, Kentucky Fried Chicken, Pizza Hut, rangkaian perniagaan minuman (Starbucks), rangkaian produk penjagaan diri dan kosmetik. Beberapa jenama produk pembersihan rumah turut mengalami kemerosotan dan belum dicabut pemboikotannya di beberapa buah negara hingga kini.

Kesemua ini adalah gara-gara Trump yang cukup terbuka mendokong Israel, malah menginginkan Gaza ditadbir secara haram oleh Amerika Syarikat. Gaza akan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi dan penempatan mewah di Timur Tengah. Pada awalnya, Elon Musk dikatakan ada sedikit minat untuk bersama membangun Gaza sebagai Reviera Timur Tengah.

Setelah menghitung lebih banyak rugi dan imejnya akan tercalar, Musk tidak menunjukkan minat untuk bersama. Ia menjadi lebih serius setelah meninggalkan DOGE dan Rumah Putih. Musk sesekali lantang mengkritik keputusan Presiden.

Trump pernah mengesyorkan agar penduduk Gaza dipindahkan ke Mesir dan Jordan. Tidak ada negara jiran Palestin yang sanggup berbuat demikian. Negara-negara Arab menentang cadangan tersebut.

Namun, Trump tidak berpatah arang, maka dicari strategi baharu untuk memaksa penduduk Gaza berpindah atau dipindahkan. Gencatan senjata yang dimeterai pada 19 Januari 2026/5 akhirnya dilanggar oleh Israel setelah hampir dua bulan dikuatkuasakan.

Pelanggaran itu ada kaitan dengan misi Trump untuk mentadbir Gaza, yang diumumkan selepas Netanyahu bertemunya di Rumah Putih (4 Februari 2025). Sebelum bertemu Trump, Netanyahu berbincang dengan Musk.

Secara tidak langsung, Trump terus menggalakkan Israel untuk menyerang Gaza dan melakukan kekacauan baharu terhadap negara-negara yang ada hubungan akrab dan membantu pejuang pembebasan Palestin, Hamas. Hamas tidak diiktiraf sebagai mewakili rakyat Gaza, dan kekal dikelasifikasikan sebagai pengganas.

Trump turut mengalami imej yang buruk apabila Emanuel Macron menolak permintaan agar Vladimir Putin menjadi mediator bagi menghentikan Perang Iran-Israel. Perang Iran-Israel berlaku pada 13 Jun 2025. Israel mula menyerang pada malam tersebut dan Iran membalasnya beberapa jam kemudian.

Dalam satu kenyataan sombong Trump memberi amaran bahawa hanyalah Amerika Syarikat mempunyai kekuatan tentera dan senjata terbesar “bukan China, bukan Rusia”. Ungkapan itu bagi menggertak atau membuli negara-negara yang bersimpati dengan Iran.

Pada umumnya, kebanyakan negara menyatakan pendirian bahawa Iran secara sahnya berhak untuk bertindak balas, kerana Israel yang mula menyerang Teheran.

Ia menjadi sesuatu yang tidak masuk akal apabila Israel menggunakan alasan menghapuskan loji nuklear Iran. Israel dengan megahnya berkata bahawa apa yang dilakukannya kerana Iran mempunyai senjata nuklear, walhal Trump sudah pun mula berbincang mengenainya. Ini bermakna, Trump seolah-olah “mengarahkan Israel” melakukan tindakan itu bagi pihaknya, sebagai strategi bagi menundukkan Iran.

Iran sedar, perbincangannya dengan Trump seolah-olah “suatu kebodohan” kerana telah ditipu. Sebab itulah Iran tidak bersedia berunding lagi mengenai dakwaan memiliki senjata nuklear kerana ia akan dijadikan sebab oleh Israel untuk membelasah hampir kesemua negara tetangganya.

(Bersambung)

KAMARUN KH

Translate »