Menurut kisah yang diceritakan oleh anak murid kepada Tok Selehor (Tuan Guru Haji Abdul Kadir, Pondok Gaal) yang diceritakan kepada anak muridnya, iaitu Ustaz Zakaria Awang, dalam risalah beliau berkenaan Tok Selehor, bahawa Tok Selehor mempunyai empat orang isteri, dan ini sudah menjadi kebiasaan bagi beliau.
Beliau juga mempunyai dua ekor kuda, dua laras senapang dan sebuah perahu Bidar untuk menjadi pengangkutan jalan di Sungai Tumpat.
Tok Selehor juga gemar memburu, memukat dan menjala ikan. Ustaz Zakaria juga memetik beberapa kisah aneh yang pernah terjadi pada Tok Selehor.
Menembak Burung Puaka
Pada suatu masa orang kampung menceritakan mengenai seekor burung puaka di Kuala Tumpat. Ada orang yang cuba hendak menembak dengan senapang, tiba-tiba burung itu hilang.
Maka mereka menceritakan perihal burung ini kepada Tok Selehor. Maka datang semangat Tok Selehor hendak melawan burung yang dikatakan berpuaka tersebut.
Beliau pun bertanya kepada orang itu, biasanya jam berapa burung itu turun atau terbang di tempat itu, yakni di Kuala Tumpat. Lalu dijawab oleh orang itu kira-kira jam 8 pagi.
Kemudian, Tok Selehor mengarahkan muridnya, pelajar-pelajar pondok supaya cuti mengaji, kerana beliau hendak pergi melihat sendiri burung yang dikatakan berpuaka itu.
Mereka bersama Tok Selehor mengayuh perahu besar itu beramai-ramai ke Kuala Tumpat. Sebaik sampai di sana, mereka menanti sehingga jam 8 pagi, tetapi burung itu tidak muncul.
Setelah menunggu sekian lama, akhirnya burung tersebut muncul tetapi burung itu sekadar terbang sahaja tanpa turun hinggap di tempat biasa.
Tok Selehor tiada pilihan, lalu menembak burung itu semasa ia sedang terbang. Maka ditembaklah hingga bulu-bulunya jatuh ke bumi. Tetapi burung itu menghilang ke dalam awan. Ia tidak jatuh sama sekali.
Tok Selehor menyuruh muridnya mengutip bulu-bulu burung yang bertaburan itu dan balik ke pondok.
Sebaik sahaja sampai di pondok, maka datanglah orang kampung yang menerima khabar untuk bertanya hal burung puaka tersebut yang hilang ke dalam awan selepas ditembak Tok Selehor.
Tok Selehor menjawab, “Keno senapang aku ini… buktinya bulu-bulu yang dibawa balik ini.” Ditanya orang ke mana burung itu pergi? Jawab Tok Selehor, “Ia menghilang masuk ke langit.”
Sebaik sahaja Tok Selehor mengajar selepas zohor, di tengah-tengah sesi pembelajaran tiba-tiba Tok Selehor berhenti serta menggosok kepalanya, semacam ada sesuatu berita ghaib yang dibisikkan di telinganya, lalu beliau berkata kepada muridnya,
“Burung yang aku tembak itu dah jatuh.”
Lalu disuruhnya ambil burung itu di tempat tersebut. Memang betul burung tersebut telah jatuh ke bumi lalu dibawa balik muridnya dan digantung di depan surau untuk ditonton oleh orang kampung.
Burung puaka itu telah tewas di tangan Tok Selehor. Beginilah antara salah satu kisah yang diceritakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Kadir
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments