Sejak Jumaat lalu (13 Jun 2025), Israel memulakan tindakan terbaharu menyerang Iran dengan alasan untuk memusnahkan kesemua pengkalan pengayaan uranium (nuklear) yang dianggap tidak mematuhi ketetapan antarabangsa. Ironinya, pihak badan pemantau nuklear antarabangsa tidak pernah menekan Israel untuk memgumumkan atau melaporkan program nuklearnya, yang sangat cenderung untuk berperang.
Dalam serangan tersebut, dua orang pegawai utama angkatan tentera Iran terbunuh (Mejar Jeneral Mohammad Bateri, Pengerusi Ketua Turus Angkatan Tentera; dan Mejar Jeneral Hossein Salami, Panglima Tentera IRGC) menyebabkan negara yang dikawal oleh pemimpin agama, Ayatullah Seyyed Ali Khameni tidak berpeluk tubuh. Pemimpin Iran itu berjanji akan membalasnya dan hasrat itu dikotakan pada hari yang sama menyebabkan Israel mengisytiharkan darurat. Serangan balas itu dikenali Operasi Janji Benar 3 (Operation True Promise 3).
Operasi Janji Benar 3 dilaporkan oleh pengamat media amateur turut membunuh seorang komander tertinggi IDF di sebuah bangunan yang menjadi pusat operasi tentera di Tel Aviv. Benjamin Netanyahu menangis di atas kematian komander IDF yang dianggap sebagai seorang yang paling berpengalaman dalam mengatur strategi perang. Akibatnya, komander IDF baharu masih belum dilantik penggantinya dan beberapa orang yang disebut sebagai pengganti mula menunjukkan reaksi menolak. Mereka menolak kerana tidak mahu dijadikan sasaran peluru berpandu Iran atau Houthi.
Keadaaan kepimpinan IDF menjadi semakin tidak terurus, hanya bergantung kepada arahan pegawai pemerintah diperingkat unit, platon atau pasukan. Arahan strategik daripada komander pusat tidak berlaku. Dalam keadaan “kekacauan” itu beberapa kesan kemasukan aktivis al-Qassam menyebabkan strategi pertahanan Israel jelas tidak mampu lagi bertahan. Beberapa bendera kecil al-Qassam dilihat berjaya dipacakkan di kawasan yang sebelumnya menjadi kawalan ketat IDF, yakni kawasan sempadan.
Pada hari yang sama, pesawat rasmi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan telah terbang meninggalkan lapangan terbang Ben Gurion. Pesawat tersebut (Wing of Zion) dilaporkan telah mendarat di Yunani, namun kelibat Neetanyahu tidak kelihatan. Mungkin ia sebagai persediaan Benjamin Netanyahu untuk melarikan diri sekiranya keadaan menjadi lebih teruk.
Israel sebenarnya tidak mampu untuk melawan mana-mana musuhnya secara bersendirian. Oleh itu, dalam situasi menerima serangan tiga penjuru -Iran, Yaman (Houthi) dan Hamas – Israel terpaksa merayu kepada negara-negara sekutunya, terutama Amerika Syarikat untuk membantu.
Dalam serangan balas yang dilakukan oleh Iran, dua buah negara Arab -Jordan dan Mesir- dilihat cukup bersedia untuk membantu Israel. Jordan telah berjaya memintas beberapa peluru berpandu Iran yang dihalakan ke Israel, dengan alasan ia memasuki ruang udaranya. Namun, tidak semua lebih 100 peluru berpandu dan ratusan dron yang dilancarkan Iran dapat dipatahkan. Sebahagian besarnya telah mengenai sasaran di beberapa tempat di Tel Aviv dan Haifa, termasuk pengkalan tentera dan lapangan terbang.
Sebuah laporan menyatakan antara 400 hingga 800 orang terbunuh akibat serangan peluru berpandu Iran dan Houthi ke atas Tel Aviv dan Haifa. Bagaimanapun, laporan itu tidak disahkan oleh pihak berkuasa Israel. Jika ia benar-benar berlaku, Netanyahu dianggap sebagai seorang pemimpin yang gagal. Setakat ini, berita yang sah menyatakan 13 orang terbunuh manakala 370 cedera akibat serangan terbabit di pihak Israel. Di pihak Iran, selain dua panglima tentera, 8 orang terkorban di antaranya saintis nuklear dan orang awam manakala yang cedera seramai 130 orang.
Satu video amatuer menunjukkan beberapa buah pesawat perang Israel musnah total, termasuk pesawat F 35 yang dianggap sebagai pesawat pengebom tercanggih buat masa ini. Aset-aset yang berada di lapangan terbang terbabit musnah teruk. Beberapa bangunan pencakar langit juga runtuh dan rosak akibat bedilan peluru berpandu balistik hipersonik milik Iran.
Seperti biasa, setiap kali Israel diserang, masyarakat antarabangsa tidak mendapat gambaran sebenar tentang kemusnahan yang berlaku. Walaupun ia cuba disembunyikan oleh rejim paling ganas di dunia, Israel tidak dapat menafikan tentang kelumpuhan infrastrukturnya, termasuk di antaranya bangunan kediaman dan pusat kawalan tentera. Serangan Iran kali ini menepati sasaran.
Israel telah menyekat kemudahan internet namun ia tidak mampu menghalang rakyat Israel sendiri yang bencikan perang daripada menyiarkan visual kemusnahan yang dialami. Secara simboliknya, kemusnahan itu berpunca akibat ego seorang presiden yang cuba membuktikan dirinya sebagai pejuang sejati, walaupun terpaksa membayar harga mahal dan melakukan kezaliman terhadap rakyatnya sendiri.
Rakyat Israel kini hidup dalam kebimbangan dan ketakutan. Mereka semakin kuat mendesak agar perang dihentikan dan ia membawa maksud, Netanyahu semakin dibenci oleh rakyat Israel sendiri. Beberapa kumpulan kecil bangkit menentang Netanyahu dengan berkumpul dan berdemonstrasi manakala segelintir lagi menyuarakan kemarahan menerusi platform media sosial.
Beberapa visual telah berjaya di muatnaik ke laman sosial menunjukkan bahawa sistem pertahanan paling canggih yang pernah ada tidak mampu mengawal sepenuhnya serangan dari negara luar, termasuk daripada Iran dan kumpulan Houthi dari Yaman. Ia menjadi “kekalahan besar” buat Israel dan menjejaskan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap kecanggihan senjata buatan Amerika Syarikat. Beberapa buah negara mula memikirkan untuk membeli senjata buatan China dan Rusia, tidak lagi berhasrat memiliki senjata buatan Amerika Syarikat dan Perancis. Senjata buatan Perancis termasuk pesawat Rafael dilihat tidak lagi terbaik setelah ia mampu dijatuhkan oleh senjata tentera Pakistan dalam perang India-Pakistan beberapa minggu lalu.
Setakat ini dilaporkan bahawa Iran telah berjaya menjatuhkan tiga buah pesawat udara paling canggih buatan Amerika Syarikat yang dimiliki oleh Israel, F 35. Pesawat itu digembar-gemburkan sebagai mampu menangkis serangan peluru berpandu dan dilengkapi dengan radar pengesan, kadangkala melaju seumpama halimunan, mengatasi kelajuan cahaya.
Dengan jatuhnya tiga pesawat, dan salah seorang pilotnya, seorang wanita berjaya ditawan oleh tentera Iran, Israel semakin bingung memikirkan strategi perangnya. Diberitakan, Iran turut mengangkat dua orang agen Mossad di sebuah bandar di utara Iran.
Harga sebuah pesawat canggih tersebut dianggarkan lebih 100 juta dolar sebuah (sekitar RM 430 juta). Ertinya, Israel sudah kehilangan pesawat paling canggih, yang tidak mampu menangkis peluru berpandu Iran yang cukup sederhana dan tidak semahal apa yang digunakan oleh tentera Israel. Kerosakan yang dialami oleh Israel kali ini cukup besar. Selain kehilangan tiga pesawat F 35, Israel terpaksa menanggung rugi yang besar untuk memulihkan bangunan-bangunan yang rosak dan juga melengkapkan semula sistem pertahanannya. Sebahagian aset tenteranya rosak akibat bedilan bersama peluru berpandu hipersonik Iran dan Houthi dalam serangan terbaharu.
Sewaktu serangan Iran bagi membalas tindakan Israel membunuh pemimpin Hamas di Teheran tahun lalu (Julai 2024), sistem pertahanan Iron Dome yang dibuat berdasarkan teknologi Amerika Syarikat tercabar kerana berjaya ditembusi oleh peluru berpandu Iran yang dihasilkan menerusi kerjasama teknikal dengan Rusia.
Iron Dome disindir sebagai sistem pertahanan yang cukup mahal tetapi keupayaannya cukup lemah (tidak kebal). Kali ini, Israel menggunakan sistem pertahanan yang sama, sistem yang dipertingkatkan dengan teknologi terbaharu. Iron Dome kali ini digelar tragedi juraian airmata rakyat Israel.
Sayangnya, kecanggihan teknologi yang cukup mahal itu tidak mampu sekali berhadapan dengan teknologi senjata Iran yang serba sederhana. Ia membuktikan sehebat mana sekalipun teknologi rekayasa manusia, ia tetap ada kelemahan dan kelompongannya.
Iron Dome mula disifatkan sebagai Water-fall Dome, yakni juraian air mata rakyat awam Israel yang berada dalam ketakutan dan kehilangan semangat. Rakyat Israel mula menunjukkan reaksi marah, marah kepada kepimpinan yang gagal. Rakyat sangat mengharapkan keamanan sedangkan Netanyahu semakin angkuh dan sombong. Malah, ada berani menyuarakan kebencian terhadap Netanyahu secara terbuka.
Dalam perkembangan tersebut, secara jelas membuktikan bahawa Amerika Syarikat terlibat dalam perang itu walaupun Donald Trump menafikannya. Setelah disindir sinis, Trump mengakui sudah mengetahui kemungkinan Israel menyerang Iran lebih awal.
Presiden yang semakin bermasalah itu tidak cuba memberikan kata dua kepada tangan kanan penjahat paling dikehendaki oleh masyarakat dunia untuk ditangkap. Ia ada kaitannya dengan hasrat Trump sendiri untuk memiliki dan mengawal Gaza. Mungkin Gaza akan menjadi lubuk kejayaan Trump selepas beliau tidak lagi menguasai Rumah Putih.
Trump percaya, selagi Iran tidak menghentikan bantuan kepada Ganas, selagi itulah Hamas tidak dapat dihapuskan sama sekali. Ia membawa maksud, untuk menguasai Gaza bagi dijadikan Reviera Timur Tengah akan menemui kegagalan.
Bagi negara-negara Arab yang lain, Trump tidak gentar kerana negara-negara itu sangat bergantung kepada Amerika Syarikat, cukup mudah untuk dipujuk dan dikendalikan pendirian para pemimpin tersebut.
Kurang setahun lalu (19 Oktober 2024), kediaman peribadi Benjamin Netanyahu dilaporkan musnah terkena peluru berpandu yang berjaya disasarkan ke atasnya. Pada kejadian itu, Netanyahu dikhabarkan mengasingkan diri beberapa ketika sehingga tidak bersedia menjamah makanan yang disediakan oleh tukang masak di kediamannya. Khabarnya juga Netanyahu dan keluarga berlindung beberapa lama di dalam kubu bawah tanah sebagai langkah keselamatan.
Serangan itu berlaku ketika melepasi tahun pertama serangan balas Israel ke atas Gaza. Israel menyerang Gaza untuk melumpuhkan Hamas. Hamas adalah kumpulan pejuang pembebasan Palestin yang lahir daripada kekejaman yang dilakukan oleh Israel atau kegagalan PLO, dan sebahagian aktivisnya adalah mereka yang lahir dan membesar dalam penjara terbesar dunia yang dibina oleh Israel (kem pelarian dan bantustan, yang padat dan dikawal oleh tentera zionis).
Akibat serangan balas yang ganas dan menyasarkan orang awam – kanak-kanak, wanita dan orang tua- Gaza tidak pernah berhenti daripada limpahan darah. Sejak 3 Oktober 2023, keganasan tentera Israel telah menyebabkan lebih 60,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih sejuta terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Kini, Gaza mengalami krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah. Penduduk Gaza tidak mempunyai makanan dan sangat mengharapkan bantuan kemanusiaan masyarakat antarabangsa. Biarpun masyarakat antarabangsa menekan Israel untuk membuka sekatan, Amerika Syarikat buat tidak tahu.
Amerika Syarikat tidak mahu menekan Israel. Netanyahu tidak endahkan seruan masyarakat antarabangsa, bahkan dibalas dengan keputusan persona non grata ke Setiausaha Agung PBB. Ia suatu keputusan yang dianggap gila dan tidak menghormati undang-undang antarabangsa.
Sebelumnya, Knesset Israel mencapai kata putus untuk membatalkan penugasan UNRWA di Palestin. Bagaimanapun, UNRWA meneruskan tugasnya di Palestin kerana apa yang diharamkan itu tidak terpakai di Palestin dah wilayah-wilayah yang diduduki oleh Israel. Apa yang membimbangkan, IDF akan bertindak kejam dan ganas, mencari helah untuk membunuh para pekerja UNRWA sebagai langkah menakut-nakutkan setiap kakitangan dan sukarelawan, hatta dengan cara membunuhnya.
Namun, Israel bertindak lebih gila. Rejim tentera menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza sama ada melalui jalan darat mahupun jalan laut. Apa yang menyedihkan, Mesir yang mengawal pintu masuk ke Gaza, iaitu Rafah menurut apa sahaja yang diarahkan oleh Israel, tidak berani bertindak disebabkan ketakutannya kepada Amerika Syarikat.
Semua orang tahu, Mesir merupakan negara Arab yang mendapat bantuan kewangan dan ketenteraan daripada Amerika Syarikat. Mesir juga cukup merasai ketakutan akibat kekalahannya dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967. Kekalahan perang tersebut turut menjadi penentu arah sokongan negara-negara Arab terhadap usaha membebaskan Palestin dan al-Quds.
Selepas perang itu, lebih banyak negara Arab hanya sekadar melahirkan rasa simpati, sesekali melontarkan gesaan dilakukan gencatan senjata setiap kali Israel-Palestin berperang, tindakannya tidak sedikit pun membuktikan solidariti untuk berperang melawan Israel. Ini kerana Israel merupakan “anak emas” Amerika Syarikat, yang akan terus kekal dipertahan dan dibantu kerana Israel adalah tangan kanan iblis dan kejahatan dunia masa kini.
Amerika Syarikat yang menjadi adikuasa tunggal ketika ini memiliki ratus pengkalan tentera di luar wilayahnya. Antara pengkalan tenteranya ialah di Qatar, Bahrain dan Kuwait selain di Irak. Iraq yang ditawan dengan menggunakan alasan memerangi keganasan akibat tragedi terancang, World Trade Center. Ia merupakan misi George Walker Bush untuk membalas dendam di atas ketidakupayaan ayahnya, George Herbert Bush berkuasa di Rumah Putih untuk penggal kedua.
Walaupun dikatakan akan mengundurkan tentera selepas berjaya membunuh Saddam Hussein, hingga sekarang tentera Amerika Syarikat masih kekal berpengkalan di situ. Ertinya, Amerika Syarikat cukup mudah untuk menggerakkan aset tenteranya, dan sebab itulah Israel cukup kebal dengan larangan masyarakat antarabangsa.
NATO menjadi ketumbukan ketenteraan di bawah kawalan Amerika Syarikat. Isu kemasukan Ukraine sebagai anggota NATO yang diusahakan itu menjadi faktor serangan Rusia ke atas bekas wilayahnya. Rusia melihat bila Ukraine menjadi ahli NATO, Amerika Syarikat akan menjadi lebih mudah untuk menerobos masuk ke Russia selanjutnya. Itulah sebabnya Rusia terus kekal tidak bersedia melakukan gencatan senjata kekal ke atas Ukraine. Vladimir Putin bimbang dengan angkara Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat sedaya upaya berusaha mengekalkan kedudukannya sebagai adikuasa tunggal dan bertindak sebagai polis dunia. Amerika Syarikat sedar, kedudukannya semakin tercabar setelah China muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar sejak dua dekad lalu, walaupun belum boleh menggugat kuasa hagemoninya.
Jika China tidak disekat, jangkaan pakar ekonomi negara yang cukup agresif dalam pelaburan, perindustrian dan perdagangan itu akan mengambil kuasa hagemoni ekonomi Amerika syarikat dalam tempoh kurang dua dekad lagi. Itulah yang menjadi asas awal Perang Perdagangan’ yang dilancarkan oleh Donald Trump pada tahun 2017 dan diperluaskan pada masa kini.
Pengaruh China dalam geopolitik antarabangsa semakin meningkat dan sebahagian daripada negara-negara Arab dan Afrika mula tidak menaruh perhatian kepada Amerika Syarikat. China juga memainkan peranan utama dalam BRICS, dan kemunculannya dianggap sebagai satu cabaran besar hagemoni dolar.
Iran adalah salah satu pemain utama, kerana Iran telah lama disekat (embargo) oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, yakni setelah imej Washington tercabar apabila kerajaan boneka Dinasti Pahlavi berjaya ditumbangkan oleh Mullah (1979). Dalam kalangan ahli utama BRICS, India secara terbuka akan membantu Israel kerana berdendam dengan musuhnya, Pakistan yang mendokong Palestin dan Iran. Laporan terbaharu menunjukkan India, Britain, Perancis akan bersedia membantu Israel jika Iran terus melakukan serangan ke atas Israel.
Pakistan dalam kenyataan terbaharunya mengumumkan akan ikut berperang sekiranya Amerika Syarikat membabitkan diri membantu Israel berperang dengan Iran. Iran turut mengancam akan memusnahkan pengkalan tentera USA yang berada di Timur Tengah.
Hampir setiap ketika Amerika Syarikat memainkan isu ekstremisme agama sehingga menjadi lahan subur kemunculan kumpulan pengganas. Tentunya sebahagian daripada maklumat risikan itu dikumpulkan oleh Mossad milik Israel.
Israel sejak penubuhannya tidak pernah mendapat pengiktirafan negara-negara dan Islam. Maka, Mossad perlu memainkan peranan penting untuk menggambarkan balas dendamnya, yakni menerusi maklumat strategik yang menunjukkan nilai-nilai ekstrem yang jika tidak dikawal akan menyebabkan dunia tidak akan aman.
Pada hal yang sangat ditakuti ialah penyatuan negara-negara Arab, jadi jalan yang terbuka ialah meneruskan asakan memecahbelahkan negara Arab. Sebahagiannya melalui kekuatan dolar, yang menjadi buruan besar negara-negara Arab yang menghasilkan minyak. Itulah sebabnya semakin lama semakin hilang kesepaduan negara-negara Arab dalam mempertahankan bumi Palestin.
Benjamin Netanyahu pernah menyatakan, jika tanpa bantuan Amerika Syarikat, Israel tidak mampu berperang walaupun semalaman dengan jiran-jirannya. Israel yang sendiri melakonkan watak sebagai “mangsa keganasan” sebenarnya pencetus keganasan terbesar dalam sejarah peradaban manusia, melebihi tempoh keganasan yang dilakukan oleh Hitler..
Isreal bukan sahaja semakin ganas bahkan semakin haus darah demi untuk menempatkan egonya sebagai Bangsa Pilihan untuk mentadbir dunia. Sebenarnya, Israel bukanlah didirikan oleh Bangsa Pilihan, ia didirikan oleh bangsa yang paling jahat dalam senarai bangsa yang tidak mengendahkan prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Jadi, Amerika Syarikat yang bertindak melindungi dan memberikan kekebalan undang-undang kepada Israel itulah sebenarnya pengganas paling wahid. Selagi Amerika Syarikat terus membantu dan melindung Israel, selagi itulah nilai-nilai Amerika yang diwar-warkan oleh Donald Trump akan menjadi sebuah igauan ngeri sebuah peradaban moden nyah-kemanusiaan dan tidak berasaskan prinsip keadilan sejagat. Perangai setan yang dikutuk dan akan dilaknat oleh Maha Pencipta alam dan kehidupan ini.
Paling memalukan negara adikuasa ialah kebangkitan Iran sebagai sebuah negara yang tidak boleh diperlekehkan. Biarpun sejak tahun 1979 dihalang dan disekat ekonominya oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, Iran muncul sebagai satu kuasa baharu yang perlu diawasi dan sangat ditakuti oleh Israel.
Dengan kekangan dan sekatan, Iran berjaya keluar daripada derita pedih, bangkit dengan berani untuk bertindak mempertahankan haknya sebagai sebuah negara yang berdaulat. Itulah yang menjadi intipati kenyataan Menteri Luar Iran tatkala mempertahankan langkah menyerang balas Israel.
Namun, dalam masa yang sama, pemimpin Iran perlu lebih waspada kerana Israel dan Amerika Syarikat tidak akan berdiam diri. Dua buah negara “haus darah” akan menggunakan apa sahaja alasan untuk menghancurkan Iran seperti telah dilakukan ke atas Irak dan Libya. Tindakan itu mengingatkan kita kepada gagasan politik “matlamat menghalalkan cara”; organisasi antarabangsa tidak ada kuasa untuk bertindak sebagaimana sebuah negara boleh bertindak untuk tujuan tertentu.
PBB hanya sekadar menjadi pengatur kaedah menentukan keamanan tetapi tidak ada kuasa menguatkuasakan keamanan itu tanpa restu sesebuah negara. Itulah sebabnya Israel cukup berani dan merasakan dirinya kebal. Walaupun waran tangkap ke atas Netanyahu telah dikeluarkan, negara manakah yang sedia melakukannya? Mana-mana negara yang menyuarakan keinginan secara terbuka untuk berbuat demikian, ia akan berhadapan risiko dikeronyok oleh adikuasa gila, Amerika Syarikat. Trump sudah pun memberi amaran, negara yang mendokong Iran, juga Hamas akan ada risikonya.
KAMARUN KH
Recent Comments