SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di negeri ini mengadakan solat hajat khas.
Arahan itu berhubung kes rayuan kes rayuan melibatkan Sister in Islam (SIS) Forum (Malaysia) yang mencabar keabsahan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, berkata masjid dan surau berkenaan dikehendaki menunaikan solat hajat selepas selesai melaksanakan solat Jumaat pada 6 dan 13 Jun ini.
“Solat hajat sebagai usaha memohon agar Allah SWT terus memelihara kesucian agama Islam di Selangor, memberi kebaikan, serta pertolongan-Nya kepada pihak Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan mengenai rayuan berkenaan.
“Sebagaimana dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, maka semua Pentadbir Masjid dan Surau Kebenaran Solat Jumaat adalah dikehendaki untuk menunaikan solat sunat hajat selepas selesai melaksanakan solat fardhu Jumaat pada 6 dan 13 Jun ini.
Pihak beliau dalam kenyataan itu turut melampirkan doa khas untuk para imam yang bertugas merujuk sebagai panduan.
Terdahulu, SIS Forum dan seorang lagi perayu telah memfailkan ke semakan kehakiman terhadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri.
Mereka mempertikaikan keabsahan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan pada 17 Julai 2014.
SIS Forum telah mencabar fatwa itu di Mahkamah Tinggi pada 2020 dan kemudiannya dirayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya yang secara majoriti panel rayuan telah menolak rayuan tersebut pada 14 Mac 2023.
Namun, gagal di peringkat Mahkamah Rayuan, SIS Forum Malaysia telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk mencabar keabsahan fatwa tersebut.
Kes rayuan berkenaan akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun 2025 (Khamis).
Lampiran
Doa memohon kebaikan dalam urusan kes Mahkamah Persekutuan melibatkan SIS Forum (Malaysia) yang mencabar fatwa.
… اللَّهُمَّ يَا مَنْ نَصَرْتَ نَبِيَّكَ مُحَمَّدًا ، وَأَيَّدْتَهُ بِالحَقِّ وَأَقَمْتَ حُجَّتَكَ وَقَدَّمْتَ بِهِ دِينَكَ أَنْ تَمُنَّ عَلَيْنَا بِالانْتِصَارِ وَالفَوْرُ عَلَى مَن خالف أَمْرَكَ، اللَّهُمَّ انْصُرْنَا عَلَى مَنِ الْحَرَفَ عَنْ دِينِكَ، اللَّهُمَّ انْصُرْنَا عَلَى مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ اللهُمَّ اهْدِ قَوْمَنَا فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُوْنَ.
“Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kemenangan dan kejayaan ke atas orang yang menentang perintah-Mu. Ya Allah, berilah kami pertolongan terhadap orang yang telah menyeleweng dari agama-Mu. Ya Allah, berilah kami kemenangan ke atas mereka yang mengikut hawa nafsu, mencabar fatwa dan pihak berkuasa agama Islam. Ya Allah, kalahkanlah mereka dan berilah kami kemenangan ke atas mereka, berilah petunjuk kepada mereka, sesungguhnya mereka tersasar dari kebenaran.”
اللهم كُنْ مَعَنَا فِي كُلِّ أَمْرٍ وَفِي كُلِّ حَاجَةٍ وَاحْفَظْنَا بِلُطْفِكَ مِنْ كُلِّ سُوءٍ.
“Ya Allah, wahai Tuhan kami, permudahkanlah kami dalam setiap urusan dan setiap keperluan kami, lindungilah kami dengan kelembutan-Mu daripada segala keburukan.”
رَبَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ . رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
Sumber: harakahdaily.net
Recent Comments