Atef Abu Saif, Menteri Kebudayaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang pernah terperangkap selama 85 hari di Gaza (7 Oktober hingga 30 Disember 2023) menceritakan kisah duka yang akan dikenangkan sebagai kehidupan terlalu sukar terpaksa di hadapi oleh setiap orang penduduk Gaza dan memberitahu masyarakat dunia bahawa kebrutalan IDF adalah satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun, baik dalam konteks kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan juga teologi.
Dalam catatan hariannya yang disiarkan secara bersiri dalam The New York Times dan majalah Skate, yang kemudiannya diterbitkan sebagai buku dengan judul Don’t Look Left: A Diary of Genocide (2024), dia menulis:
“Tapi di Gaza, tidak ada yang sederhana. Saat masih remaja [Atef lahir 23 Jun 1973, dua bulan setelah perang pada tahun 1973 di Kem Pelarian Jabalya, Genting Gaza], aku rasa frustrasi…
“Aku membuat rencana (perancangan) untuk beberapa minggu ke depan, tapi kemudian terdengar tentera mengumumkan jam malam melalui megafon (loud healer), dari kenderaan militer (tentera) yang melewati kem (“manmno’o el tajawol hatta esha’aron akhar”, begitu kata mereka dalam aksen lucu: “Dilarang berkeliaran sampai ada pemberitahuan lebih lanjut”).
“Mulai dari itu, hingga waktu yang tidak ditentukan pada masa depan, kami tidak diperbolehkan meninggalkan rumah; jika kami melakukannya, mereka tidak bertanggungjawab jika terjadi sesuatu pada kami.
“Bagi seorang remaja, itu bererti tidak ada sekolah sampai beberapa waktu ke depan yang tidak ditentukan; bererti pula tidak ada pekerjaan rumah (homework) kerana tidak ada yang menilainya; bahkan bererti tidak bermain bola sepak dengan teman-teman ku di lapangan bermain pada malam hari atau berkumpul dengan sesiapa pun.
“Belakangan, aku belajar tidak membuat rencana apa-apa, bahkan untuk esok hari. “Kita hidup untuk hari ini,” begitu kata ibuku.” Jelaslah catatan itu menggambarkan sejak kecil lagi rakyat Palestin tidak boleh membuat perancangan untuk masa depan mereka, kerana setiap waktu kehidupan mereka diancam oleh peluru, tembakan dan tindakan brutal oleh tentera pengganas, IDF yang pernah mendakwa mereka adalah “pasukan tentera paling bermoral.”
Saya ambil catatan itu dengan beberapa penyesuaian dan menambahkan sedikit keterangan dan diari Atef yang diterjemahkan dalam bahasa Indonesia. Terjemahan itu diterbitkan dengan judul A Diary of Genocide oleh Nadya Andrawiani (terbitan Noura Books, Jakarta, cetakan pertama Mac 2024). Edisi bahasa Inggeris diterbitkan pada awal Februari 2024.
Gambaran Atef itu menunjukkan bahawa Gaza, khususnya Palestin tidak pernah sunyi daripada serangan ganas oleh tentera penceroboh yang berpengkalan di Tel Aviv, yang menjadikan lebih 80 peratus keluasan bumi Palestin sebagai miliknya secara haram sejak tahun 1948.
Dengan serangan tanpa henti sejak 7 Oktober 2023, keluasan tanah Palestin menjadi semakin sempit, dan kehidupan awalnya masyarakat Palestin seperti dalam “penjara terbuka terbesar di muka bumi”.
Istilah itu diberikan oleh seorang sejarawan baru Yahudi yang bermastautin dan mengajar di Britain, Ilan Pappe. Ilan menulis panjang lebar mengenai pembentukan “penjara terbuka terbesar” itu dalam salah sebuah daripada deretan buku dan risalah mengenai kemusnahan bumi Palestin oleh IDF, peneroka haram Yahudi dan dokongan kuasa-kuasa besar yang melindungi Israel, The Biggest Prison on Earth: A History of the Occupied Territories (2017).
Sepuluh tahun sebelumnya, beliau menulis juga sebuah buku yang menggambarkan perancangan besar Israel yang cukup melampau dalam menterjemahkan ideologi zionis, tindakan penghapusan etnik Arab-Palestin tanpa membezakan antara penganut Islam atau Kristian, kerana bagi zionis, matlamatnya adalah menghaluskan setiap petunjuk yang ada hubungan dengan rakyat asal yang mendiami wilayah tersebut, dalam The Ethnic Cleansing of Palestine (2007), sebagai rentetan 60 tahun Konflik Israel-Palestin (1948-2008).
Israel membina wawasan bernegara Yahudi pada awalnya telah melakukan pelbagai tindakan agresif mengusir penduduk tempatan, manakala peneroka haram Yahudi yang bermigrasi ke bumi Kanaan ikut bertindak kejam dengan merampas, membakar dan membunuh penduduk Palestin.
Dengan cara itu, mereka memaksa penduduk Palestin meninggalkan tanah, rumah dan kebun-kebun mereka. Jika ada penduduk Palestin yang bangkit mempertahankan hak tersebut, pihak IDF akan hadir membantu memaksa tuan tanah meninggalkan tanah, dan ia menjadi milik peneroka Yahudi haram.
Kisah pedih bagaimana penduduk Palestin diterajang, diheret, dibedil dan dipenjarakan tanda dituduh di mahkamah dicatatkan oleh seorang wartawan Amerika Syarikat, yang juga ada darah keturunan Yahudi, Ben Ehrenreich dalam liputannya di Kg Nabi Saleh, Tebing Barat hampir dua tahun (2011 dan 2012) dalam The Way to the Spring: Life and Death in Palestine (2016, Penguin Books). Edisi terjemahan bahasa Melayu diterbitkan dengan judul Selangi Berbahaya: Hidup dan Mati di Palestin (hasil terjemahan Zainora Muhammad, Shah Alam: Kelas Buku Sdn Bhd, 2025).
Kata Ben, walaupun beliau boleh memilih untuk menulis menurut perspektif Israel, dirinya tetap dengan keputusannya untuk menulis berdasarkan denyut nadi penduduk Nabi Salleh, bagi melihat kebenaran dan kejituan semangat perjuangan golongan yang tertindas.
Sejarah, kebanyakannya ditulis oleh mereka yang bertindak sebagai penguasa tetapi Ben menulis bagi menyatakan bahawa mangsa tidak merasa takut untuk sebuah hak yang telah dinafikan sejak berdekad-dekad lamanya.
Tulis Ben: “Saya percaya karya saya ini menjurus pada sesuatu yang optimistik, dan harapan. Bukannya kerana saya melihat pasti ada “penyelesaian” bagi “masalah” Palestin ataupun penyelesaian mudah sesuatu yang dipanggil “keamanan”.
“Sebaliknya, saya berasa optimis kerana walaupun dalam keadaan hampir berputus asa, tanpa ada sebarang harapan, manusia masih lagi mampu untuk bangun menentang. Perasaan yang satu ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan saya bangga menjadi manusia.” (hal.6-7).
Kisah itu tidak pernah berhenti. Bahkan setiap hari rakyat Palestin bangkit melawan, tetapi, apa kan daya mereka hanya bangkit berdemonstrasi, dan anak-anak remaja hanya mampu melontarkan batu-batu kecil ke arah pengawal yang lengkap berpakaian tentera dan bersenjatakan senapang canggih bersama peluru hidup.ia berlaku di seluruh pelusuk wilayah yang masih diduduki oleh keturunan Arab-Palestin. IDF cukup takut dengan batu-batu kecil, walhal mereka dilengkapi senjata dan berbajukan baju kalis peluru.
Malangnya, setiap kali pencerobohan berlaku, IDF berhak melakukan apa sahaja penyeksaan termasuk menggelisah rumah di waktu malam dan membawa penduduk Palestin ke wilayah yang dikuasainya. Walaupun tindakan itu menyalahi Konvensyen Geneva, tidak boleh memindahkan mangsa ke wilayah lain, mereka tidak endahkan, dan ia menjadikan Israel cukup kebal dengan undang-undang antarabangsa.
Antara tulisan menarik mengenai tahanan remaja tanpa bicara dan dipindahkan ke wilayah yang diduduki ialah buku autobiografi yang ditulis oleh Dena Takruri dan Ahed Tamimi, They Called Me A Lioness: A Palestinian Girl’s Fight for Freedom (London: One World Publications, 2022); dan Manal Tamimi, Paul Heron, Paul Morris dan Peter Lahti, Ahed Tamimi: The Girl Who Fought Back (Sweeden: Vaktel Forlag, 2018).
Beribu kali kesalahan yang dilakukan, beribu kali itulah dipertahankan oleh Washington, tanpa peduli ia adalah keputusan PBB atau keputusan badan pemerhati bebas antarabangsa. Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto yang diperuntukkan, bahkan dalam kes terbaharu, waran tangkap ke atas Benjamin Netanyahu dan Menyeru Pertahanan Israel, Yoav Galant yang dibuat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) tidak dipedulikan.
Dunia juga tidak pedulikan tentang apa pun laporan yang dihasilkan tentang kebrutalan Israel. Laporan-laporan siasatan yang dikelolakan oleh PBB hanya tinggal sebagai dokumen yang tidak bermakna, tanpa ada tindakan untuk mengenakan Israel, hanya sekadar memenuhi peranan sebagai penyiasat dan pengumpul bukti. PBB tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, kerana kuatkuasa undang-undang bergantung kepada negara ahli. Jika negara ahli “berdiam diri” akibat takut dikenakan tindakan pemulauan dan sekatan Amerika Syarikat, Adikuasa yang semakin gila dan hilang moral sebagai “polis dunia”.
Norman G Finkelstein, seorang ahli akademik yang merupakan anak kepada seorang mangsa Holocaust Nazi mengungkapkan rasa kecewa tersebut, bahkan kekal mengecam keganasan Israel dalam Gaza: An Inquest of Matrydom (2017) dan telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan judul Tangan-Tangan Berdarah di Gaza (terbitan IBDE, Kuala Lumpur, 2025).
Bagi Norman, biarpun tidak dipedulikan, atas rasa tanggungjawab, maka diumpul, dianalisis dan seterusnya menulis buku tersebut dengan harapan:
“…kebenaran tetap perlu dipelihara; paling tidak pun suatu hari nanti, pada masa depan yang jauh, apabila peredaran masa menjadikan keadaan lebih terbuka, ada yang akan terjumpa buku ini yang berhabuk di atas sebuah rak perpustakaan, membersihkan sawang yang melekat, lalu dilanda rasa marah yang meluap-luap apabila membaca tentang nasib sebuah bangsa, jika tidak kerana diabaikan Tuhan maka kerana dikhianati kerakusan dan korupsi, sikap mementingkan kedudukan dan kesinisan, serta kebaculan manusia.”Masanya akan tiba,” kata Jackson, “apabila mereka yang belajar sejarah Amerika akan mendapat apa yang telah dilakukan terhadap suku bangsa Cherokee sesuatu yang tidak mungkin dapat diterima.”
“Mungkin suatu hari nanti sejarah hitam penyeksaan di Gaza, apabila ditinjau kembali dilihat seumpama ini?'” (hal. 407-408).
Buku ini diterjemahkan oleh Puspawati Rosman. Jackson yang dirujuk oleh Norman Finkelstein ialah Helen Hunt Jackson, yang menulis kisah pembantaian “peneroka penjajah” yang datang ke benua Amerika yang dikatakan ditemukan oleh Christopher Columbus ( di Bahamas, yang ketika itu dipanggil San Salvador dan sudah pun dijajah oleh Belanda, 1492) dan pendatang seterusnya telah melakukan tindakan mengusir, membunuh, merampas dan menghalau penduduk asal (yang dinamakan Cherokee atau Red Indian, sama ada dari etnik Sioux dan sebagainya) dalam bukunya, A Century of Dishonor: A Sketch of the United States Government’s Dealings with Some Red Indian Tribes, Boston: Roberts Brothers 1889 (edisi pertama diterbitkan tahun 1881 dan edisi kemaskini terbaharu diterbitkan pada tahun 1964 di Minneapolis oleh Ross and Haines).
Sebaliknya, Washington mempertahankan tindakan ganas Israel sebagai bentuk tindakan untuk “membela diri dan menjamin keselamatan Israel”; Setan-jahat terus boleh ke Amerika Syarikat bertemu Donald J Trump, yang disifatkan sebagai “kuda trojan” yang sentiasa dicucuk hidungnya. Kini, Amerika Syarikat ikut menyokong dan campur tangan menyerang Iran, yang sudah memasuki minggu ketiga (sejak 28 Februari 2026).
Pada tahun lalu (Jun 2025), Amerika Syarikat menjadikan hari-hari terakhir serangan Israel ke atas Iran selama 12 hari sebagai kemuncak keganasan, dengan menggunakan pesawat canggih B2 Spirit yang cukup mahal (harga seunit cecah lebih dua bilion dolar dan kos minyak dianggarkan 150,000 dolar sejam jika digunakan: untuk penerbangan ke Iran dan balik semula, ia memerlukan penerbangan selama 35 jam) dan hanya dimiliki oleh USA mengecam tiga pusat nuklear Iran: Isfahan, Fordow dan Natanz.
Pesawat terbabit dikatakan mampu membawa peluru berpandu yang menembusi beberapa kilometer ke dalam tanah, di mana Iran membina kubu tentera, depoh simpanan senjata, bilik operasi ketenteraan dan simpanan bahan nuklear di kawasan berbukit dan di tembok bawah tanah. Israel tidak memiliki pesawat tersebut, dan bantuan Amerika sangat diperlukan bagi memusnah loji pengayaan nuklear dan simpanan produk yang dihasilkan oleh Iran dengan kerjasama teknologi Rusia dan China.
Bagaimanapun, serangan itu gagal memusnahkan pusat pengayaan nuklear kerana semua peralatan canggih dan produknya telah dipindahkan ke tempat selamat lebih awal. Namun, Trump dengan angkuhnya mengakui bahawa mereka telah berjaya memusnahkan loji nuklear, apa yang sebenarnya berlaku, hanya sekadar berjaya memecahkan pintu masuknya sahaja. Itu kisah ketika Israel dan Amerika syarikat menyerang Iran pada bulan Jun Tahun lalu (12 hingga 25 Jun 2025).
Ketika itu, Iran mengugut akan menutup Selat Hormuz jika serangan Amerika-Israel tidak dihentikan. Selat Hormuz menjadi laluan eksport minyak dan gas dunia sekitar 20 peratus. Dengan menutup Selat Hormuz, seluruh dunia akan alami gangguan tenaga, dan tentunya yang paling parah ialah Eropah, India, China dan Amerika Syarikat sendiri.
Harga minyak mentah dunia akan melonjak manakala syarikat perkapalan akan mengalami masalah, termasuk keengganan pihak penanggung insurans. Hal itu pernah disuarakan apabila pejuang Houthi mengancam akan menutupi laluan Laut Merah ke atas semua kapal yang ada kaitan dengan Israel, Eropah dan Amerika Syarikat. Sebelum berjaya memasuki Terusan Suez. Dengan menutup laluan/keluar perdagangan di pintu masuk Laut Merah, ia akan menyebabkan kos pengangkutan menggunakan kapal meningkat, mengambil masa yang panjang (melalui Tanjung Pengajaran di hujung Benua Afrika dan kos insurans yang meroket).
Itu berlaku tatkala Amerika dan Israel ikut menyerang pejuang Houthi di Yaman yang ikut membantu menyerang Israel, yang melakukan serangan brutal ke atas Gaza pada permulaan serangan balas 7 Oktober 2023. Houthi juga bercadang untuk merosakkan seluruh kabel internet yang berada di Laut Merah, yakni yang melalui perairan yang dikawalnya. Houthi turut mendapat bantuan Iran bersama-sama Hizbullah, yang mempunyai hasrat dan tujuan yang sama, membebaskan Palestin daripada penjajahan Israel.
bersambung
KAMARUN KH
Recent Comments