Sebagai manusia, segenius mana pun kita, kita masih belum cerdik dan bagus seratus peratus. Sehebat mana pun kita, kita masih ada titik kelemahan yang kadangkala kita sedar dan kadangkala orang lain dapat melihatnya dengan tepat dan jujur. Tetapi, kejujuran dalam menegur atau memperbetulkan kesilapan kadangkala tidak dapat kita terima sebaik-baiknya, kerana kita sebenarnya hidup dalam ego dan sentiasa berusaha mempertahankan citra diri.
Dalam hidup ini, tidak semua perkara kita tahu, dan tidak semua hal dapat kita kuasai dengan baik. Tidak menguasai atau tidak mengetahui itu adalah kelemahan kita yang dapat kita fahami apabila ada yang menegur, memberitahu dan menaratifkannya. Dan, tentunya naratif itu ada bentuk dan polanya.
Ada naratif disampaikan seperti sebuah lelucon, dan ada naratif dikaitkan dengan anekdot mahupun cerita-cerita fabel. Ada naratif dijelmakan sebagai bayangan madah, satira mahupun perang bersemuka (face to face conversation atau face to face confrontation), yang boleh menjadikan hubungan seperti tidak lagi terkendali.
Sebagai manusia kita dididik untuk mengatasi setiap kelemahan, bukan mempertahankan kelemahan sebagai set pegangan yang tunggal benar dan sahih dalam prinsip. Kita diminta untuk sentiasa bermuhasabah, merenung dan melihat ia sebagai satu kaedah dalam membangun kesedaran, kesedaran untuk memperbaiki atau kesedaran untuk kembali kepada fitrah.
Aidilfitri, juga dipanggil “hari kemenangan”. Kita diarahkan untuk melihat dan kembali kepada fitrah, maka itulah sebabnya, sebulan lamanya kita dididik secara deduktif dan induktif dalam madrasah Ramadhan. Hari ini, kita telah berjaya melalui jalan itu dan sebulan lamanya kita berproses untuk menjadi insan yang terbaik, kalaupun bukan insan yang suci dan paling sempurna. Walaupun, kita sedar kita belum mampu, sekurang-kurangnya tidak telah lalui dan cuba untuk kembali kepada fitrah tersebut.
Fitrah
Secara mudahnya, fitrah itu membawa maksud “kembali ke asal”. Kita berasal dari mana? Asal itu apa? Apakah asal itu memberikan kita sebuah manifestasi primodial atau nilai-nilai parokial? Apakah nilai-nilai itu cukup mudah untuk kita berbangga dalam dikotomi “diri dan orang lain” atau, dalam hubungan “kekitaan” dan “keakuan?”
Kenapa fitrah?
Ibnu Athaillah (Imam Ibnu ‘Atha’illah as-Sakandari, pengarang kitab al-Hikam, yang hidup antara tahun 1260 hingga 1309 di Mesir) berkata: Sebodoh-bodoh manusia ialah orang yang meninggalkan keyakinannya kerana mengikut sangkaan manusia lainnya. Riwayat ringkas, sumbangan dan perjalanan kehidupannya dapat dibaca dalam tulisan Iqbal Zain al-Jauhari dalam: https://www.facebook.com/share/1BHSLQ9BoN/.
Ertinya, walaupun manusia adalah makhluk sosial, manusia dibiasakan dengan sosialisasi, setiap orang wajib membina kepercayaan dan keyakinan sendiri, kerana kitalah yang bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Tidak ada orang lain yang bertanggungjawab ke atas diri kita, maknanya, kita tidak wajar mencari kambing hitam untuk menutupi setiap kelemahan dan kekurangan diri.
Namun, kita perlu memahami bahawa “orang lain” tetap ada pengaruhnya, tetapi, kerana setiap manusia diberikan “akal fikiran”, maka garis penentunya ialah hasil pemikiran kita sendiri. Hasil pemikiran dibentuk oleh banyak faktor, dan antaranya ialah hakikat kejadian kitalah yang menjadi tiang tempat kita bersandar dan juga asas yang menentukan pilihan yang kita putuskan.
Hakikat Kejadian
Hakikat kejadian, dalam pandangan seorang muslim itu berasal dari Dia, Tuhan yang menciptakan dan Tuhan yang menentukan. Hidup dan mati kita adakah dari Dia dan kita akan dipanggil kembali kepada Dia, bukan kita yang menentukan. Dia menjadikan kita sebaik-baik kejadian, memberikan kita keupayaan berfikir dan membuat pilihan, maka setiap jalan yang kita pilih hendaklah berpandukan “Jalan Dia”, bukan “jalan kita”.
Menurut Imam Al-Ghazali (1058-1111) dalam Ihya Ulumuddin [dalam bab Kitab al-Tafakkur, bahagian Rubu’ al-Munjiyat, bab ketiga, Jilid 4) ada tiga sifat makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT. Bab ini diterjemahkan bersama dengan bab Kitab al-Niyat wa al-Ikhlas (Bab 2, Rubu’ al-Munjiyat, Jilid 4) oleh Nor Alisa Abdullah dan diterbitkan dengan judul Wahai Diriku, Apa Sebenarnya Yang Kau Mahu? (Batu Caves, Selangor: PTS Publishing House, 2025)], iaitu:
(1) Tidak diketahui asal-usulnya.
Jenis makhluk yang tidak kita ketahui asal-usulnya, ia bersandarkan kepada firman-Nya: “Dan, Dia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah an-Nahl, ayat 8);
“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya (Surah Yaa Sin, ayat 36)”; dan
“Dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Waaqi’ah, ayat 61).
(2) Diketahui asal usul dan jumlahnya tetapi tidak secara terperinci.
Ia terbahagi kepada “apa yang kita rasa” dan “apa yang tidak kita rasa” dengan deria penglihatan. Ertinya, intuitif memberikan kita jawapan, walaupun kadangkala jawapan itu belum memuaskan atau tidak menepati kebenaran secara mutlak.
Dalam perspektif ini, kita mungkin dapat memahami sesuatu berdasarkan pengetahuan yang kita miliki, misalnya psikologi. Dengan memahami psikologi, sedikit sebanyak kita dapat memahami sifat manusia dan kehidupannya, termasuk bagaimana manusia membuat pilihan.
Namun, psikologi bukan faktor yang tunggal, ada pelbagai bidang atau faktor lain yang bersangkutan. Antaranya, sejarah dan pandangan alam (falsafah, sosiologi, dan sebagainya).
Sebab itulah dalam menangani kehidupan, kita tidak hanya perlu kepada hanya satu bidang, kerana kehidupan itu sendiri adalah susunan pelbagai bidang, dan memerlukan kepelbagaian kemahiran (multi-skilling atau multi-talent). Namun tidak mudah untuk mencapainya, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil untuk menggapainya.
Dalam sejarah intelektual Islam, ada ramai cendekiawan yang mempunyai pelbagai kemahiran dan pengetahuan, yang dalam istilah dipanggil polymath. Misalnya, Ibnu Sina.
Selain terkenal sebagai ahli falsafah, Ibnu Sina cukup memahami ilmu psikologi, matematik, perubatan, sosiologi, astronomi, perundangan (fiqh) dan yang menarik daripada kepelbagaian ilmunya ialah kebolehannya yang luar biasa tentang anatomi, fisiologi manusia dan kaedah mendiagnosis punca penyakit serta merawatnya.
Al-Ghazali juga terkenal dalam bidang psikologi, falsafah, logik, pendidikan, tasawuf, ekonomi, selain teologi. Beliau menulis berdasarkan adunan pengetahuan dan pengalaman, dengan sentuhan psikologi sehingga karyanya menjadi rujukan penting walaupun sudah melebihi 900 tahun kematiannya.
(3) Dapat atau tidak dapat dirasai oleh deria penglihatan.
Oleh kerana ruang lingkup pemikiran manusia sempit dan samar-samar, kita tidak dapat rasa dengan deria penglihatan tentang malaikat, jin dan syaitan, Arasy, Kursi dan lain-lain, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh bersikap rasional, yakni mendekati sebuah pemahaman, apa yang dirasai oleh deria penglihatan.
Ajakan Berfikir.
Al-Qur’an mengajak dan menggalakkan kita berfikir:
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah ar-Ruum, ayat 20).
Kerana itu, Imam al-Ghazali mengajak kita untuk berfikir tentang (1) Keajaiban Penciptaan Manusia; (2) Keajaiban Bumi; (a) Hamparan Kehidupan dan Bukti Kebesaran Ilahi, (b) Permata, Mineral dan Hikmah Penciptaan; (3) Keajaiban Penciptaan Haiwan; (4) Samudera Luas; (5) Air Mani Kepada Mereka yang Tidak Mendengar dan Memerhati; (6) Keajaiban Udara dan Rahsia Alam di antara Langit dan Bumi; dan (7) Keagungan Langit dan Kebesaran Allah SWT.
Kata al-Ghazali: “Perumpamaan kamu dan fikiran kamu tidak lain hanyalah perumpamaan seekor semut yang keluar dari lubangnya yang digalinya sehingga ia menjadi sebuah istana yang kukuh seperti istana raja, dengan struktur yang tinggi, tiang-tiang yang kukuh, dan dihiasi dengan pelayan perempuan dan pelayan lelaki, dan segala jenis perhiasan dan barang berharga.
“Jika ia keluar dari lubangnya dan bertemu dengan rakannya, ia tidak akan bercakap – kalaulah ia diberikan keupayaan untuk bercakap- kecuali tentang rumahnya, makanannya, dan bagaimana makanan tersebut disimpan.
“Ada pun keadaan istana dan raja di dalam istana, ia terasing jauh dan tidak memikirkannya. Malah, dia tidak mempunyai keupayaan yang lebih untuk melihat selain dirinya, makanan dan rumahnya.
“Sebagaimana semut yang lalai terhadap istana, lantainya, atapnya, dindingnya, dan seluruh strukturnya, dan juga lalai terhadap penghuninya, begitu juga kamu yang kalau terhadap rumah Allah SWT dan malaikat-malaikat-Nya yang menjadi penghuni langit-Nya.
“Kamu tidak mengetahui tentang langit melainkan apa yang diketahui oleh semut tentang atap rumahnya, dan kamu tidak mengetahui tentang malaikat-malaikat langit kecuali apa yang diketahui oleh semut tentang kamu dan penghuni rumahnya!.
“Ya, semut tidak mempunyai cara untuk mengenali kamu, dan keajaiban binaan pencipta di dalamnya. Sebaliknya bagi kamu, kamu memiliki kuasa untuk menerokai kerajaan dan mengetahui keajaiban-Nya yang makhluk kalau tentangnya.”
Oleh kerana itu, kata Imam al-Ghazali selanjutnya: Segala yang kita ketahui adalah sangat sedikit dan rendah berbanding apa yang diketahui oleh para ulama dan wali.” Manusia mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang lebih sedikit berbanding apa yang diketahui Nabi dan apa yang diketahui oleh Nabi adalah sedikit berbanding apa yang diketahui oleh para malaikat yang dekat dengan Allah.
“Kemudian, segala ilmu malaikat, Jin dan manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah Yang Maha Kuasa, ia tidak layak disebut sebagai ilmu melainkan sesuai dipanggil kehairanan, kebingungan, kekurangan, dan ketidakmampuan.”
Sesungguhnya, kita serba kekurangan dan kelemahan, tetapi kita diberikan “…ilmu pengetahuan…sedikit sahaja.” (Surah al-Isra’, ayat 85).
Dengan sedikit pengetahuan itulah kita sebenarnya membuat pelbagai tafsiran, ada yang mengena dan ada yang tidak memberikan sebarang manfaat. Walau bagaimanapun, pengetahuan itu tetap menjadi sebahagian daripada bentuk maklumat atau data, yang membentuk kita kepada satu kesimpulan, sama ada hanya berdasarkan logik (logic) mahupun dalam skala intuitif (intuitive), dan prosesnya sentiasa berubah kerana manusia ikut berubah berdasarkan apa yang difikirkan, yang dipengaruhi oleh kehendak zaman, persekitaran, tanggapan (persepsi) dan pengamatan seharian.
Kamus Kemaafan
Sebagai manusia, dalam kesibukan kita berproses dan menjalani kehidupan, kita seringkali kalau tidak sepenuhnya terjebak dengan pelbagai desakan, kemahuan dan tafsiran tentang orang lain, maka di situlah kita perlu melihat semula apa yang sudah terjadi, dengan harapan tidak mengulanginya.
Dalam harapan itu, sebagai manusia yang kerdil dan kurang berpengetahuan, sesamalah kita memohon kemaafan atas segala ungkapan, perilaku atau gerak bibir yang pernah kalian dengar, saksi atau tontoni yang boleh mengakibatkan runtunan emosi sehingga ada yang kekal dalam lipatan Nurani membentuk “dendam”.
Tetapi, kita amatlah mengharapkan “dendam” itu bukanlah “yang terindah” untuk disimpan kekal, biarlah “dendam” itu terlerai sebagai suatu proses pembaikian diri, dengan maaf setulus hati dan seikhlas jiwa. Kerana “dendam” itu adalah yang tersimpan di dalam hati, maka dengan hati yang menginsafi sesamalah kita memaafi.
Kalau Ramadhan mendidik jiwa dan Nurani, maka Aidilfitri itu adalah kemenangan yang menjadi momen sebuah keberanian kendiri. Kita berani mengakui kesilapan dan kita berani untuk memohon kemaafan, dalam semangat kemenangan Madrasah Ramadhan.
Pada detik itu, kita berani untuk menyatakan kesilapan diri, dan juga memperbaikinya dengan harapan segala “dendam” yang lama disimpan mengalir cair dalam limpahan kesedaran yang jernih, mengalir ke muara semua kekotoran dan jelaga agar tidak lagi terbeban dalam kitaran emosi.
Dan, maaf itulah sebenarnya satu kemenangan pada diri kerana perjuangan mengakui kesilapan bukanlah mudah, dan penuh ranjau. Ia bukanlah kemenangan dalam perdebatan, tetapi kemenangan di atas kejujuran dan keikhlasan. Kemenangan meruntuhkan ego dan kembali kepada fitrah, hidup dibaluti cinta dan kasih sayang. Kemenangan menebar dan membudayakan kasih sayang.
Dan, dari situlah kita memulai, sebuah perubahan yang benar-benar bererti: buang yang keruh, ambil yang jernih..Jika ‘dendam’ itu dilepaskan, ia menjadi titik balik terindah dalam kehidupan seterusnya.
SALAM AIDILFITRI
Masjid al-Imam al-Ghazali (MAIAG),
Bandar Manjalara, Kuala Lumpur
1 Syawal 1447/ 22 Mac 2026.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments