Dilema Aidilfitri & Erti Kemenangan
Takbir bergema di seluruh dunia. Umat Islam menyambut kedatangan Syawal, dengan perasaan gembira disalut kepiluan atas pemergian Ramadhan. Namun di saat Gaza hancur akibat pengeboman rejim Zionis yang berterusan, di saat umat Islam Sudan dan Yemen kelaparan, dan musuh di luar semakin rakus dirasuk nafsu peperangan, wujud perasaan bersalah daripada diri sesetengah Muslimin untuk menyarungkan baju perayaan yang baharu. Hati kita bertanya: “Layakkah aku meraikan kemenangan tatkala saudaraku sedang dizalimi? Kemenangan apakah sebenarnya yang kita raikan ini?”
Penjajahan Dalam Diri
Aidilfitri yang pertama disambut pada tahun kedua Hijrah, sejurus selepas peristiwa besar di bulan Ramadhan tahun tersebut, Perang Badar.
Takbir raya yang pertama dilaungkan oleh para sahabat yang tubuh mereka masih berparut luka, dan pedang mereka masih berbau darah musuh. Ini bermakna, jiwa Aidilfitri itu sendiri adalah jiwa perjuangan.
Ramadhan pula boleh dianggap sebagai kem latihan spiritual. Kemenangan Aidilfitri adalah deklarasi bahawa umat Islam telah berjaya membebaskan diri mereka dari rantaian hawa nafsu. Falsafahnya disebaliknya adalah jelas: Umat Islam tidak akan pernah mampu mengalahkan penjajah dan musuh di luar, jika kita gagal mengalahkan “penjajah” kejahilan dan nafsu di dalam diri kita sendiri.
Ancaman Kemusnahan Al-Aqsa
Namun, tatkala kita sibuk meneliti warna tema baju raya, tahukah anda bahawa kiblat pertama kita, Masjid Al-Aqsa, sedang berhadapan dengan ancaman kemusnahan yang paling kritikal dalam sejarah moden?
Hari ini, rejim Zionis tidak lagi dikawal oleh ahli politik sekular, tetapi telah dirampas sepenuhnya oleh pelampau agama (Religious Zionists). Mereka secara terbuka merancang untuk meruntuhkan Al-Aqsa bagi membina Kuil Ketiga (The Third Temple) demi mempercepatkan kemunculan Messiah (Dajjal) mereka.
Ia bukan lagi sekadar teori konspirasi. Ritual penyucian menggunakan ‘Lembu Merah’ atau Red Heifer yang diimport dari Texas, Amerika Syarikat, sudah pun berada di fasa terakhir. Mereka bersedia untuk mencetuskan perang agama berskala global.
Tragisnya, musuh sangat licik menggunakan peperangan berdarah di Gaza hari ini sebagai tabir asap (smokescreen). Tatkala dunia menangisi Gaza dan sibuk dengan kemelut geopolitik, Zionis sedang perlahan-lahan merampas Al-Aqsa, sambil meluaskan tanah penjajahan mereka untuk melaksanakan pelan The Greater Israel, tanpa disedari dunia.
Ilusi Kemenangan & Pengkhianatan Kepimpinan
Di manakah pemimpin dunia Islam ketika musuh merancang kemusnahan kiblat kita?
Di Timur Tengah, kita melihat negara-negara Arab mengunci mulut. Mereka lebih rela bekerjasama dengan Israel dan Amerika demi mengukuhkan kuasa peribadi dan menjaga periuk nasi ekonomi mereka. Mereka menjual maruah umat dengan harga normalisasi. Apabila pengkalan tentera US di UAE, Qatar dan sebagainya diserang oleh Iran, barulah mereka berani bersuara. Namun ketika Israel dan US melancarkan serangan ke atas Iran tempoh hari, mereka memilih untuk senyap bersepi.
Namun bagaimana kita mahu melaungkan erti “kemenangan” umat, jika umat Islam di sini juga retak menanti belah?
Baru-baru ini, UMNO telah mempelawa pemimpin Melayu-Islam untuk duduk semeja supaya dapat mulakan perbincangan tentang masalah dan halatuju umat Islam dalam negara.
Namun reaksi dari segelintir pihak amat mengecewakan. Mereka masih di tapuk lama dan tidak dapat merentas ideologi politik demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu.
Sama ada cadangan itu bermotifkan kelangsungan politik atau tidak, reaksi penolakan dan perbalahan terbuka ini mempamerkan satu realiti yang sangat menyedihkan. Pemimpin-pemimpin kita membina tembok ego parti masing-masing terlalu tinggi.
Agama ini bersifat syumul (holistik). Ia menuntut kesatuan ummah dan menolak asabiyah atau semangat berpuak-puak. Apakah nilai takbir raya kita jika pemimpin kita mendahulukan warna bendera parti politik berbanding agenda penyatuan? Jika di tanah Arab mereka berbalah demi takhta, di sini kita berbalah demi undi.
Bilakah umat ini mampu berdiri mempertahankan Masjid Al-Aqsa, jika nakhoda-nakhoda kapal kita sendiri sibuk bergaduh berebut stereng, sedangkan kapal umat Islam sedang perlahan-lahan karam?
Penentangan Spiritual
Kembali kepada persoalan awal kita: Wajarkah kita bergembira di hari raya ini?
Lihat sahaja saudara kita di Palestin. Walaupun masjid mereka hancur, mereka tetap mendirikan solat sunat Aidilfitri di celah runtuhan konkrit. Mereka tetap mengukir senyuman. Kerana kegembiraan mereka adalah satu bentuk Penentangan Spiritual, menentang penindas dan penzalim dari golongan Zionis. Umat Palestin hendak memberikan mesej jelas dan tepat kepada musuh: “Kalian boleh hancurkan rumah kami, tetapi kalian tidak akan pernah berjaya menghancurkan jiwa dan keimanan kami.”
Oleh itu, jangan berasa bersalah untuk menyambut Aidilfitri. Tetapi berasa bersalah jika kita menyambutnya dengan jiwa yang kosong, lupakan perjuangan, dan terus membiarkan perpecahan menghancurkan ummah.
Pakailah baju raya yang indah, nikmatilah juadah bersama keluarga, dan eratkanlah ukhuwah, kerana perpecahan adalah senjata utama musuh. Tetapi pada masa yang sama, sarungkanlah “Pakaian Taqwa” dan semangat Badar di dalam dada.
Jadikan takbir raya tahun ini bukan sekadar melodi tradisi, tetapi laungan pembebasan jiwa.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments