Kehidupan malam semakin diselubungi ketakutan, bukan diancam maut yang hadir sebagai takdir azali tetapi di atas kekejaman manusia sendiri. Manusia cukup kejam kerana tamak, haloba dengan kehendak hawa nafsu sehingga sanggup berubah menjadi pengganas dan mengadaptasikan perilaku melampaui binatang buas.
Secara alami, sifat binatang buas yang suka memburu demi kelangsungan hidup, yakni untuk mendapatkan makanan dan mempertahankan diri bila diancam. Tetapi, manusia melangkaui dua sifat semulajadi binatang buas, mereka sanggup mengganas untuk meraih kuasa dan memboloti setiap apa yang ada di atas dan di dalam perut bumi.
Atas kepentingan itu, manusia mencipta pelbagai alasan sehingga alasan itu dilihat seumpama rumusan rasional yang akan dipertahankan dalam bentuk sebuah kewajaran atau kebenaran di luar kebenaran sejati.
Ketika kita merenung, mendengar dan membaca laporan, kita disogokkan dengan sebuah kewajaran yang terpesong dengan maksud kebenaran yang sepatutnya dipertahankan sebagai nilai sejagat dalam sebuah hakikat.
Cuba kita fahami dengan rasa empati sedaya upaya, kenapa seseorang pemimpin begitu rakus memulakan langkah untuk menyerang sebuah negara yang beribu batu daripada wilayah kekuasaannya, sedangkan negara yang diserang itu tidak sedikit pun memberikan ancaman keselamatan terhadapnya.
Dalam masa yang sama, negara yang menggelarkan dirinya sebagai ‘polis dunia’, ia tidak bermakna kepolisiannya mutlak dan boleh bertindak sesuka hati, tanpa ada sedikit pun pertimbangan untuk mengumpul bukti yang sahih dan tepat dengan apa yang didakwanya.
Kita tahu, secara umumnya, polis dibentuk untuk menjaga dan menentukan ketenteraman berkekalan, tetapi jika polis sendiri memulakan keganasan, maka dengan sendirinya polis sedemikian tidak lagi boleh dipercayai dan diharapkan untuk menjaga keselamatan dan mengekalkan ketenteraman awam. Polis itu adalah “penjahat”. Polis itu “pengkhianat” dan wajib ditolak dengan apa cara sekalipun. Itulah yang saya maksudkan tentang “polis dunia” yang beribu pejabat di Washington.
Washington bukan lagi sebuah pusat pentadbiran yang boleh kita banggakan, tetapi ia bertukar menjadi pusat kelentong dan rumusan kebohongan terbesar dunia. Saya namakan Washington yang berperanan sebagai pusat kelentong dan perumusan dasar bohong sebagai Was-kelentong. Anehnya, ada lagi sebuah bandar yang terletak di Timur Tengah yang menjadi pusat pembentukan dasar dan keputusan ganas yang mendapat sokongan penuh Was-kelentong, iaitu Tel Aviv.
Tel Aviv tidak pernah habis dengan idea jahat dan ganas, maka patut kita namakan ia Toyol dan Iblis, diringkaskan menjadi Tol Iblis kerana di situlah banyak kutipan perangai dan tindakan iblis berkumpul menjadi aset yang sangat zalim. Jika diambil dari permulaan sejarahnya, tentunya terlalu banyak tong-tong iblis yang sudah diisi dan akan terus diisi selagi Tol Iblis ada.
Cuba kita singkapkan kisah seorang lelaki ateis yang dijolok sebagai peletak asas sebuah negara haram yang dinamakan sebagai Negara Yahudi (Der Judenstaat), yang kini kita kenali sebagai Israel. Oleh kerana aksi ganas berpengkalan di situ sejak tahun 1948, ada yang memanggil Israel dengan pelbagai jolokan sifat buruknya:
*Is-sewel atas alasan dipimpin oleh pemimpin yang otaknya sewel dan tidak berperikemanusiaan;
*Is-real-hell kerana lagaknya untuk mendapat ‘nikmat syurga sendiri” dengan mencipta neraka ke atas negara yang berdaulat di sekelilingnya;
*Is-biol kerana dipimpin oleh orang yang biol dan setiap tindakan yang diambil cukup biol;
“is-rael is not Is-real kerana muncul sebagai “perompak penjarah, perampas” oleh peneroka haram Yahudi, yang dikawal oleh samseng sehingga diserap ke dalam pasukan tentera “paling bermoral” dengan tindakan paling ganas di dunia, lebih ganas daripada kisah polis zaman purba;
*Is-Dajjal, kerana di situlah akan berdirinya istana dajjal dan kini mereka sedang membinanya sebagai persediaan menyambut kedatangan dajjal dan akan menjadi pemerintah kepada seluruh umat manusia, yang dalam istilah mereka Israel Raya (Greater Israel).
Program itu tidak akan berakhir selagi masih ada negara-negara yang dikatakan termasuk dalam Israel Raya, yang menganjur antara Sungai Tigris hingga Sg Euphrates. Kawasannya cukup luas, yakni hampir seluruh wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara. Oleh kerana itu, mereka menggunakan mitos “tanah yang dijanjikan” bukan sekadar 51 peratus wilayah Palestin sebagaimana dipersetujui dalam Pembahagian Pusaka Haram oleh PBB, yang tunduk dengan kuasa Was-kelentong.
Tetapi kini, keluasan tanah yang berbaki untuk keturunan Arab-Palestin mungkin berbaki kurang 18 peratus, dan tanah itulah yang hendak dikuasai dengan helah Board of Peace, membangunkan semula Gaza yang dikatakan “tidak selamat” dan perlu dibersihkan dari sisa perang dan sisa bom yang tidak meletup.
Awalnya dicadangkan untuk dijadikan sebuah kawasan perumahan dan pelancongan mewah yang dinamakan Reviera Timur. Cadangan itu dibantah oleh banyak pihak dan menjadi sebahagian daripada konflik dengan seorang pendana terbesar kempen Pilihan Raya Presiden USA 2024, iaitu Elon Musk. Musk dilaporkan telah menyumbang dana kempen hampir USD $300 juta.
Bila Trump menang, Musk menjadi penasihat Rumah Putih untuk reformasi sektor awam, yang membawa kepada penutupan beberapa agensi, termasuk Jabatan Pendidikan dan pengurangan kakitangan. Musk juga ada kepentingan dalam perniagaan, akhirnya rakyat Amerika Syarikat mula mempersoalkan kejadiannya sebagai penasihat di Rumah Putih. Ramai juga yang memboikot kenderaan elektrik jenama Tesla, yang membawa keuntungan besar dan memperkayakannya.
Musk awalnya ikut bersetuju, tetapi setelah melihat kecenderungan melampau Trump, beliau mula mengeluarkan kritik. Ia menjadi suatu perbalahan besar apabila Musk mengecam keputusan Presiden terhadap ICE- Immigration and Custom Enforcements.
ICE telah menyebabkan ramai yang mendakwa Trump sepatutnya menyingkirkan isterinya, Melania Trump dan anaknya, Baron Trump. Mereka berkahwin (Januari 2005) sebelum model dari mendapat taraf warganegara. Baron dilahirkan (Mac 2006) sebelum ibunya memperoleh sijil rakyat Amerika (secara naturalisasi pada tahun 2006). Ini bermakna, Melania dan Baron tidak sah taraf sebagaimana Trump buat keputusan bahawa tidak dibolehkan sijil kewarganegaraan diberikan ke atas rakyat asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan. Anak yang lahir hasil perkahwinan tersebut, tidak akan diberikan taraf warganegara secara automatik.
Ketika melahirkan Baron, Melania masih memiliki kerakyatan Slovania (1991). Melania pernah memiliki kerakyatan Yugoslavia (sehingga tahun 1991), iaitu negara kelahirannya (lahir 1970). Awalnya memasuki Kanada dan pada pertengahan 1990-an menjadi model di Amerika Syarikat. Sejak itu Melania mendapat perhatian istimewa Donald Trump, yang ketika itu sudah pun berkahwin dengan Ivana Marie Zelnickova (1949 – 2022) yang berasal dari Republic Czech.
Trump juga berhasrat untuk melanjutkan perang perdagangan ke atas China dengan mengenakan tarif timbal balas, berdasarkan lebihan (surplus) perdagangan – nilai import berbanding nilai eksport- hampir kesemua negara di dunia, juga negara pulau yang tidak ada sumber eksport. Ia membawa kepada pertelingkahan yang cukup besar dan pergaduhan dengan Musk menyebabkan Trump mengugut dan mendesaknya pulang ke Afrika Selatan serta menuruti semua premis perniagaan miliknya.
Musk kemudiannya mengambil inisiatif berundur dari DOGE dan berhasrat menubuhkan sebuah parti baharu (Julai 2025) dan Trump menyifatkan sebagai mengarut.
Beberapa bulan kemudian Musk membatalkan hasrat tersebut dan berazam untuk terus kekal berniaga di Amerika Syarikat.
Musk mempunyai kepentingan besar dalam kereta elektrik yang diusahakannya, Tesla; rangkaian satelit komunikasi, Starlink; media sosial X; dan pembangunan pesawat ulang alik ke angkasa, Space X. Musk boleh dikatakan ada darah Yahudi, dan sedikit sebanyak cenderung mendokong zionisme.
Tetapi, gerak kerja dan sokongannya tidaklah sekuat Trump yang pada sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat cukup takut untuk menangkis kenyataan pemimpin Is-not-real, terutama Benjamin Netanyahu. Ramai memanggilnya sebagai Setan-yahu dan Setan-jahat. Sebabnya, beliau memang cukup jahat dan ganas. Bagi sesetengah orang, kejahatannya semakin bertambah apabila cuba melindungi diri daripada skandal yang dihadapinya. Kejahatan dan gila perangainya itu dijadikan sebagai “pelindung” agar kes rasuahnya dihentikan proses pengadilan, dan Trump pernah memohon agar Presiden Is-not-real memberikan pengampunan.
Setan memang jahat, belum kedengaran setan dikaitkan dengan perangai baik. Sebab itulah gelaran ke atas Setan-yahu memang patut diberikan, kerana dengan gelaran itu akan terhapuskan jolokan manja sebagai Bibi (bukan babi). Trump sentiasa memanggilnya Bibi, yang dalam bahasa diplomasi politik boleh dimaksudkan dari “hamba kepada tuan”.
Dalam kes sekarang, Setan-yahu adalah “tuan” manakala Trump adalah “hamba” yang cukup rapat dan setia. Setiap kali “tuan” memohon bantuan, “hamba” cuba penuhkan, bahkan sanggup mengorbankan tentera USA demi untuk menjaga hati “tuan” dan menjaga aib pemimpin yang paling gila dan haus darah itu, Setan-jahat, Perdana Menteri Is-not-real bernama yang tidak pernah rasa bersalah di atas kekejaman yang dilakukannya.
Memang setan jahat, sebab itu dipanggil Setan-jahat. Dia bukan sahaja jahat kepada keturunan Arab-Palestin, dia juga jahat kepada semua negara jirannya, dan telah beratus kali menipu, berbohong dan mengarahkan pembunuhan. Dia bukan sahaja membunuh di bumi Palestin, bahkan menghantar algojonya ke seluruh dunia, termasuk Iran.
Malaysia turut dikejutkan apabila seorang rakyat Palestin dibunuh pada suatu awal pagi di Ukay Heights (Dr Fadi MS al-Batsh Fatma, pada 2018) kerana mangsa adalah seorang pakar elektronik yang mengajar di sebuah universiti swasta di Malaysia. Sebelum berhijrah ke Malaysia (2011), Dr Fadi terlibat dalam aktivis pembebasan Palestin. Khabarnya, empat saksi yang disiasat mengakui mendapat arahan dari Mossad, empat tersangka itu merupakan agen Mossad. Mossad adalah agensi penyiasatan IS-SEWEL yang cukup ganas.
Mujurlah, satu lagi percubaan membunuh dan buat kacau berjaya dipatahkan apabila seorang rakyat Israel ditangkap dan kesnya sedang dibicarakan di Mahkamah. Shalom Avitan (36) ditangkap pada 27 Mac 2024 dan ketika ditangkap di Jalan Ampang, Kuala Lumpur terdapat pistol di badannya. Beliau memasuki negara ini dengan menyamar dan menggunakan passport palsu. Beliau juga dikatakan mendapat bekalan senjata secara haram daripada rakyat tempatan .
Sejak munculnya ideologi zionis yang dibentuk pada Persidangan Yahudi Antarabangsa pertama di Basel, Switzerland (1897), mereka tidak berganjak untuk pulang ke ‘tanah yang dijanjikan’ dan berbohong bahawa wilayah yang menjadi pilihan tersebut adalah “tanah yang tidak berpenghuni’. Sejak itu, sejarah bumi Syam mula diputarbelitkan dan ditulis semula menggunakan kaedah “Jews-centric”.
Jews-centric yang berinjak dari keinginan besar menghapuskan bukti sejarah peradaban yang muncul di situ, terutama peradaban Kanaan, Filisten dan Amorites yang beradaptasi lebih empat milenium (4000 tahun). Sejarah Palestin yang panjang itu dapat dibaca dalam Nur Masalha, Sejarah Palestin Empat Ribu Tahun yang sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu tahun lalu (2025).
Justifikasi siapa sebenarnya yang berhak memiliki tanah Kanaan ini disusun sejarahnya oleh anak lelaki Allahyarham Abu Hasan Ali an-Nadwi, Dr Zafarul Islam Khan, Siapa Orang Asli Palestin? (2021) terjemahan edisi berbahasa Arab, Tarikh Filistin al-Qadim (1971).
Jika berminat mengenai perbincangan awal gerakan menubuhkan negara Is-not-real selepas tamat Perang Dunia Pertama, boleh diteliti dari perbincangan dua orang Yahudi, seorang bernama Dr Chaim Weizmann yang diberi tanggungjawab sebagai perancang negara Yahudi, dan Leopold Weiss, yang kemudian memeluk Islam dengan menukar nama kepada Muhammad Asad dalam The Road to Mecca (1954) dan edisi bahasa Melayu, Jalan ke Mekah (2019).
Chaim Weizmann ialah Presiden Israel pertama setelah negara haram Is-not-real wujud dengan tekanan Amerika Syarikat yang berjaya menggunakan PBB pada 14 Mei 1948.
(bersambung)
KAMARUN KH
Recent Comments