Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Dalam keadaan negara untuk memperkukuh perpaduan nasional dan meredakan kepanasan suhu politik yang terlalu lama dipendamkan oleh retorik perpecahan, cadangan Rumah Bangsa yang diwawarkan oleh Ahmad Zahid Hamidi seharusnya dilihat sebagai satu usaha politik yang ikhlas,jujur dan  matang.

Idea tersebut pada asasnya bertujuan membuka ruang pertemuan dan perbincangan serta persefahaman antara parti-parti politik Melayu dan Bumiputera dalam kerangka mewujudkan negara yang lebih stabil dan makmur.

Namun niat baik itu sekali lagi disambut dengan nada sinis yang tidak sepatutnya datang dari orang yang digelar ulama. Penolakan keras ini sebenarnya sudah dijangkakan.

Sangat menyedihkan sedangkan Islam amat keras menolak perpecahan.Banyak ayat-ayat Al-Quran  yang menganjurkan agar ummah bersatu seperti mana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

(An-Nisaa’ 4:59)

Jika mereka boleh bekerjasama tentunya kekuatan Melayu akan dilihat sebagai suatu yang utuh dan mapan. Mereka yang menghalang penyatuan Melayu dan Islam ini boleh dianggap sebagai pengkhianat.

Hadi berkata ajakan untuk bekerjasama ini dianggap bisikan syatan dengan beberapa sindiran tajam Antara istilah sindiran yang digunakan”

“memilih kawan yang dipercayai atau lawan yang diragui…”

Apakah kita meragui keikhlasan seseorang yang mengajak untuk berbincang demi kepentingan masa depan Islam bangsa dan negara?

Semua ini adalah satu tanggapan yang tidak sewajarnya dengan berpandangan negatif terhadap orang lain. Seolah-olah dia sahaja yang betul yang berpandukan kepada hidayah Allah. Orang lain tidak.

Berasaskan perspektif ini, sudah sewajarnya segala bentuk perbincangan sama ada digelar dengan halaqah, debat, mujadalah, muzakarah, mabahis dan sebagainya, perlu dalam kerangka mengelakkan elemen pergaduhan dan perpecahan

Kepentingan peribadi dan pegangan politik akhirnya mencurahkan bibit-bibit permusuhan yang boleh membawa kepada kehancuran kerukunan negara.

Perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh para pemimpin bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin. Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luaran mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah terjalin sejak sekian lama

Kita perlu menghimpun ilmuwan dan tokoh tempatan di atas satu platform bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan negara. Mencadangkan usaha-usaha yang sesuai terhadap isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan negara dengan menjadikan gagasan Madani sebagai pendekatan yang dirujuk.

Pada ketika ini umat Islam di negara ini sedang mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik, ulama-ulama, parti pemerintah dan pembangkang.

Secara fitrah, ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan bukan persengketaan. Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia.

Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).(Asy-Syuura 42:13)

Justeru manusia sangat inginkan kepada perpaduan. Lebih penting daripada itu umat Islam inginkan amalan yang sebenar bukan berbaur dengan kepentingan politik, peribadi atau sebagainya. Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi hari ini dengan tenang supaya segala faktor negatif tidak memerangkap dan menjatuhkan kita sekali lagi dalam fitnah kekacauan seperti yang berlaku di zaman sahabat (Khalifah Ali dan Othman) dahulu.

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

(Al-Hujuraat 49:10)

Sejarah mencatatkan sering kali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Demikian juga dalam keadaan berpecah belah itu pasti akan saling menyerang dan saling berusaha menghancurkan satu sama lain.

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar”.

(A-li’Imraan 3:105)

Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan, asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain.

Nabi Muhammad SAW telah membuktikan hakikat tersebut dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia.

Sikap jujur, toleransi dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekali gus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada daripada kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya. (Ali-Imran: 103)

Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama, tetapi Allah SWT sendiri.

Tidak ada yang menyatukan perbezaan di antara selain Islam dan tidak ada yang menciptakan persaudaraan, juga selain Islam. Ingatlah, bahawa Islam bukan hanya milik umat tertentu sahaja.

Justeru, tiada alasan bagi sesama umat Islam untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita agar jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang mungkin kebetulan berbeza dari segi fahaman. Kita seharusnya membetulkan fahaman yang salah atau meragukan itu dengan penuh hikmah dalam suasana persaudaraan. Itulah yang diajarkan atau disarankan oleh al-Quran.

Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan mengatakan diri sendiri yang benar belaka sedangkan orang lain tidak betul merupakan antara sifat yang akan melonggarkan ukhuwah sesama ummah.

Inilah yang disebut di dalam al-Quran sebagai tanda-tanda musyrik kerana memutlakkan pendapatnya sendiri dan tidak menghiraukan pendapat orang lain.

Justeru kita mengakui al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

“Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka.Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)”. (Al-An’aam 6:159)

Amat malang apabila seseorang yang telah dianugerah Islam serta menjadi pengikut Nabi SAW yang pengasih dan penyayang sentiasa berada di jalan perpecahan.

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu bersengketa; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.

(Al-Anfaal 8:46)

Translate »