Hadis Khurasan & Perangkap Dajjal
“Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan.”
Sejak gabungan US-Israel membedil Iran, hadis terkenal ini kembali dijaja di media sosial. Sedihnya, wujud sebahagian umat Islam yang menggunakan nas ini sebagai justifikasi untuk bersorak gembira melihat bumi Iran dibakar. Logik mereka: Iran adalah wilayah Khurasan, tempat keluarnya pengikut Dajjal, maka peperangan ini seharusnya berlaku.
Adakah kebencian terhadap dasar Syiah Iran menyebabkan umat Islam menjadi buta hati, sehingga sanggup bersorak di saat kuasa Zionis mengebom anak-anak kecil di Tehran? Adakah kita lupa bahawa Dajjal itu sendiri adalah simbol kezaliman penindas, dan pakatan US-Israel hari ini merupakan penjelmaan kezaliman tersebut?
Tali Hayat Politik
Sebelum peluru berpandu mula menghujani Tehran, kuasa media di Washington telah bergegas mengeluarkan beberapa alasan lapuk untuk menjustifikasikan tindak-tanduk mereka. Presiden US Donald Trump, menyatakan bahawa pelan untuk menyerang Iran akan;
- Membawa kebebasan dan demokrasi untuk rakyat
- Menghalang ancaman bom
- Melindungi laluan perkapalan dan minyak dunia di selat
- Membela sekutu Amerika di Timur
- Memerangi penaja
Namun realiti bagi Donald Trump, yang sedang berhadapan dengan populariti merudum menjelang Pilihan Raya Pertengahan Penggal, beliau terdesak untuk mencipta “Musuh Luar” demi menyatukan sokongan, dan mengabaikan pilihan raya “Mid-Terms” sama sekali.
Taktik ini pernah digunakan presiden US sebelumnya, Bill Clinton, yang melancarkan perang Iraq untuk melambatkan kes Monica Lewinsky tahun 90an. Kini, Trump menggunakan taktik yang sama setelah muncul gerakan untuk mengheretnya ke pengadilan, melalui pendedahan fail Epstein.
Bagi Benjamin Netanyahu pula, serangan ke atas Iran ini adalah tali hayatnya yang terakhir, untuk dua perkara penting. Pertama, Netanyahu dapat melambatkan pilihan raya Israel, kerana beliau tahu prestasi dan imejnya sedang merudum. Kedua, adalah untuk mengelakkan penjara, akibat kes rasuah terhadapnya di mahkamah Israel.
Di samping itu, di sebalik motif peribadi kedua-dua pemimpin gerakan Dajjal ini, wujud dua tangan ghaib berkuasa yang memaksa perang ini untuk berlaku.
Pertama adalah Lobi Israel, yang merangkumi AIPAC dan pelampau Christian Zionists yang memperkudakan polisi luar AS. Kedua adalah sektor kewangan elit di Wall Street, yang mengaut berbilion dolar daripada industri ketenteraan. Setiap perang yang melibatkan US akan menjana wang berbilion untuk golongan elit di Amerika.
Terbaharu, tentera Israel mengumumkan bahawa 70,000 askar simpanan telah digerakkan untuk memperkukuh semua sempadan. Mobilisasi itu merangkumi berpuluh-puluh batalion dan briged manuver.
Perkara ini mengingatkan setiap muslim kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud;
“Dajjal akan diikuti oleh orang Yahudi Isfahan seramai 70,000 orang lengkap memakai Tayalisah (selendang orang Yahudi).” – [HR Muslim]
Pembunuhan Ayatollah Ali Khomenei
Serangan US-Israel berjaya membolosi pertahanan Iran, mengakibatkan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta beberapa ketua ternama negara itu. Jika kita telusuri rentetan peristiwa dari tahun lepas, berlaku siri pembunuhan pakar saintis nuklear, kemudian nahas “misteri” helikopter yang mengorbankan Presiden dan Menteri Luar Iran, hinggalah kepada pembunuhan Pemimpin Tertinggi ini, ia memberikan satu isyarat yang jelas. Wujud manifestasi penyusupan (infiltration) risikan yang sangat kronik, tepat di dalam nadi kepimpinan Iran sendiri. Memang tidak dinafikan, jurang teknologi antara pakatan AS-Israel dan Iran amat besar. Namun kelemahan sebenar Iran bukan di langit yang terbuka, tetapi di bumi yang dipijak, iaitu pengkhianatan dari dalam.
Di sinilah kita umat Islam perlu membuka mata terhadap modus operandi utama perisikan Mossad. Strategi terbesar mereka bukanlah semata-mata bergantung kepada jet pejuang F-35 atau peluru berpandu pintar, tetapi keupayaan mereka menyusup masuk ke dalam negara-negara umat Islam untuk mencipta kekacauan dan pemberontakan dari dalam. Mereka menanam ejen, membeli jiwa-jiwa pengkhianat dengan kekayaan, melaga-lagakan puak dan bangsa, serta memastikan struktur sesebuah negara itu reput sebelum tembakan peluru berpandu pertama dilepaskan. Apabila sesebuah negara Islam itu sibuk berhadapan dengan krisis dalaman dan kelemahan integriti akibat jarum halus perisikan ini, Zionis hanya perlu memetik jari untuk melumpuhkan keseluruhan sistem pertahanan.
Game Theory Zionis & Lohong Hitam
Jika kita bedah krisis ini menggunakan cermin mata Game Theory, satu realiti yang sangat gelap akan terdedah.
Semua sekutu US di rantau itu seperti Israel dan Arab Saudi, mendesak US untuk menyerang Iran. Arab Saudi melihat Iran sebagai ancaman eksistensial. Manakala matlamat Israel adalah untuk mencipta satu Lohong Hitam (Black Hole) di Timur Tengah. Mereka mahu tentera Amerika Syarikat terperangkap secara kekal dalam peperangan yang berdarah di pergunungan Iran. Dengan cara ini, kekuatan ketenteraan Iran akan hancur, dan pada masa yang sama, ketenteraan US akan terikat selama-lamanya untuk menjadi pengawal keselamatan di Timur Tengah. Ia merupakan satu percaturan di mana musuh dilumpuhkan, dan Khadam Besar Israel iaitu US akan dijerat hidup-hidup untuk terus melayani kepentingan mereka.
Perpecahan & Barah Sektarian Sunni-Syiah
Apa yang menyebabkan Iran begitu rapuh dan terasing?
Puncanya adalah dasar luar Iran sendiri yang selama berdekad-dekad dibina atas sentimen Sektarian. Apabila Iran memilih untuk menyokong kezaliman rejim Bashar al-Assad di Syria dan menindas golongan Ahlussunnah di Iraq, mereka telah membina tembok kebencian yang sangat tinggi dengan negara Islam yang lain. Menelusuri sejarah, perbalahan Sunni-Syiah di negara-negara Arab begitu mendalam, sehingga menyebabkan pembunuhan sesama sendiri.
Akibatnya, matlamat Zionis untuk melaksanakan pelan “Pecah dan Perintah” hari ini menjadi terlalu mudah. Negara-negara Arab di sekeliling tidak membantu, malah mereka membenarkan ruang udara digunakan oleh jet pejuang US-Israel. Barah sektarian ini akhirnya memakan diri umat Islam sendiri.
Inilah akar kehancuran ummah. Islam adalah satu cara hidup yang ‘syumul’ dan sepatutnya merentasi sempadan assabiyah. Untuk mencapai kemenangan hakiki, umat Islam wajib mengangkat panji Islam yang satu, bukannya menaikkan bendera kelompok, parti, mahupun geopolitik mazhab yang hanya akan menanam benih perpecahan dan mencetuskan budaya takfir.
Akibat daripada dasar sektarian ini, terdapat segelintir umat Islam di negara-negara jiran seperti Syria yang bersorak melihat kejatuhan Iran. Bukan kerana mereka menyokong Israel, tetapi kerana luka lama dan dendam yang berparut akibat perbuatan Iran dan proksi mereka itu sendiri.
Kebangkitan & Kesatuan Ummah
Di sebalik perkembangan geopolitik ini, umat Islam seluruh dunia kini berada di dalam bulan Ramadan yang mulia. Penganalisis geopolitik terkemuka, Sami Hamdi, mengingatkan kita bahawa Ramadan bukanlah sekadar bulan untuk berlapar dan tidur.
Sejarah membuktikan, Ramadan adalah bulan kemenangan dan tindakan proaktif. Di bulan inilah berlakunya Perang Badar dan Pembukaan Kota Mekah. Ia adalah bulan di mana umat Islam mencapai kesedaran politik dan spiritual yang tertinggi.
Zionis dan proksi mereka mahukan umat Islam sentiasa berasa lemah. Mereka mahu kita berpecah-belah dan menggunakan hadis-hadis akhir zaman sebagai alasan untuk berpeluk tubuh dan bersorak apabila melihat negara Islam dibedil.
Tetapi, Ramadan ini menuntut kita semua untuk melakukan satu “Political Awakening” (Kebangkitan Politik). Ya, setiap negara Islam mempunyai perbezaan dasar yang sangat besar. Tetapi, apabila pakatan US-Israel sedang cuba meluaskan empayar penjajahan mereka di atas darah umat Islam, kita tidak berhak untuk bertepuk tangan.
Jangan biarkan umat ini terus menjadi bidak catur dalam Game Theory kakitangan Al-Masihud Dajjal. Kemenangan tidak akan datang selagi umat Islam tidak membuang asabiyah dan kembali bersatu di bawah panji Islam yang syumul.
– Dhomir.com
Recent Comments