Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
KERAJAAN mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan seorang individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun ryandaselva.
Umat Islam di negara ini menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Isu ini terkelas dalam 3R iaitu membabitkan perkara tersangkut agama, raja dan kaum.
Yang di-Pertuan Agong pernah bertitah, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.
Sudah tentu ingatan itu, bukan hanya ditujukan kepada orang Melayu sahaja?
Amat dikesali ada pihak yang sengaja mencabar keimanan umat Islam khususnya ketika mereka sedang melaksanakan ibadah puasa.
Namun di sebalik itu, Menteri Agama, Senator Dr Zulkifli Hasan agak lebih terbuka dan lembut dalam menghadapi isu ini.
Beliau menyaran agar diambil pendekatan mengajar berbanding menghukum.
Sampai bila harus berhikmah dan kompromi dalam isu yang sebegini besar dan sensitif kepada umat yang sedang berpuasa ini?
Menurut Dr Zulkifli, isu pijak al-Quran perlu ditangani dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Mengambil pendekatan mengajar daripada terus menghukum adalah selari dengan konsep taaruf dalam Islam, iaitu saling mengenali, memahami dan mendekati dengan ilmu serta akhlak yang baik.
Kita sudah lama saling mengenali dan memahami satu sama lain namun memainkan isu-isu agama seumpama ini amat merbahaya dan boleh mencetuskan pergaduhan.
Maaf tidak dapat diterima.
Tindakan siasatan perlu dibuat dengan penuh teliti bagi pengajaran kepada orang lain.
Tidak akan ada sebarang kompromi dengan pihak terbabit yang dilihat sengaja mencetuskan api kemarahan umat Islam menerusi kelakuan jijik menghina agama dan bangsa Melayu.
Kita tidak tahu apa sudah terjadi dengan unit khas di jabatan perdana menteri bagi memantau isu-isu penghinaan Islam sejak akhir-akhir ini menjadi semakin semarak dan menjadi tular di platform media sosial.
Langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan cepat dan cekap bagi mengelakkan isu penghinaan terhadap agama Islam oleh segelintir orang awam cenderung berubah menjadi konflik antara agama dan kaum sebagaimana berlaku di beberapa buah negara.
Berdasarkan prinsip Rukun Negara, amalan sosial dan peraturan yang terdapat di Malaysia, persoalan pelecehan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan kerana ia termasuk dalam peraturan yang bertujuan menjaga keharmonian antara kaum.
Sebagai sebuah unit yang dikhusus ditubuhkan untuk memantau isu-isu yang berkaitan pelecehan agama dalam masyarakat bukan sahaja perlu bekerjasama untuk melaporkan kejadian sedemikian untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Apabila al-Quran dihina, masyarakat Islam akan bangkit menyuarakan bantahan.
Tidak kurang juga pemimpin Islam sanggup mengeluarkan fatwa bunuh kepada mereka yang menghinanya.
Kalau di negara luar seperti Pakistan, Iran dan Afghanistan tidak selamat bagi sesiapa sahaja yang menghina dan memijak al-Quran.
Pada awal tahun 1980-an, apabila Salman Rushdie menyifatkan ayat-ayat al-Quran sebagai ayat-ayat setan, pemimpin tertinggi Iran mengeluarkan fatwa bunuh dan menawarkan hadiah kepada mereka yang dapat membunuhnya.
Beberapa tahun selepas itu, Geert Wilders pula berhadapan dengan pelbagai kutukan apabila turut menyifatkan al-Qur’an sebagai ayat-ayat palsu yang dicipta oleh Nabi Muhammad bagi menimbulkan kebencian sesama manusia termasuk melakukan jihad ke atas penganut agama lain.
Ada orang Islam yang sanggup berkorban nyawa kerana mempertahankan kesucian ayat-ayat al-Qur’an dan kerana itulah keotentikannya terus dipertahankan hingga kini.
Dalam situasi yang berbeza, atas kepentingan politik, orang-orang Islam sendiri mula mempermain-mainkan.
Tiada kompromi lagi bagi mereka yang melakukannya.
Mereka harus dihukum demi memberi pengajaran kepada yang lain.
Di bulan yang mulia ini, ketika umat Islam sedang menghayati ibadah dan memperingati saat al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi seluruh manusia, kita dikejutkan dengan satu perbuatan yang begitu mengguris hati dan mencabar kesucian agama.
Dalam hal ini Menteri Agama harus bertegas dan tidak terlalu lembut kerana akibatnya lebih buruk dan yang paling ditakuti ialah bila rakyat sendiri bangkit untuk melaksanakan keadilan demi menjaga agama Islam yang dicintai ini.
Recent Comments