Burung pipit (sparrow) adalah antara burung yang terkecil dan dalam kehidupan seharian, kita mudah temuinya. Pipit kadangkala juga dikenali sebagai ciak, dan tentunya bila mendengarkan perkataan itu kita akan segera teringat tentang burung ciak rumah; burung kecil yang bertenggek di celahan atap, kayu perabung atau ruang sisi atap rumah .
Dalam kehidupan psikologi, burung pipit membawa banyak pengajaran yang boleh kita pelajari, bahkan merenung secara mendalam tentang ghairah hidup, cinta dan kasih sayang. Salah satu cerita yang masyhur ialah kecewa seekor burung pipit betina, setelah siap membina sarangnya, tiba-tiba malam itu muncul angin kencang. Angin itu meruntuhkan seluruh sarangnya, dengan hari yang kecewa, burung pipit berkeluh kesah, lalu mengecam apa yang berlaku.
Kecaman itu didengar, lalu keluhan itu dijawab dengan suatu suara: angin kencang muncul pada malam itu, ketika pipit sedang nyenyak tidur, Tuhan ingin menyelamatkan penghuninya. Seekor ular besar sedang menerpa ke arah sarang itu, lalu muncullah angin kencang. Sarang itu jatuh, tetapi burung pipit terbang bertenggek di dahan yang lain. Pipit selamat walaupun sarangnya musnah, yang penting dirinya selamat.
Ketika kita dilanda musibah, kita seorang mengeluh menyalahkan apa sahaja, termasuk keadaan dan iklim. Dalam dunia sufi, dan juga dalam kepercayaan umat Islam, setiap apa yang berlaku ada pengajarannya dan setiap musibah ada ikhtibar yang perlu difahami, kerana Allah SWT tidak menjadikan “sesuatu dengan sia-sia”.
Seorang ulama sufi Mesir, Muhammad bin Abu Bakar al-Ushfuri yang hidup pada abad ke-17 telah menyusun sebuah buku mengandungi 40 hadis Rasulullah SAW yang dikaitkan dengan cinta dan kasih sayang. Setiap hadis yang ditadaburkan itu mempunyai cerita atau hikayatnya sendiri, yang berkaitan dengan peristiwa ataupun kisah-kisah khusus dalam kehidupan yang dikumpulkan.
Kisah itu terkumpul dalam Kitab Mawaizh Ushfuriyah yang menjadi salah satu koleksi pengajaran di pesantren sebagai “cerita petang” bagi meneguhkan keimanan secara deduktif kepada para pelajar. Kitab itu diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan judul, Belajar Cinta Dari Seekor Burung Pipit (2019), dengan hampir setiap hadis ada cerita yang berkait (hikayat), kecuali lapan hadis.
Dalam Islam, sebagaimana kita fahami bahawa penciptaan makhluk, alam semesta, udara, air dan sebagainya adalah bukti kasih sayang Allah. Allah SWT adakan semuanya itu untuk manusia (makhluk) sedangkan Allah SWT tidak mengharapkan kasih sayang makhluk. Cara memposisikan kedudukan itu, Syeikh Muhammad bin Abu Bakar yang lahir di Damascus tetapi menetap lama di Mesir sehingga kematiannya pada tahun 1103H/1692M cukup sederhana dan penuh kerendahan hati.
Walaupun tidak banyak maklumat mengenai kehidupan sehariannya, kita dapat menggambarkan bagaimana kerendahan hati sehariannya, dengan ungkapan dan pengakuan yang jujur dan ikhlas. Syeikh Muhammad menyifatkan dirinya sebagai “hamba yang penuh dosa”, yang telah lama “terbenam dalam lautan dosa dan angkara”. Jarang kita temui kejujuran begitu dalam diri seseorang, kecualilah pada diri mereka yang zuhud, dan sentiasa bergerak dalam setiap nafas untuk membersihkan diri. Tanpa sentiasa mengekalkan keadaan diri yang bersifat, tidak akan muncul ketenangan. Itulah jalan tasawuf atau jalan yang dilalui oleh sufi sejati.
Apa yang kita dapati, Belajar Cinta Dari Seekor Burung Pipit (BCBP) ini menggambarkan antara “kedalaman spiritual” dan “kesungguhan taubat” di mana sabda Rasulullah SAW sejumlah 40 yang dipilih diberikan makna sebagai “pelita hidup”, juga sebagai “perjalanan batin” pengarangnya dalam perjalanan batin yang penuh kerendahan hati dan penyesalan, dengan mengharapkan rahmat Allah SWT.
Apa yang kita faham tentang burung pipit? Selain kisah sarangnya yang jatuh ditiup angin, kita juga memahami sifat asasnya burung pipit ialah sangat penyayang. Burung pipit juga digambarkan telah membantu menyelamatkan nasib Khalifah Umar RA dari siksaan kubur.
Suatu hari, ketika menyusuri kota Madinah, Umar terserempak dengan seorang anak remaja lelaki yang sedang memegang dan bermain-main dengan seekor burung. Hati kecil Umar cukup terasa, lalu menawarkan remaja itu untuk menjualnya. Setelah dibeli, Umar kemudian melepas-bebas burung itu untuk pertama kalinya sejak ditangkap.
Setelah Umar meninggal dunia, ulama bermimpi bertemu. Lalu ditanyakanlah apa yang berlaku kepada Umar: Apa yang telah Allah lakukan terhadapmu?”. Umar menjawab: “Allah memaafkanku dan mengampuni dosa-dosamu.”. Ulama masih belum puas dengan jawapan itu, lalu terus bertanya: Apa yang telah membuatkan Allah mengampunimu? Apakah kerana kedermawananmu, atau kerana kezuhudanmu?”
“Tidak lama setelah kamu menguburku dan menimbusku dengan tanah, kamu meninggalkan aku bersendirian. Ketika itu datanglah dua malaikat yang cukup bengis. Akalku melayang dan seluruh sendiku terasa sakit dan sengal. Kedua malaikat itu memegangku, kedudukan dan hendak bertanya, tiba-tiba muncul suara ghaib: “Tinggalkanlah hamba-Ku ini dan jangan kamu berdua menyakitinya. Sesungguhnya aku menyayanginya dan telah Ku-ampuni dosa-dosanya. Sebab, di dunia ia menyayangi seekor burung sehingga Aku pun menyayanginya di akhirat ini.” (hal. 2-3)
Kisah itu merupakan hikayat pertama daripada dua hikayat yang menjadi kisah sebuah hadis yang bermaksud: Dari Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: Para penyayang akan disayangi oleh Sang Maha Penyayang. Maka, sayangilah semua makhluk di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh sesiapa pun yang ada di langit.”.
Hikayat kedua, yang dikaitkan dengan hadis tersebut ialah kisah seorang ahli ibadah dari Bani Israel. Ahli ibadah itu menemukan segundukan [selonggok] pasir, lalu berkhayal: Seandainya gundukan [longgokan] itu tepung, nescaya aku akan berikan kepada sebuah Bani Israil sehingga setiap perutnya kenyang.”
Jelas Syeikh Muhammad bin Abu Bakar, maka Allah SWT berfirman kepada salah seorang nabi dari mereka: “Sampaikanlah kepada di fulan ‘ Allah akan tetap memberiku pahala meskipun engkau hanya membayangkan seandainya gundukan pasir itu tumpukan tepung maka engkau akan menyedekahkannya”
“Ketahuilah”, tegas ulama sufi itu “barang siapa menyayangi hamba-hamba Allah, nescaya Allah akan menyayanginya.” Tetapi, seseorang itu perlu ingat bahawa “ketika di hamba tadi menunjukkan rasa sayangnya kepada sesama hamba Allah dengan ucapan ‘Seandainya gundukan ini adalah tepung nescaya aku akan membuat orang-orang itu kenyang”, tambah Syeikh ” ia sudah mendapat pahala seperti kalau dia benar-benar melakukannya.” Jelaslah, niat baik akan meraih pahala dan bertambah lagi jika niat baik itu dilaksanakan dengan rendah hati dan sejujurnya.
(Bersambung)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments