Oleh Mohd Shauki Abd Majid
Hari ini umat Islam di seluruh dunia telah memasuki hari kedua Ramadan yang mulia. Bagi umat Islam sedunia, bulan Ramadan dianggap bulan yang penting kerana bulan inilah mereka diperintah oleh Allah s.w.t untuk menjalani salah satu rukun Islam iaitu ibadah puasa selama sebulan.
Dalam setahun di mana terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan. Ia tidak sampai 10 peratus. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang ada di dalamnya, maka bulan Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya. Justeru, alangkah naifnya kalau kita menghadapinya secara biasa-biasa sahaja, lesu dan tidak bersemangat.
Perspektif bulan Ramadan bukanlah semata-mata aspek ibadah kepada Allah. Ramadan juga merupakan bulan yang penuh dengan gambaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan.
Ketika rasa lapar dan haus hadir dalam diri kita, maka keikhlasan kita ketika melaksanakan ibadah Ramadan tercermin daripada perilaku kita untuk mencapai keredhaan Allah.
Salah satu sasaran awal puasa ialah lapar. Kerana dengan laparlah si kaya dan si miskin menjadi sama, menjadi sama darjat. Lapar merupakan salah satu keadaan umum yang dimiliki oleh kaum daif dan orang miskin. Kemiskinan harta telah mengakibatkan mereka tidak mampu membeli sesuatu yang dapat menghilangkan rasa laparnya.
Pada bulan Ramadan yang suci ini, Allah s.w.t berkehendak si kaya ikut merasakan derita lapar sebagaimana yang dialami saudaranya yang miskin. Dengan lapar yang dirasakan si kaya, mereka akan turut merasakan pedih dan perihnya rasa lapar.
Perlahan-lahan si kaya mulai merasakan simpati kepada orang miskin yang sangat akrab dengan rasa lapar, sampai akhirnya tumbuh rasa kasih di dalam hati si kaya. Inilah yang hendak dicapai melalui puasa.
Jika lapar adalah sasaran awal, maka belas kasih adalah sasaran akhir daripada puasa. Dengan belas kasih inilah si kaya terdorong untuk melakukan sesuatu bagi menolong orang yang lemah dan papa.
Pada ketika Mikraj, Nabi s.a.w. bertanya kepada Allah s.w.t., “Wahai Tuhan, apakah yang dihasilkan dari lapar?” Maka Allah pun menjawab, “Lapar akan mewariskan hikmah, mewariskan keterjagaan hati, dan dorongan untuk mendekatkan diri kepada-Ku, serta melazimkan kesedihan dan meringankan pertolongan di antara manusia, juga mewariskan perkataan yang benar, dan ia akan tidak peduli, apakah ia hidup dalam kesenangan atau kesusahan.”
Rasa lapar akan membangunkan hati yang tertidur dan membangkitkan jiwa yang lalai. Rasa lapar dapat menggoncang kesedaran rohani seseorang daripada malas dan berfoya-foya.
Mata batin orang yang lapar akan terbuka luas, hatinya terjaga, pandangan rohaninya menjadi tajam sehingga mudah menangkap rahsia-rahsia kehidupan dan tanda-tanda zaman. Ia menjadi ibrah (pelajaran) dalam kehidupan. Dan pada akhirnya, orang yang lapar sanggup mencerap hikmah-hikmah daripada Tuhannya.
Orang yang lapar akan ringan tubuhnya dan gerakannya. Kerana itu pula ia menjadi ringan melakukan segala kegiatan ibadah ritual dan ringan tangannya untuk melakukan pertolongan dan bantuan kepada orang yang memerlukan bantuan sebagai realisasi daripada ibadah sosialnya.
Lalu bagaimana puasa dapat melahirkan cinta Ilahi? Allah mencintai orang yang sengaja berlapar diri atau berpuasa, kerana salah satu karakter para kekasih Tuhan (wali Allah) adalah berlapar diri. Di dalam hadis, Mikraj menyebutkan beberapa sifat wali Allah, Perut mereka tipis dari makanan halal!” Wali-wali Allah adalah orang yang senang berpuasa dan hati mereka dipenuhi cinta kepada sesama manusia. Rasulullah bersabda, Barang siapa yang tidak mengasihi manusia maka Allah pun tiada mengasihinya!
Di dalam hadis lain diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, Jiwaku berada dalam genggaman-Nya, tidaklah masuk Syurga kecuali orang yang memiliki rasa kasih sayang. Para sahabat menyahut, Kami semua memiliki kasih sayang!” Nabi berkata, “Bukan begitu, kamu tentu dikatakan sebagai orang yang memiliki kasih sayang jika kasih sayang kamu juga dilimpahkan kepada seluruh umat manusia dan alam semesta.”
Kita tidak dapat memperoleh cinta-Nya sebelum kita sanggup mencintai sesama manusia. Ini bererti, puasa mesti menghasilkan kepekaan jiwa, sensitiviti sosial kepada orang yang patut dikasihi, iaitu kaum daif yang sering mengalami kelaparan.
Recent Comments