Dalam kamus kehidupan, kita banyak mendengar pelbagai istilah yang dihubungkan dengan sifat dan keinginan manusia. Manusia atau dalam istilah klasik Yunani dipanggil homo, dihubungkan dengan sifat dan kecenderungan yang ada padanya.
Manusia yang gemar atau bergerak dalam landasan politik akan dipanggil homo politikus. Manusia yang hanya berfikir soal ekonomi dan kesejahteraan kebendaan dipanggil homo economicus. Manusia yang hidupnya bergerak dalam landasan kehidupan beragama, lalu meninggalkan aspek-aspek kehidupan yang lain dipanggil homo religius. Manusia politik adalah manusia yang setiap jam dan kesegarannya berfikir tentang politik. Politik bukan sahaja makanan harian, juga menjadi urat nadi dan aliran darah dalam sistem kehidupannya. Seseorang itu boleh jatuh sakit sekiranya melupakan politik dan disingkirkan dari mekanisme politik.
Pada tahun 1908, iaitu setelah lapan tahun kematian Freidriech Nietzsche sebuah buku autobiografi penuh keangkuhan telah diterbitkan dengan judul Home Ecce. Nietzsche adalah seorang ahli falsafah yang cukup dihormati, padanya muncul pernyataan yang sangat fenomena, kontroversi dan dianggap gila. Akibat kegagalan landasan pemikirannya, Nietzsche mengungkapkan bahawa “Tuhan telah mati”, namun idea ini tidak mati setelah kematiannya (25 Ogos 1900).
Homo Ecce bermaksud “Lihatlah Manusia Itu”, asalnya merupakan sebuah keputusan pengadilan yang dibuat ke atas Jesus, dan Pontius Pilate yang berada dalam kerumunan awam berseru : Lihatlah Manusia itu. Ia merujuk pada saat Jesus sedang dibawa masuk, dikenakan mahkota duri dan dipakaikan pakaian sebelum disalibkan. Ungkapan tersebut berasal dari petikan kitab suci Kristian, dalam bab Yohannies (9), ayat ke-5.
Ia menggambarkan kerendahan hati Jesus, dan peristiwa itu dirasionalkan sebagai titik penting dalam keyakinan umat Kristian kemudiannya, iaitu pengorbanan Jesus untuk membersihkan “dosa silam” atau “dosa warisan”. Konsep “dosa warisan” ini sampai sekarang dipercayai wujud, walhal ia terkeluar daripada ajaran sebenar, setiap manusia dilahirkan dalam keadaan suci, tanpa dibebankan dosa warisan termasuk dosa ibu bapa sendiri.
Setiap orang bertanggungjawab ke atas dirinya, dan akan diadili di atas apa yang dilakukannya sepanjang hayat, bukan menanggung dosa kedua ibu bapanya. Keyakinan itu berubah setelah manusia mula menghubungkan kepemilikan sesuatu berdasarkan nalar kebendaan dan status sosial, walhal perkara-perkara itu boleh berubah dan sentiasa cenderung berubah. Ia banyak bergantung kepada sikap, tindakan dan kecenderungan seseorang setelah merasakan ada peluang terbuka, atau ada ancaman yang muncul.
Cara berfikir telah dikenalpasti sebagai faktor yang cukup besar pengaruh dan kesannya kepada kehidupan manusia. Ia bukan sahaja mempengaruhi corak ekonomi, sosial bahkan corak untuk menjadi ketua dalam sesebuah komuniti, yang kemudiannya berkembang dalam kehidupan yang lebih luas, termasuk sistem menguasai orang ramai.
Zaman klasik kita tidak mengenali konsep parti politik, tetapi tidak bermakna persoalan politik tidak muncul. Politik yang dikaitkan dengan makna sistem atau kaedah mentadbirkan sesebuah wilayah (kawasan atau negara) kemudiannya berkembang menjadi persoalan yang lebih melukakan manusia sendiri, iaitu persoalan kuasa.
Bila kita bercakap mengenai politik, maka tergambarlah situasi, “Aku lebih baik daripada orang itu”. Kesannya, bila hadir kesombongan dan keangkuhan begitu, maka muncullah pelbagai usaha, tindakan dan kempen untuk menjatuhkan seseorang, termasuk orang yang sedang berkuasa. Dari situlah muncul istilah-istilah buruk tentang seseorang, walaupun seseorang itu berjaya mengekalkan kuasanya dalam tempoh yang lama.
Untuk menyalahkan orang yang berkuasa, maka ia dilengkapkan dengan tempelan “zalim”, “tidak kompeten”, “pemimpin yang lemah” dan sebagainya. Sifat-sifat itu diberikan bagi mewajarkan perlawanan, dalam bentuk desakan hinggalah kepada penentangan bersifat “perlawanan” sama ada secara terbuka atau tersembunyi pada awalnya.
Secara tersembunyi, ia dikenali sebagai “grand design” manakala secara terbuka ia boleh jadi dalam bentuk “rampasan kuasa” ataupun demonstrasi, undi rahsia dan sebagainya. Setelah sampai ke kemuncaknya, yang tersembunyi itu menjadi sesuatu yang meledak dan akhirnya menyebabkan kesatuan asas politik berpecah dan musnah. Ia musnah dalam bingkai kesombongan. Kesombongan bermula dengan keinginan yang berbeza walaupun pada asasnya, keinginan-keinginan itu disatukan ke dalam wadah perjuangan politik dalam kesatuan makna dan idealisme.
Berasaskan kepada jalan itulah kita menjadi lebih mudah untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam pertentangan politik dari dalam sesebuah parti. Kita ambil contoh mengenai Bersatu. Bersatu lahir daripada keinginan beberapa orang untuk mencabar kedudukan parti UMNO. UMNO merupakan wadah asal perjuangan sebahagian besar daripada ahli Bersatu yang hadir kemudian. Ia lahir daripada ego dan rasa kecewa. Sebab itulah Bersatu dilihat sebagai kaedah melepaskan dendam ke atas induk asalnya sendiri.
Di awal kemunculannya (2016), ia memperlihatkan “dendam yang meluap-luap” untuk menjatuhkan BN, yang dipandang sebagai sebuah parti yang tidak lagi membawa makna kepada perjuangan politik orang Melayu. UMNO perlu dijatuhkan atau dilemahkan, kerana pusat kuasa itu ada pada UMNO.
Ini bererti, jika UMNO dapat dipersembahkan, maka secara automatiknya BN akan jatuh. Lantaran itu, Bersatu meniru hampir keseluruhan peraturan yang sekalian lama dilembagakan oleh UMNO. Bersatu akan meniru apa sahaja daripada UMNO termasuk penggunaan warna korporat hinggalah kepada mekanisme jentera politik, dengan sedikit penambahbaikan.
Ia sesuatu yang lazim, kerana tujuannya ialah menarik seramai mungkin penyertaan ahli UMNO menyertai Bersatu. Maka di situlah muncul cita-cita untuk “membunuh UMNO” walaupun akhir-akhir ini dikatakan tidak begitu. Bersatu tidak berhasrat “membunuh UMNO”, dilihat sebagai kaedah penafian setelah gagal berbuat demikian: UMNO tidak mati, tetapi UMNO sedang bangkit semula.
Bersatu sedang alami kehancurannya. Ia hancur dari dalam organ parti itu sendiri. Ia sekarang berada dalam keadaan “perawatan” akibat jangkitan kuman yang kronik ke atas paru-parunya, walaupun masih belum memerlukan bantuan “mesin pernafasan”. Ada yang menjangkakan, keadaannya makin serius, dan akan tiba masanya perlu dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), yang bakal berhadapan dengan dua kemungkinan: mati atau pulih dalam serba serbi kesakitan.
Kenapa? Ia dikatakan kerana manusia politik sentiasa melihat kelemahan orang yang berkuasa, dan kelemahan itu dibesar-besarkan sebagai tindakan untuk memaksa orang yang menentukan dasar dan perjalanan parti segera berundur. Malangnya, orang yang berada di atas tidak mahu berundur, sebaliknya menyalahkan orang yang berada di bawahnya “tidak sabar”.
Akibat “tidak sabar” itulah menjadikan orang di bawah melakukan “sabotaj dari dalam”. Walaupun sudah dilakukan beberapa tindakan, “sabotaj dari dalam” terus merebak. Atas sebab itulah mereka yang dikatakan terlibat dalam “sabotaj dari dalam” perlu dikeluarkan, sebagai langkah menyekat sabotaj yang lebih besar. Dari situlah munculnya beberapa orang yang menjadi “orang kuat” yang akan membantu.
Tetapi, dalam kemelut Bersatu “orang kuat yang diharapkan” itu tidaklah ada pengaruh yang besar dan sentuhan ajaib, angsa tidak mampu bertelurkan emas. suatu ketika Muhyiddin memanggilnya sebagai “Wow Factor”; tetapi kini Muhyiddin menjadi “boo factor”. Bila sebuah sahaja nama Muhyiddin, ramai yang dah mula “boo”. Kadangkala ada yang melihat apa yang muncul dalam Bersatu seperti fenomena Black Swan yang dibahas oleh Nassem Nicholas Taleb, ahli perangkawan Lebanon-Amerika Syarikat (The Black Swan, 2007).
Kumpulan yang dikenakan tindakan, mempunyai hubungan luaran yang lebih baik. Mereka telah membentuk “perkongsian strategik” yang boleh menyebabkan saki baki pengaruh kepimpinan Bersatu boleh jadi lebih kerdil. Ya! beberapa jam selepas diberikan notis pemberhentian keahlian, Hamzah Zainudin yang dianggap “ketua sabotaj” hadir di Rusila (12 Februari 2026) minum petang bersama Presiden PAS, Haji Hadi Awang. Ia cukup bukti bahawa PAS sangat menyokong Hamzah, kerana Hamzah dianggap kawan yang dipercayai berbanding Muhyiddin.
PAS merupakan satu-satunya parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak, sedangkan kedudukan kerusi Bersatu semakin berkurangan. Ia berkurangan atas sebab tindakan wakil rakyatnya sendiri. Setelah Bersatu dan PAS membuat keputusan kekal sebagai pembangkang, ia mula menyebabkan enam orang wakil rakyatnya mengambil keputusan berlawanan, menyokong Kerajaan Perpaduan atas alasan “kepentingan pengundi yang mereka wakili”. Ini bermakna, mereka melihat Bersatu tidak mampu “berkhidmat untuk pengundi” kerana tidak mempunyai kuasa. Tentunya, kuasa itu diukur dari perspektif peruntukan, dan hubungan yang lebih baik dengan kerajaan.
Kemudian, Bersatu mengambil keputusan memecat dan menggantung keahlian ke atas dua orang wakil rakyat, yang dikatakan bersubahat untuk menjatuhkan presiden: Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad atau Mat Jargon (Machang). Tidak cukup dengan itu, pada 12 Februari lalu, 17 orang lagi telah dilucutkan keahlian (iaitu 4 Ahli Parlimen, termasuk Wan Ahmad Faysal yang digantung keahlian sebelumnya, 2 ADUN dan selebihnya pemimpin di peringkat bahagian) Dikatakan bahawa pada 14 Februari lalu, satu perhimpunan dan taklimat Reset Politik diadakan, ia dihadiri oleh beberapa orang lagi yang belum dipecat, termasuklah Ketua Srikandi Bersatu, Mas Ermieyati.
Tanpa mengendahkan tegahan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Bersatu Azmi. Ali, Mas Ermieyati hadir dan berucap dalam perhimpunan itu. Bahkan, Mas Ermieyati tidak gentar jika Lembaga Disiplin mengambil keputusan memecatnya. Beliau bersedia menerima keputusan tersebut jika itulah yang dilihat dapat menyelamatkan Muhyiddin. Berapa lagi yang akan tinggal untuk menyokong Muhyiddin?
Jika Mas Ermieyati dan Ronald Kiandee dikenakan tindakan, bererti hanya tinggal tiga orang Main Presiden (Radzi Jidin, Faizal Azumu dan Ketua Armada, Muhammad Hilman Adham, ADUN Gombak Setia). Faizal Azumu sudah dilihat semakin kurang aura politiknya sejak tewas kepada Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun dan gagal membawa kejayaan ketika mengetuai PN Negeri Sembilan (PRU 15).
Azmin Ali juga dilihat semakin tidak bersengat setelah berjaya dikalahkan oleh anak muridnya di Parlimen Gombak dan gagal melakukan lonjakan untuk menguasai Selangor dalam PRN 2023. Hubungan baik antara Azmin Ali dan Muhyiddin dikatakan menjadi salah satu faktor penolakan terhadap Muhyiddin, kerana Azmin dilihat cukup oportunis untuk memposisikan kedudukannya dalam parti. Beliau juga pernah berhasrat untuk menyaingi Hamzah Zainudin.
Mungkin. Muhyiddin ‘rasa terhutang budi” kerana Azmin menggerakkan inisiatif menjatuhkan kerajaan PH (Langkah Sheraton) untuk menggagalkan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim dan menjatuhkan Dr Mahathir. Pada ketika itu, kedudukan Muhyiddin dalam situasi “kembiri politik”; seperti Hadi dengan Nik Aziz, Mursyidul Am PAS lebih “berkuasa dari Presiden. Sebagai Presiden, Muhyiddin terpaksa tunduk dan akur kepada Pengerusi Bersatu.
Masyarakat umum melihat Muhyiddin bukan sahaja berada dalam situasi terdesak, bahkan sedang alami sesak nafas. Akibat sesak nafas yang kronik itulah maka digunakan Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan, kerana itulah mungkin jalan terakhir untuk beliau kekal pertahankan kedudukannya sebagai Presiden Bersatu.
Kekosongan jawatan penting dalam parti, akan diberikan tanggungjawab kepada dua orang Naib Presiden, iaitu Radzi Jidin (Putrajaya) dan Faizal Azumu (bekas Timbalan Presiden). Manakala seorang lagi Naib Presiden yang masih belum dikenakan tindakan disiplin, Ronald Kiandee dilihat menyokong Hamzah Zainudin, dan beliau sudah pun membuat kenyataan bahawa Muhyiddin perlu meletakkan jawatan.
Akhirnya, kemelut politik yang melanda Bersatu dapat kita fahami “Lihatlah Manusia Itu” walaupun dalam konteks yang berbeza dengan apa yang diserikan oleh Pontius Pilate ribuan tahun silam dan diungkapkan kembali oleh Frederich Nietzsche sebagai karya terakhirnya. Dalam situasi yang berhadapan dengan kecelaruan mental sehingga membawa kepada kematiannya, Nietzsche kekal dengan kesombongan intelek, menyifatkan dirinya seorang yang mempunyai daya fikir tinggi dan tajam.
Kita pun mungkin beranggapan bahawa Muhyiddin terpaksa lakukan tindakan memecat mana-mana pemimpin yang tidak sehaluan dengan idealisme politiknya sebagai gerakan pembersihan, yang mungkin untuk memantapkan kedudukan parti bagi berhadapan dengan PRN Johor. Namun, kesombongan Muhyiddin itu bukan menjamin Bersatu akan terus mengancam saingan parti politik, tetapi bakal membawa kepada “permulaan kehancuran” yang lebih fatal.
Orang ramai semakin tidak percayakan kepada Bersatu. Sebabnya, pergolakan yang berlaku dalam parti walaupun sudah dikesan bertahun lamanya, ia juga mencerminkan kegagalan Muhyiddin sendiri. Muhyiddin yang mahukan jawatan PM sekali lagi telah gagal, dan ini membawa kesan, kalau mentadbir parti pun sudah gagal, ia akan menjadi lebih gagal lagi bila memegang jawatan PM. Kegagalan sebagai PM 7 masih belum terhapus, maka kemungkinan mencetak kegagalan lebih besar adalah cukup berpotensi.
Semasa beliau sebagai PM 7, dicubanya untuk mengembirikan suara dan kedudukan wakil rakyat dengan menutupi sidang Dewan Negara. Darurat digunakan sebagai “oksigen politik” dan darurat jugalah menjadi peluru yang tidak dapat ditangkis. Muhyiddin terpaksa akur dan meletakkan jawatan, tetapi, Muhyiddin terus mahu mengawal Bersatu walaupun kepercayaan ahli sudah hilang. Itulah manusia politik walaupun boleh nasihatkan orang lain agar berundur, Muhyiddin akan terus mahu pertahankan kedudukan, enggan berundur.
Muhyiddin seolah-olah tidak percaya kepada orang lain, kerana orang lain itu “menumpang” pengaruhnya. Walhal, tanpa orang lain, Muhyiddin sebenarnya tidak ada apa-apa lagi sebagaimana Dr Mahathir sekarang. Oleh kerana masih merasakan cukup berpengaruh, maka lebih 100 bahagian sudah menunjukkan suara secara terbuka “Lihatlah Manusia Itu”, belum juga mahu turun walaupun sudah diminta untuk turun. Apa lagi yang akan tinggal bersamanya, dan “Lihatlah Manusia Itu” sedang berpencak silat untuk menunjukkan dirinya “gagah” walhal lutut dan langkahnya lemah, paruh pun tidak lagi mampu menggantikan sayap yang sudah patah.
KAMARUN KH
Recent Comments