Bersatu atau Parti Pribumi BERSATU Malaysia ditubuhkan atas “dendam” untuk menjatuhkan kuasa yang dimiliki oleh UMNO/BN. Bersatu lahir dalam semangat membalas dendam kerana Muhyiddin telah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan pada bulan Julai 2015.
Walaupun digugurkan dalam barisan kabinet, Muhyiddin tidak dipecat keahliannya dalam UMNO dan kekal sebagai Timbalan Presiden sehinggalah beliau benar-benar bertindak meninggalkan parti. Oleh kerana tiada kedudukan dalam kabinet, Muhyiddin yang suatu ketika cukup mesra dengan Dr Mahathir, mengambil inisiatif bersama bekas PM4 itu untuk mencabar UMNO/BN.
Kedua-dua bekas pemimpin UMNO, yang bukan sahaja membina reputasi politik dan kuasa bersama UMNO melihat kekuatan UMNO sudah berada di hujung tanduk. Pada PRU ke-12 (2008) UMNO/BN tersungkur di Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang, juga gagal merampas Kelantan, biarpun kekal menapak di Terengganu. Situasi itu mendorong kedua-dua bekas pemimpin UMNO untuk bersatu tenaga dan kekuatan, maka tertubuhlah Bersatu pada tahun 2016.
Ketika itu, Pakatan Rakyat yang berjaya mencabar penguasaan UMNO sejak 2008, sudah makin tidak berupaya meneruskan momentum apabila PAS mengambil keputusan memutuskan tahaluf siyasi. PAS diajak untuk kembali bergabung, tetapi parti itu enggan kerana melihat DAP semakin naik tocang, berlagak seperti “abang long”. Bagi PAS, parti itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP. Sampai kini sikap PAS cukup jelas terhadap DAP.
PRU 13, UMNO/BN tergelincir lagi walaupun kekal berkuasa dengan jumlah 133 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Ini bererti, buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara dan politik UMNO, Presiden UMNO dilihat gagal mencipta momentum besar dalam pilihan raya umum pertama di bawah kepimpinannya. Tahun 1982, Dr Mahathir mencapai kejayaan besar. Tahun 1978, Tun Razak mencipta prestasi gemilang dengan penubuhan BN (1974). Tahun 2004, Abdullah Badawi mencetuskan fenomena politik yang cukup membanggakan apabila berjaya menguasai kerusi Dewan Rakyat yang lebih besar daripada pendahulunya, Dr Mahathir.
Najib yang memimpin UMNO sebaik sahaja Abdullah Badawi meletakkan jawatan (2009), tidak cukup berprestasi sehingga kerusi yang dikuasai oleh BN semakin menurun. PRU 2008, BN menguasai 140 kerusi namun ketika Najib menerajuinya, BN hanya jampi menguasai 133 kerusi Dewan Rakyat. Ini menunjukkan Najib gagal mencipta momentum politik yang besar buat UMNO/BN walaupun beliau dilihat cukup berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada bulan Februari 2009.
Krisis Muhyiddin-Najib bermula apabila munculnya dakwaan salah pengurusan 1MDB. Laporan Audit menunjukkan ada masalah besar dalam urusniaga 1MDB, dan ia telah membuka pelbagai kritikan tajam kepada Najib, Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan. Seperti kata Mohamad Sabu; Najib (Menteri Kewangan) buat permohonan kepada Perdana Menteri, maka Najib (Perdana Menteri) luluskan. Walau apa pun alasannya, memakai baju yang berbeza, orangnya tetap sama. Sejak itulah isu 1MDB terus menghantui politik UMNO dan menjadi tunjang kepada kempen menyerang Najib. Kempen itu akhirnya berjaya melakarkan kejayaan dengan Dr Mahathir sebagai penggerak mesin propaganda menyingkirkan UMNO/BN dengan moto, menjatuhkan Najib dan BN. Mereka berjaya, tetapi kejayaan itu tidak lama. Kekal untuk tempoh 22 bulan; muncullah gema politik yang berasaskan kerjasama parti-parti politik untuk membentuk kerajaan. Demokrasi di Malaysia memasuki fasa baharu, fasa perundingan di luar keputusan pilihan raya. Akhirnya terbentuklah Perikatan Nasional, dentuman rasa marah dan agitasi Langkah Sheraton. Bersatu menjadi parti yang kesemuanya dianggotai oleh katak politik, kata Ibrahim Ali, daripada peringkat atas hinggalah peringkat bawah “semuanya katak”.
Mohamad Sabu, ketika masih dalam PAS pernah menggambarkan senario politik Malaysia dengan penuh sinis. Katanya, ketika makanan cukup banyak, tidak berlaku perebutan, tetapi apabila makanan semakin berkurang, maka serigala-serigala akan “berperang sesama sendiri merebut makanan”. Maksudnya, bila sesebuah parti itu berkuasa, tidak timbul soal pemecatan atau penyingkiran, sebab semua oportunis mendapat bahagian masing-masing. Tetapi, apabila kuasa tidak ada, maka muncullah suasana menentang dan menggelorakan parti, dengan alasan masing-masing.
Mungkin inilah yang sedang berlaku dalam PN dan lebih parah lagi dalam Bersatu. Suatu pihak, yang menduduki tempat teratas dalam kuantiti kerusi, merasa terdesak untuk menerajui gabungan atas alasan tersebut. PAS sudah menunjukkan pelbagai tanda bahawa parti itulah yang sepatutnya menerajui PN, bukan lagi Bersatu. PAS menguasai empat buah negeri, yang kemudian digelar SG4, dan melantik Dr Mahathir sebagai Penasihat. Lantikan itu dibuat tanpa persetujuan PN, kerana bagi PAS, ia adalah prerogatif partinya, tidak tertakluk kepada Majlis PN.
Bersatu pula melihat ia sebagai satu bentuk cabaran politik yang besar. Sebabnya, Muhyiddin telah singkirkan Mahathir sebaik sahaja beliau dilantik sebagai PM. Sebelumnya, pengaruh Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu cukup kerdil kerana Mahathir mencengkamnya. Ini dapat dilihat ketika Muhyiddin hanya sebagai Menteri Dalam Negeri, Mahathir adalah Perdana Menteri. Muhyiddin melihat keadaan itu lebih menguntungkan DAP, maka itulah akhirnya mungkin faktor mencetuskan gelombang Langkah Sheraton. Manakala sebahagian kelompok Azmin Ali merasakan inilah masa yang sesuai untuk memberontak.
Alasan Azmin ialah menolak desakan “peralihan pucuk pimpinan” dan kedudukan Dr Mahathir sebagai PM 7 wajar dikekalkan sehingga tamat tempoh sepenggal. Anwar yang sudah diberikan pengampunan dan sudah kembali ke Dewan Rakyat wajar mendapat jawatan PM sebagaimana dijanjikan ketika pembentukan Pakatan Harapan. Azmin yang merasakan kedudukannya akan terancam jika Anwar gantikan Dr Mahathir. Ini kerana Azmin dua kali telah disekat untuk tidak mencabar jawatan Presiden PKR, sebaliknya dicadangkan untuk jawatan Timbalan Presiden walaupun berlaku kekosongan apabila Anwar dipenjarakan. Ini kerana hanya jawatan Timbalan Presiden yang kosong ekoran pelantikan Syed Hussein Ali sebagai Ahli Dewan Negara.
Ketika itu PKR dilihat sebagai parti yang cukup berusaha untuk mengekalkan kuasa keluarga. Ramai yang terkorban dalam asakan tersebut, dan ramai pula yang keluar daripada parti. Tetapi, pendokong tegar reformasi terus melihat bahawa Anwar adalah orang yang paling layak diangkat sebagai PM dan beliau perlu dimuktamadkan dengan segera. Alasannya, Dr Mahathir adalah PM Sementara, ada yang kata untuk tempoh enam bulan, atau sehingga Anwar diberikan pengampunan dan kembali ke Dewan Rakyat. Selepas itu, Mahathir memberikan alasan, masih banyak lagi agenda yang belum selesai, maka beliau memerlukan masa yang panjang. Setelah melebihi tempoh setahun, peralihan kuasa tidak menjadi kenyataan, maka desakan-desakan menjadi semakin lantang dan kuat. Otai Reformasi memberikan tempoh terakhir, yakni genap dua tahun Dr Mahathir sebagai PM 7, dan jika tidak, akan berlaku proses penggulingan.
Kemelut itu menjadi kebimbangan besar penyokong Azmin Ali. Sebabnya, kelompok tersebut merupakan pilihan Dr Mahathir dan ketika dilantik ke jawatan kabinet, mereka bukanlah calon pilihan PKR. Dilema itulah yang membawa kepada arah yang bertentangan dengan Otai Reformasi. Akhirnya, Otai Reformasi terpaksa menerima kenyataan perih, penobatan Anwar sebagai pengganti terpaksa diterima dalam semangat dan harapan yang kecewa.
Sejak itu berlaku dua peralihan kuasa secara kerjasama longgar, yang membentuk budaya politik saling menjatuhkan dalam berkerajaan. Muhyiddin menjadi calon pertama pembentuk kerajaan sedemikian, kemudian Muhyiddin pula dijatuhkan setelah UMNO menarik sokongan atas pelbagai faktor dan alasan. Ogos 2021, Ismail Sabri mengambil teraju kuasa, tetapi Ismail didesak untuk melaksanakan pilihan raya lebih awal dari tempoh sebenar. Ismail adalah Naib Presiden UMNO manakala Presiden UMNO “merasai kerdil kuasa”, maka berlakulah desakan dan agitasi politik. Ismail terpaksa akur, dan pada PRU ke-15, harapan UMNO/BN semakin berkecai. Buat pertama kalinya UMNO terpaksa “akur” untuk membentuk kerajaan di bawah kuasa gabungan yang lain, iaitu PH, yang di dalamnya ada musuh tradisi, iaitu DAP.
Kerjasama itu adalah sebuah “penghinaan” bagi segelintir aktivis politik, kerana itulah adalah yang menggelarkannya sebagai UMDAP. Walaupun cuba dijelaskan, kerjasama langsung dengan DAP tidak berlaku. Apa yang berlaku ialah kerjasama membentuk kerajaan yang stabil bersama PH dan mana-mana parti yang bersedia melakukannya, kecuali PN yang telah menolaknya, di awal-awal penubuhannya. Imej sedemikian kekal menjadi “line of propaganda” oleh PN dan suku-sakatnya. Dan, kerana kerjasama itulah juga munculnya satu lagi rangkaian mesej propaganda bahawa “kedudukan Melayu-Islam terancam”.
Bingkai propaganda itu walaupun berjaya membangkitkan sedikit sebanyak “rasa takut” orang Melayu, ia tidak berjaya untuk menggambarkan ancaman yang nyata. Apa yang berlaku ialah PN yang semakin letih berjuang atas “Line of propaganda” tersebut mula menunjukkan tiada lagi kesepakatan yang jelas. Ia sudah mula menunjukkan apa yang dikatakan itu tidak benar, apabila Muhyiddin merintis jalan penyatuan parti-parti politik yang lebih besar, seolah-olah untuk mengimbangi hasrat Dr Mahathir melancarkan payung politik Melayu yang lebih besar. PAS ada di dalam gerakan itu, tetapi PAS tidak ada dalam gerakan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang dicadangkan oleh Muhyiddin. Ini mengingatkan kita kepada apa yang PAS cuba lakukan untuk mengkhianati Muafakat Nasional. PAS cuba mendesak UMNO/BN terima Bersatu, dan kerana UMNO/BN tidak boleh menerimanya, PAS membuat pusingan untuk kekal bersama PN. UMNO/BN tidak boleh terima PN kerana apa yang mereka mahukan ialah tidak akan memansuhkan BN. PN berhasrat untuk “membunuh UMNO” dan dalam masa yang sama hancurkan BN. Semuanya tidak berjaya, sebaliknya, PN menjadi acuan perpecahan yang cukup ketara setelah berlakunya krisis politik Perlis sebalik akhir tahun lalu.
Ketika ini, PAS sudah dikenali pasti bekerjasama dengan mana-mana pemimpin Bersatu yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Muhyiddin. Ekoran kekalahan besar Bersatu dalam PRN, telah muncul andaian bahawa Bersatu tidak akan muncul sebagai parti yang kuat selagi dipimpin oleh Muhyiddin, maka kerana itu Muhyiddin wajib melepaskan jawatannya. Muhyiddin sudah dianggap sebagai liabiliti besar buat Bersatu. Ia sudah menampakkan gelombang penentangan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) tahun lalu. Tetapi, ia dapat dibendung sementara apabila Hamzah Zainudin menyatakan “kekal sokong Muhyidin”.
Muhyiddin tidak berdiam diri, maka disusunlah langkah untuk membersihkan parti daripada anarkisme politiknya. Muhyiddin sampai ke kemuncaknya apabila memecat Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan menggantung keahlian Wan Ahmad Faysal (Machang). Muhyiddin seolah-olah melaksanakan apa yang pernah berlaku ke atas dirinya, dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan oleh Najib pada tahun 2015, yakni hampir sepuluh tahun setelah beliau menerajui parti Bersatu.
Beberapa hari lalu, Lembaga Disiplin telah membuat keputusan yang cukup besar, yakni menggantung keahlian Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin bersama 16 orang lagi pemimpinnya. Ia termasuk wakil rakyat (MP dan ADUN), ketua bahagian dan lain-lain. Ekoran keputusan tersebut, seolah-olah berlaku pula situasi yang akan menggoncangkan Bersatu. Beberapa pemimpin yang dilantik di peringkat negeri meletakkan jawatan. Sebelumnya, Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee sudah mendesak agar Muhyiddin meletakkan jawatan. Setakat ini, kedudukan Ronald Kiandee belum diputuskan, sama ada dipecat atau digantung sementara keahlian.
Senario ini tidak menyebabkan Hamzah putus asa, bahkan pada hari pemecatannya, beliau berada di Rusila minum kopi bersama Presiden PAS. Cukup menyakitkan Muhyiddin, dan mahu tidak mahu beliau terpaksa menelan rasa pahit yang amat sangat kerana reset politik seterusnya akan menyebabkan Bersatu bergoncang, mungkin akan hilang tiang yang menampung rumah tersebut. Ada karikatur yang menggambarkan Muhyiddin sedang selamatkan diri dalam sebuah jamban di pinggir sungai. Muhyiddin kemudiannya rebah bersama jamban itu, dan terhumban ke dalam sungai.
Khabarnya, akibat pemecatan, penggantian keahlian dan ketidakakuran Muhyiddin terhadap masalah dalam parti yang disebabkan oleh sikapnya sendiri, akan mungkin lahirnya sebuah parti baharu, yang merupakan serpihan Bersatu. Atau ada yang mengandaikan, sebahagian mereka yang dipecat akan menyertai PAS dan ada juga yang meramalkan sebahagiannya akan kembali ke pangkuan UMNO. Inilah reset yang mungkin Muhyiddin terpaksa hadapi sebagai tsunami politik yang dicetuskan oleh gelombang yang muncul daripadanya sikap dan pendirian politiknya sendiri. Tidak sedia berundur walaupun sudah banyak petunjuk yang mengarahkan keputusan berundur.
Muhyiddin mahu pertahankan kedudukan, kerana baginya, dia tidak wajar tunduk. Bila tunduk, ia adalah jalan kelemahan yang jelas, banyak lopak yang akan terbuka dan jalan itu sebenarnya sudah tidak dapat ditampal lagi. Dan, Lembaga Disiplin adalah senjata terakhir yang beliau ada, maka senjata itulah yang digunakan untuk menyekat mana-mana ahli yang tidak sehaluan dengannya. Akan ada lebih ramai lagi yang akan dikenakan, bahkan Mas Ermieyati sudah pun bersedia untuk dikenakan sebarang tindakan kerana menyokong Hamzah sebagai langkah untuk menekan Muhyiddin berundur.
Mas Ermieyati awalnya diminta supaya tidak hadir dalam taklimat dan reset politik yang dianjurkan kerana bertentangan dengan keputusan parti. Perhimpunan itu diadakan pada Sabtu, 14 Februari 2026 (Hari Kekasih) dan turut berucap. Maknanya, Ketua Srikandi Bersatu dilihat pro Hamzah berbanding Muhyiddin. Itulah sebuah petunjuk, petunjuk arahan Azmin Ali tidak wajar diendahkan, ugutan tindakan tegas. Ia juga membawa mesej, Bersatu akan tenggelam dalam kawah politik Malaysia selagi Muhyiddin tidak bersedia berundur atau bersara. Beliau akan dibersarakan bersama parti yang ditubuhkannya sendiri. Labu yang Azmin cagaran sudah dibuat pengat oleh ahli Bersatu; sebab Azmin bukanlah seorang pemimpin yang berpengaruh, bahkan dilihat cukup berlukah.
Bukan sahaja Muhyiddin “sesak nafas” bahkan Azmin Ali juga akan berhadapan dengan keadaan yang sama. Sebab itulah Azmin minta agar ahli Bersatu tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan oleh mereka yang telah dipecat, tetapi, lebih ramai ahli Bersatu sudah lama tidak endahkan Azmin Ali. Nampaknya, krisis dalam Bersatu akan benar-benar membawa reset politik yang besar, termasuklah bersepainya Bersatu dan musnahlah Perikatan Nasional.
Muhyiddin sebenarnya sedang rasakan apa yang pernah Najib rasakan; karma yang kembali kepada dirinya setelah cukup berghairah untuk menentang Najib pada tahun 2015 walaupun faktor yang mencetuskannya adalah berbeza. Itulah apa yang dikatakan bahawa bila ghairah mendedahkan keburukan seseorang, maka keburukan diri sendiri akan muncul kemudiannya.
KAMARUN KH
Recent Comments