Pelan Transformasi Al-Falah (PTF) 2023–2027 ialah dokumen induk strategik yang memacu transformasi 14 agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memperkasa pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia. Berlandaskan prinsip Malaysia MADANI serta berpaksikan Al-Quran dan Sunnah, pelan ini dirangka dengan aspirasi memperkukuh institusi agama agar lebih berwibawa, cekap dan diyakini rakyat.
PTF memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta, dan Kehormatan Institusi Islam. Secara prinsipnya, lima teras ini mencerminkan usaha menyeluruh — bukan sekadar penambahbaikan pentadbiran, tetapi reformasi sistemik yang menyentuh aspek tadbir urus, pembangunan insan, integriti serta imej institusi agama di mata masyarakat.
Namun persoalan besar hari ini ialah: sejauh mana pelan ini benar-benar dilaksanakan dan dipantau pencapaiannya? Persoalannya sekarang apakah pelan Transformasi Al-Falah 2023-2027 yang mampam dan strategik ini akan disambung semula oleh Menteri Agama baru Dr Zulkifli Hasan atau nak digantikan dengan pelan dan strategik baru yang mungkin lebih mampam. Apakah indikator kejayaan yang boleh diukur oleh rakyat?
Dalam konteks politik Malaysia, setiap pertukaran kepimpinan sering membawa perubahan naratif dan keutamaan. Kini timbul tanda tanya sama ada Pelan Transformasi Al-Falah 2023–2027 yang dirangka dengan begitu strategik akan diteruskan secara konsisten oleh Menteri Agama yang baharu, atau akan diganti dengan pelan lain atas nama penambahbaikan. Budaya politik kita kadangkala menyaksikan sesuatu dasar dihentikan bukan kerana gagal, tetapi kerana ia dikaitkan dengan legasi kepimpinan terdahulu.
Hakikatnya, pelan strategik berkaitan institusi agama seharusnya mengatasi kepentingan politik jangka pendek. Hal ehwal Islam bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi menyentuh kepercayaan umat, kestabilan sosial dan keharmonian negara. Ketidakstabilan dasar boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan agensi, pegawai pelaksana dan masyarakat awam.
Itulah gaya dan budaya politik Malaysia. Walaupun sesuatu yang bagus, ia tetap akan dihentikan kerana takut tenggelam dalam legasi orang lain. Sebab itulah juga dalam agama ada banyak aliran pemikiran dan Tarekat, sebabnya masing-masing dengan kaedahnya sendiri. Satu aspek ia tidak menampakkan kesatuan. Ada ketikanya, antara aliran pemikiran saling kafir mengkafir, wujud firqah yang mengundang tragedi.
Dalam masa yang sama, aspek kesatuan juga wajar diberi perhatian. Institusi agama sepatutnya menjadi wahana penyatuan ummah, bukan medan persaingan aliran pemikiran. Sejarah menunjukkan bahawa perbezaan pandangan fiqh dan manhaj adalah suatu realiti dalam tradisi Islam. Namun apabila perbezaan itu tidak diurus dengan hikmah, ia boleh membawa kepada sikap saling menyesatkan, bahkan mengkafirkan, yang akhirnya merugikan umat sendiri.
Transformasi sebenar bukan hanya pada struktur organisasi atau penjenamaan semula, tetapi pada pembudayaan nilai rahmah, profesionalisme dan kesederhanaan dalam pengurusan agama. Jika PTF benar-benar mahu berjaya, ia memerlukan beberapa perkara penting: kesinambungan dasar merentas kepimpinan, mekanisme pemantauan yang telus, laporan pencapaian berkala kepada rakyat, serta penglibatan lebih luas ilmuwan dan masyarakat sivil dalam proses semakan dan penambahbaikan.
Akhirnya, persoalannya bukan sekadar sama ada pelan ini akan disambung atau diganti. Yang lebih penting ialah komitmen untuk memastikan institusi agama terus kukuh, dihormati dan bebas daripada kitaran politik kepentingan. Transformasi tidak boleh bersifat bermusim. Ia mesti berakar pada prinsip dan diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten.
Jika tidak, kita akan terus menghasilkan pelan demi pelan — tetapi umat tetap menunggu hasil yang nyata. Ditambah kemelut masalah sosial yang begitu tenat termasuk politik negara sepatutnya Menteri Agama perlu meletakkan keutamaan memikir strategi yang lebih mampan dan kalau tidak mampu maka teruskan saja formula Al-Falah yang telah dicanang oleh Mantan Menteri Agama Dato Setia Dr. Na’im Mokhtar
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments