Berdasarkan perbincangan dan pencerahan yang telah berlangsung, wacana ini merumuskan resolusi-resolusi berikut sebagai komitmen bersama dalam memperkukuh sistem kenegaraan Malaysia berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan kedaulatan negara.

Resolusi 1 : Memperkukuh Kefahaman Perlembagaan dalam Kalangan Rakyat
Wacana ini menegaskan kepentingan memperluas pendidikan dan literasi Perlembagaan Persekutuan kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman mengenai prinsip kedaulatan undang-undang, sistem Raja Berperlembagaan, serta tanggungjawab warganegara dalam memelihara kestabilan negara.

Resolusi 2 : Memartabatkan Institusi Raja dan Agama Islam sebagai Tonggak Kestabilan Negara
Wacana ini juga menyokong usaha berterusan untuk memperkukuh kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung negara pemegang panji Agama Islam, simbol perpaduan rakyat dan elemen semak dan imbang dalam sistem demokrasi berperlembagaan.

Resolusi 3: Menegakkan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
Wacana ini menegaskan bahawa semua pihak hendaklah menghormati dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, serta menolak sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan kestabilan sistem kenegaraan.

Resolusi 4: Menggalakkan Tadbir Urus Berintegriti dan Berperlembagaan
Wacana ini menyeru semua pemimpin politik, penjawat awam dan institusi untuk melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti, beretika dan selaras dengan semangat serta kerangka Perlembagaan demi memastikan kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap sistem negara.

Resolusi 5: Memperkasakan Peranan Badan Masyarakat dan Institusi Pendidikan
Wacana ini menggalakkan kerjasama berterusan antara organisasi masyarakat, institusi pendidikan dan badan berkepentingan untuk menganjurkan program wacana, dialog dan bagi pendidikan awam berkaitan Perlembagaan, Institusi Raja dan sistem kenegaraan Malaysia.

Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Timbalan Presiden PUTRA
Pengerusi Program Wacana
14 Februari 2026

Sumber: bebasnews.my

Translate »