Menapaki hari ini, Ahad 8 Februari 2026 dengan mengatur langkah membaca sebuah buku lama, terbitan 30 tahun lalu (1996), Insan Yang Suci: Konsep Fitrah Dalam Islam. Walaupun sudah tiga abad berada dalam pasaran, ia tetap memberikan saya pemahaman yang baik dalam konseptual “manusia suci” yang banyak diperkatakan oleh manusia politik apabila membidas pandangan yang berbeza dengan sikap dan pendirian arus politik yang diyakini sebagai terbaik dan sempurna.
Buku ini adalah terjemahan dari edisi bahasa Inggeris, Fitrah: The Islamic Concept of Human Nature (London, 1996). Edisi terjemahan bahasa Indonesia diterbitkan oleh Penerbit Muzan, Bandung, Indonesia 1997 hasil terjemahan Masyhur Abadi.
Buku ini asalnya dikembangkan daripada salah satu bab tesis sarjana yang diselesaikan oleh Yasien Mohamed pada tahun 1986 di Universiti Western Cape Town, Afrika Selatan. Ketika tesis ini ditulis, Yasien mendapat bimbingan langsung Dr Jannie Hofmeyer dan Profesor Ismail Faruqi (1921-1986). Tajuk tesis itu ialah Islamic Conception of Human Nature with Special Reference to the Development of Islamic Psychology.
Sebenarnya, saya membaca buku ini kerana saya tidak menemui perihal atau konsep “manusia suci” dalam bacaan sebelumnya, termasuklah sebuah buku tulisan Dr G Hussein Rassool daripada Pakistan, Islamic Psychology: Human Behaviour Experience From Islamic Perspective (London, 2021), juga dalam buku-buku politik kontemporari. Semuanya bercakap mengenai sebuah tatadunia yang sedang dibangunkan dalam bingkai kuasa: membuli, menekan, konflik dan genosid. Akar kepada permasalahan ini, Syed Ahmad Fathi (Dari Orientalisma ke Genosida, 2025) melihatnya dalam kerangka orientalisme manakala Syed Mohd Naquib al-Attas dengan kebobrokan sekularisme (Islam dan Sekularisme, edisi bahasa Melayu, cetakan kedua, 2021)..
Saya juga cuba untuk membandingkan pandangan seorang penulis Yahudi yang cukup dianggap berpengaruh masa kini, tetapi sayangnya amalan hidupnya dalam budaya LGBT, Yuval Noah Harari dan empat buah buku monumentalnya, Sapiens: A Brief History of Humankind (edisi Bahasa Inggeris, 2014); Homo Deus: A Brief History of Tomorrow (2015); Nexus: A Brief History of Information Networks from the Stone Age to AI (2024); dan 21 Lesson for the 21’st Century (2018) yang cuba merumuskan apa yang dibincangkan dalam dua buah buku awalnya, Sapiens dan Homo Deus. Masih belum tertanam jelmaan “manusia suci” walaupun Yuval Noah Harari cukup cemas tentang masa depan manusia ekoran perubahan teknologi, arus sejarah dan kegalauan pelbagai kehendak dan perjuangan politik.
Menariknya tema buku ini, Insan Yang Suci ialah perbincangan yang meluas mengenai konsep fitrah dalam pelbagai perspektif, dari makna istilah hinggalah kepada hakikat kehidupan manusia menurut pandangan intelektual Islam, dan dibandingkan dengan pandangan teori psikologi barat. Ia meliputi pandangan intelektual Islam dalam konteks fitrah manusia; teori psikologi barat dan bagaimana seharusnya sebagai intelektual Muslim harus membina kerangka antologi, epistemologi Islam sendiri, tanpa tersesat dengan kerangka ilmiah barat yang bertolak hanya pada peringkat kognitif, tanpa menyelami hakikat kejiwaan insan. Ruang dan relung hati yang sering ditinggalkan sedangkan Islam sangat memberikan masukan agar sentiasa membersihkan hati. Hati yang bersih menghasilkan jiwa yang tenang.
Jiwa yang tenang menghasilkan tingkah laku yang berakhlak, menepati konsep “insan suci” dan fitrah azali yang ditentukan lebih awal sebelum kelahiran, kerana bayi yang lahir tidak dibebani dengan apa pun “dosa warisan” sebagaimana menjadi doktrin dalam agama Kristian. Bagi Islam, selagi seorang kanak-kanak belum akhil baligh, ia tidak menanggung dosa, tetapi ibu bapalah yang akan menanggungnya kerana gagal membentuk jiwa anak-anak dengan apa yang sepatutnya disosialisasikan. Ini kerana, dalam proses pertumbuhan itulah kanak-kanak itu dicorakkan oleh ibu bapa dan kemudian berkembang dalam lingkungan sosial dan setelah itu, dikerangkakan pula oleh persekitaran, pengetahuan, imajinasi dan idealisme, setelah mereka mula berada dalam komuniti yang lebih luas dan terbuka.
Kita sering mendengar teguran, sindiran, ajakan mahupun pandangan, jika seseorang itu berbuat salah, pulanglah ke pangkal jalan. Ertinya, dalam makna yang lain ialah kembali kepada fitrah kehidupan? Tetapi, apakah itu fitrah? Apakah fitrah itu suatu bentuk ketetapan atau proses atau tembok yang menyakat kita daripada kebebasan? Inilah persoalan yang ingin dijawab oleh penulis, seorang pensyarah bahasa Arab dan Pengajian Islam daripada University Cape Town dalam buku ini.
Dalam meletakkan tema fitrah, beliau mengambil perbincangan tiga kelompok intelektual Islam dalam period klasik dalam kitab-kitab mereka mengenai fitrah manusia dan kehidupan. Kelompok pertama, kelompok yang melihat fitrah itu sesuatu sudah ditetapkan sebelum seorang manusia itu lahir, dan setelah lahir, lingkungan sosial atau persekitaran akan mempengaruhi sikap dan peribadi seseorang.
Kelompok ini diwakili oleh sebahagian ahli sufi (tasawuf) dan juga ulama klasik yang mengambil pengertian atau makna al-Quran secara Harfiah (textual). Kelompok ini bermula pada abad kesembilan, yakni semasa munculnya mazhab Qadariyah, yang memberikan respon terhadap Jabariyyah. Kedua-duanya menganut faham kebebasan (libertarians. Qadariyah seolah-olah mempertahankan pandangan-pandangan fatalisme dari Jabariyyah.
Bermula dari sini, muncul pula kelompok neutral yang dilakukan oleh ibnu Qayyim (m.571H/1350M), untuk mencari satu titik pertemuan antara kebebasan dan determinisme. Setelah itu, muncul pula kelompok positivisme, yang mewakili pendapat kolektif tentang fitrah. Antara tokoh dalam kelompok positivisme ini ialah Ibnu Taimiyyah (m.1328M) dan diikutinya oleh muridnya, Ibnu Qayyim
Pandangan ulama klasik dalam kelompok fatalisme dapat dikesan daripada Ibnu Mubarak (m.181H), Abdul Qadir Jailani (m.561H). Asasnya, menurut kelompok ini, makna fitrah dilihat sebagai sebahagian daripada doktrin takdir, sebagaimana difahami oleh Jahm bin Safwan, iaitu:
“hal-hal yang terjadi di dunia tidak ada bezanya dengan perbuatan-perbuatan manusia; kesemuanya secara berkesinambungan dan langsung ciptaan Allah.”
Oleh kerana itu, “determinisme sebab dan akibat juga boleh diterapkan kepada perbuatan-perbuatan manusia, sama seperti Allah telah menciptakan dunia dan hukum-hukum (tentang) alam, Dia juga telah menciptakan semua perbuatan manusia. Dengan demikian, baik tindakan yang benar mahupun yang salah merupakan bahagian daripada ciptaan-Nya.” (hal.41).
Atas tafsiran sedemikian, kelompok ini menyatakan “setiap individu, melalui ketetapan Tuhan, adalah baik atau jahat secara asal, baik ketetapan ini semacam ini terjadi secara semuanya atau sesuai dengan rencana Tuhan. Ibnu Mubarak menafsirkan hadis pokok bahawa anak-anak orang-orang musyrik terlahir dalam keadaan kufur atau iman. ” (hal.42).
Namun, menurut Abu Manzur, hadis ini “muncul sebelum turunnya wahyu tentang faraidh (kewajipan-kewajipan Islam) dan merujuk kepada ketetapan Tuhan sebelum seorang anak itu lahir.
Apa yang dikatakan itu berkaitan dengan takdir pra-eksistensi (sebelum seseorang itu lahir) yang digagaskan oleh seorang ulama sufi, Sahl at-Tustari (m.238H/896M).
pandangan netral, muncul sebagai jawapan kepada kelompok fatalisme, daripada ulama bebas yang berusaha mempertanyakan keabsahan pandangan-pandangan fatalisme. Menurut Yasien, yang paling menonjol ialah Ibnu Abd al-Barr (m.362H) dengan menegaskan, “sifat dasar manusia secara ekstrem bersifat deterministik: sesuai dengan kehendak dan ilmu azali Allah, setiap individu telah ditakdirkan untuk memperoleh kebahagiaan atau penderitaan. Oleh sebab itu, seorang mukmin akan terlahir dalam keadaan Islam sementara orang kafir terlahir dalam keadaan kufur.
Bagi kelompok ini, “fitrah bukanlah suatu keadaan iman yang asal, mahupun keadaan kufur secara asal. Anak terlahir dalam suatu keadaan suci, suatu keadaan kosong sebagaimana adanya, tanpa pengetahuan atau kesedaran tentang iman atau kufur. Iman atau kufur hanya muncul ketika anak tersebut mencapai usia dewasa (taklif)..(hal.44).
Pandangan tersebut dipegang berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun.” (QS an-Nahl [16] : 78).
Bagi kelompok positivisme, fitrah “merupakan satu keadaan kebajikan bawaan” yang membawa kepada pendirian Ibnu Taimiyyah bahawa “semua anak terlahir dalam keadaan fitrah; dalam suatu keadaan kebajikan bawaan, dan lingkungan sosial itulah menyebabkan seorang individu menyimpang dari keadaan ini.
Namun, “terdapat kesesuaian alamiah antara sifat dasar manusia dan Islam; manusia disesuaikan untuk ‘din al-Islam'”, iaitu “menyediakan kondisi ideal untuk mempertahankan dan mengembangkan sifat-sifat bawaan manusia.
“Sifat dasar manusia memiliki lebih dari sekadar pengetahuan tentang Allah yang ada secara inheren di dalamnya, tetapi juga suatu cinta kepada-Nya dan keinginan untuk melaksanakan agama secara tulus sebagai hanif sejati. Pandangan ini mengacu kepada unsur kehendak individu, suatu dorongan proaktif yang secara sedar berusaha untuk mewujudkan keimanan dan praktik Islam.” (hal.46).
Secara kebahasaan (linguistik), fitrah bermakna “penciptaan; menyebabkan sesuatu ada untuk pertama kali; dan struktur/ciri umum alamiah yang mana dengannya seorang anak tercipta dalam rahim ibunya.
Makna dalam perspektif agama, dalam konteks hadis, menurut Abu Haytam (m.1040M), bermakna dilahirkan dalam keadaan sejahtera atau tidak sejahtera (dalam hubungannya dengan jiwa):
“Dan jika orang tuanya Yahudi,.mereka menjadikannya seorang Yahudi, dalam hubungannya dengan situasi duniawinya (iaitu dalam hubungannya dengan warisan, dan seterusnya); dan jika orang tuanya Nasrani, mereka akan menjadikannya seorang Nasrani, dalam hubungannya dengan situasi tersebut; jika orang tuanya Majusi mereka menjadikannya seorang Majusi dalam hubungannya situasi tersebut; keadaannya sama dengan keadaan orang tuanya sampai lisannya boleh bercakap untuknya; tetapi jika dia meninggal sebelum mencapai usia di mana kematangan seksual mulai terlihat, dia mati dalam keadaan selaras dengan keadaan alamiahnya yang telah ada sebelumnya, di mana dengan keadaan itulah dia tercipta dalam rahim ibunya.” (hal.20).
Persoalan ini bermula dengan hadis yang bermaksud: Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah). Kemudian kedua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi, sebagaimana seekor binatang dilahirkan dalam keadaan utuh. Apakah kalian melihat di antara mereka ada yang cacat (pada saat dilahirkan)?” (dikutip oleh I M Hanif, Shahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, Kitab al-Qadr, Jilid 16, 1930, hal.207).
Jadi, dalam pemahaman yang mudah, insan yang suci itu adalah bayi yang baharu dilahirkan. Setelah mencapai usia dewasa (boleh berfikir dan akil baligh) seseorang itu tidak lagi berada dalam keadaan “insan yang suci” kerana dirinya sudah dipengaruhi oleh pelbagai kawasan dan pengaruh, sosial dan psikologi. Ini bermakna, jika seseorang itu menegur seseorang agar “kembali kepada fitrah”, ia bermaksud seumpama kembali semula ke masa bayi. Bolehkah?
Kita dengar ada konsep “reborn” tetapi ianya bukan dalam bentuk jasad atau fizikal. “Reborn” itu adalah konsep yang berkait rapat dengan keimanan dan kepatuhan dirinya terhadap apa yang dipercayainya benar, baik dan tidak jahat. Dari perspektif agama, ia berada dalam situasi “menghayati, mengamalkan ajaran agama”; namun kadangkala agama itu juga ada masalahnya setelah dikotori oleh aliran pemikiran tertentu. Islam tidak terkecuali, sebabnya, kemunculan firqah menyebabkan Islam dilihat bukan lagi sebagai ad-Din, tetapi sebagai alat untuk meraih sesuatu.
Dalam hal itulah kita sebenarnya perlu kembali semula kepada pemikiran tasawuf bagi membina kecemerlangan Islam; interaksi antara Insan Yang Suci dan Ajaran Yang Suci. Kita sepatutnya merintis untuk kembali kepada perspektif itu dengan udara yang lebih segar, bukan berpaut kepada kepentingan kelompok, sebaliknya pada kesatuan hasrat, cita-cita dan tujuan kenapa Islam itu dihadirkan sebagai ummah yang berakhlak.
Saya melihat perbincangan teoritis dalam buku ini, walaupun telah tiga dekad digagaskan, perlu diberikan perhatian, sekurang-kurangnya apabila kita mendengar ada yang mengakui “dirinya suci” dan semua orang lain salah, kecuali ahli kelompoknya.
Pendekatan psikologi begini cukup menarik daripada penekanan pada ceramah dan wacana yang berpusing-pusing pada sejarah, yang sepatutnya dapat melihat apa yang sudah berlaku itu sebagai motivasi pembinaan ummah dan peradaban, jihad intelektual.
Iman sejati, kata Yasien “wujud pada batin kita” dan kerana itu, kita jangan “dikaburkan oleh dampak negatif dari lingkungan sosial, politik dan falsafah”. Kita sewajarnya “berpegang kepada wahyu Tuhan untuk mendapatkan petunjuk, bukan sahaja bagi konsepsi yang tepat tentang fitrahnya, tetapi juga untuk ajaran-ajaran dan perintah-perintah yang memungkinkannya untuk memulihkannya”, yakni memulihkan keadaan yang terpuruk, penuh sengketa dan haloba.
Pun kita tahu, semuanya bercakap bahawa “tragedi dan kemunduran sejarah manusia adalah akibat keterasingan manusia dari fitrah; kerana selama orang-orang Muslim tidak berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah, mereka akan tetap akan bercerai-berai dan tunduk kepada imperialisme dunia dan kekuatan-kekuatan sekular lainnya.” (hal.196).
Bagaimana hendak kita mulakan; bagaimana pula kita akan bertindak untuk merealisasikan cita-cita tersebut, membina peradaban baharu yang bertahtakan tauhid, iman dan ihsan? Di situlah pentingnya “insan yang suci”; yang dapat menolak segala bentuk kemungkaran, kekufuran dan sepak terajang propaganda kuasa-kuasa besar dan musuh kita. Selagi kita tidak mampu membuktikan kejernihan diri dan tindakan, selagi itulah kita akan kekal menjadi objek dan subjek adu-domba mereka.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments