Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Selama berdekad lamanya, kita megah dengan slogan “Malaysia Truly Asia”. Satu slogan yang menarik, dan menjanjikan pengalaman autentik kepada setiap pelancong, antarabangsa mahupun dalam negara, bahawa di sinilah terhimpunnya segala warna-warni budaya Asia yang asli. Tetapi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, nampaknya slogan itu mungkin perlu diubah. Melihat kepada cadangan terbaru oleh Kementerian Pelancongan untuk menganjurkan “Festival Muzikal Air” berskala besar ala Pesta Songkran di tengah-tengah Kuala Lumpur, mungkin slogan baru yang lebih sesuai adalah: “Malaysia Truly Copy-Paste”.
Setiap rakyat pasti tertanya, mengapa Kementerian Pelancongan dan penganjur terdesak mahu meniru Songkran? Mungkin rancangan ini timbul akibat ketandusan idea apabila berhadapan dengan desakan KPI. Sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah 35.6 juta pelancong. Maka apabila kreativiti mereka yang mengejar KPI ini sudah kering, jalan paling senang dan malas adalah meniru apa yang viral dan terbukti menarik pelancong di negara jiran. Adakah dengan mereka melihat Thailand berjaya dengan festival Songkran, maka logik mudah mereka adalah: “Kalau kita buat benda sama, pelancong akan datang sini juga?” Lemahnya daya kreativiti pihak bertanggungjawab, hingga sanggup menghantar mesej kepada seluruh dunia bahawa Malaysia sudah tiada identiti sendiri, sehingga terpaksa mengimport budaya negara lain untuk dijual semula.
Di Thailand, Songkran berakar umbi daripada tradisi Buddha dan sambutan Tahun Baru mereka. Maka festival air ini lahir dari konteks spiritual dan budaya di sana. Namun apabila ia dibawa ke Malaysia atas jenama “Festival Muzikal Air”, konteks budaya dan tradisi Buddha itu terpakai. Malaysia wujud sebagai negara di mana Islam adalah agama rasmi. Seolah-olah kita cuba menafikan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Justeru apa yang tinggal jika berlangsungnya Songkran Ala Malaysia? Hanyalah Pesta Hedonisme. Ia menjadi acara basah-basahan, pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas, muzik bingit, dan pakaian yang menjolok mata. Batas aurat dibakul-sampahkan dengan alasan wang ringgit pelancong yang akan datang.
Adakah ini imej yang kita mahu paparkan di tengah-tengah Bukit Bintang, ibu negara kita? Perlukah kita melepaskan syarat minuman keras sekali juga semasa festival itu berjalan, supaya dapat keuntungan besar dari beer dan minuman keras? Sedangkan Malaysia telah lama memposisikan diri sebagai Hab Pelancongan Mesra Muslim. Kita berjaya menarik pelancong berkualiti dari Timur Tengah, Asia dan Eropah yang datang bersama keluarga demi mencari percutian di negara yang kaya dengan budaya sopan santun, serta warisan Islam. Apabila dianjurkan pesta liar sebegini, pihak pelancongan sebenarnya sedang “menghalau” pelancong berkualiti ini demi mengejar pelancong bajet yang hanya mahu berparti.
Maka secara realitinya, segmen pelancong manakah yang kita sasarkan? Pelancong Eropah? Jika mereka mahu Songkran, mereka akan pergi ke Thailand. Mengapa mereka perlu datang ke Malaysia untuk versi “tiruan”? Akhirnya, pesta ini hanya akan menarik anak-anak muda tempatan untuk hanyut dalam budaya lagha dan maksiat. Peminat Hedonisme yang mencari saluran untuk memuaskan nafsu sambil berselindung di sebalik nama keseronokan. Menjual Budaya Atau Maruah?
Tahun Melawat Malaysia adalah peluang untuk negara ini mempamerkan kepada seluruh dunia SIAPA KITA. Adakah Malaysia sebuah negara yang bangga dengan warisan, agama, dan adab ketimuran? Atau adakah kita sebuah negara yang sanggup melacurkan identiti, menjadi badut peniru, semata-mata demi mengejar angka KPI pelancong? Isu ini bukan sekadar tentang Kementerian Pelancongan atau penganjur acara. Ia berbalik kepada Pucuk Pimpinan Negara. Aset pelancongan sebenar Malaysia bukan di celah bangunan konkrit Bukit Bintang, tetapi wujud di desa. Di kampung-kampung, orang Malaysia mencerminkan budaya yang sopan, makanan yang asli, dan alam semula jadi yang belum tercemar. Inilah Emas Pelancongan yang dicari oleh pelawat Eropah dan Asia Timur. Mereka mahu melarikan diri dari kekecohan bandar, dan mereka mahukan ketenangan gaya hidup di desa.
Maka mengapa kita bazirkan tenaga dan dana untuk mempromosikan “Pesta Air Songkran” tiruan di bandar, sedangkan kita boleh mempromosikan Pelancongan Desa yang jelas lebih bermaruah dan menepati citra Malaysia? Di mana suara pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam dan Melayu?Mereka sudah hilang maruah dan jati diri. Saat inilah paling sesuai untuk gunakan kuasa dan suara yang ada. Hentikan penganjuran yang merosakkan akhlak ini serta menbebankan ummah. Jangan biarkan sejarah menulis bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, Kuala Lumpur bertukar menjadi pusat pesta air yang menghilangkan identiti negara.Secara hakiki adakah ini rupa bentuk sebenar atau wajah sebenar masyarakat Madani. Hakikatnya ia sebenar menggambarkan kebobrokan masyarakat kita hari ini.
Recent Comments