Oleh: Luqman Hakim
Fazil bin Ayaz adalah seorang ahli sufi Islam yang terkenal di zaman dahulu. Tentang bagaimana ceritanya ia menjadi seorang yang taat dan taqwa terhadap Allah swt amatlah menarik sekali.
Fazil asalnya adalah seorang ketua sekumpulan perompak. Walaupun ia melakukan kerja-kerja yang buruk seperti merompak harta benda orang lain, namun ia tidak lupa mengerjakan sembahyang setiap hari. Dia juga tidak meninggalkan ibadat puasa di bulan Ramadan. Dia gemar memakai pakaian yang sederhana seperti rakyat biasa.
Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hari kumpulan yang dipimpin olehnya telah pergi menyerang serombongan kafilah. Fazil sendiri tidak menyertai gerakan itu, tetapi hanya memerhatikannya sahaja dari jauh. Demi tatkala ketua kafilah itu ternampak sahaja kepada Fazil disangkanya Fazil seorang yang baik kerana dilihat dari air muka serta pakaiannya yang sederhana itu. Ketua kafilah itu lantas pergi mendapatkan Fazil seraya berkata, “Tuan! Tolonglah simpankan seluruh wang dan hartabenda saya ini. Kami sedang dirompak oleh orang-orang jahat. Bila mereka itu sudah pergi dari sini, bolehlah tuan kembalikan semula milik saya itu. Demikian katanya kepada Fazil, ketua perompak yang disangkanya orang baik itu.
Setelah perompak-perompak itu habis menjalankan kerjanya yang jahat itu mereka pun pergi mendapatkan ketuanya Fazil lalu menyerahkan seluruh hasil rompakan mereka itu. Ketika itu ketua kafilah masih lagi berada di sebelah Fazil. Demi melihat apa yang berlaku dihadapannya itu ketua kafilah itu menjadi tersangat terkejut. Tidak sekali ia menduga bahawa orang yang dipercayakan atas harta dan wangnya itu sebenarnya adalah ketua kumpulan penjahat itu. Dalam keadaan bingung bercampur takut itu Fazil memandang ke wajahnya pula. Fazil dengan suara yang lembut berkata kepadanya, “Jangan takut Tuan. Oleh kerana baik sangkamu terhadap diriku, tidak tergamak aku hendak mengambil milik-milikmu itu.
Tiba-tiba datang seorang yang tidak diketahui dari mana dan hendak ke mana tujuannya dengan menunggang seekor unta. Sambil berjalan lalu di tempat itu ia membaca-kan sepotong ayat dari Kitab suci Al Quran yang membawa maksud bahawa orang yang berbuat jahat itu masih lagi mempunyai peluang untuk bertaubat dari segala dosa-dosa-nya itu. Demi tatkala mendengarkan ayat yang dibaca itu hati Fazil seolah-olah disirami petunjuk İlahi hingga ia menjadi termenung sebentar. Jiwanya benar-benar telah diresapi oleh keinsafan untuk kembali kejalan yang suci, jalan mulia yang digariskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Maka ia pun memanggil sekalian orang-orangnya seraya berkata kepada mereka:
“Wahai kawan-kawanku sekalian! Ketahuilah oleh kamu sekalian bahawa mulai hari ini aku tidak akan lagi melakukan kerja yang mungkar ini, kerja yang keji lagi dibenci Allah s.w.t. Sungguh aku ingin bertaubat ke hadrat Allah dan berdoa agar Allah mengampuni segala dosa-dosaku yang lalu.”
Fazil cuba memujuk kawan-kawannya agar menuruti jalannya yang bersih dan suci tetapi mereka enggan mengikutinya. Bagaimanapun pengikut-pengikutnya itu pun tidak lama kemudian meninggalkannya bersama-sama kafilah-kafilah tadi. Mereka membatalkan rencana mengambil segala harta rampasan kafilah itu kerana takutkan ketuanya yang telah bertaubat. Setelah mereka itu meninggalkan tempat itu, maka Fazil pun meminta maaf kepada kafilah-kafilah tadi. Kebetulan ada seorang Yahudi díantara kafilah itu yang enggan memaafkannya. Ia menyuruh Fazil melakukan dua perkara. Pertama Fazil hendaklah pergi mengalihkan bukit pasir ke suatu tempat. Fazil sedia menerima permintaannya. Adalah diriwayatkan bahawa ketika itu suatu tiupan angin kencang tiba-tiba berlaku lalu memindahkan bukit yang di-maksudkan itu ke suatu tempat lain yang tidak jauh dari situ.
Kemudian setelah itu orang Yahudi itu memasukkan tanah liat ke dalam sebuah guni besar lalu menyuruh Fazil memulangkan kepadanya semula guni itu tetapi mestilah guni tersebut berisi penuh dengan emas. Fazil anehnya sanggup melakukannya. Maka apabila mereka membuka guni itu betapa terkejutnya mereka apabila melihat guni itu benar-benar berisi dengan emas. Melihatkan yang demikian itu Yahudi itu lantas sujud di kaki Fazil seraya berkata:
“Sekarang tidaklah syak lagi bahawa engkau benar-benar telah bertaubat. Aku telah membaca dalam kitab Taurat bahawa jika seseorang itu benar-benar telah bertaubat diatas segala kesalahannya itu, benar-tidaknya taubatnya itu dapat dilihat dari dua perkara. Pertama, ia dapat memerintahkan gunung-gunung bergerak. Kedua, ia boleh menukarkan tanah liat menjadi emas. Oleh sebab itulah aku menyuruh engkau wahai Fazill supaya melakukan dua perkara yang teramat berat dan mustahil itu untuk menguji benar atau tidaknya taubatmu itu. Kini tahulah aku bahawa engkau sesungguhnya adalah seorang yang baik dan mulia.
Recent Comments