Awalnya saya tidak terkejut bila mendapat tahu, mulai tahun hadapan (2027) kanak-kanak berumur enam tahun mula bersekolah dalam makna yang lengkap, bukan di kelas prasekolah. Umur prasekolah pula disyaratkan lima tahun, yang sebelum ini masih di peringkat tadika (kindergarten). Ertinya, umur pelajar tadika juga ikut turun, mungkin dari tiga hingga empat tahun.

Walaupun saya tidak ada anak kecil yang bersekolah, tetap berfikir bagaimana cucu-cucu sendiri boleh masuk tahun satu nanti, dengan kaedah baharu itu. Setelah mendalami sedikit sebanyak laporan berita, ternyata bukan semua yang berusia enam tahun akan masuk sekolah penuh tahun hadapan. Kanak-kanak yang berumur lima tahun ketika ini, perlu mendaftar, kerana mereka akan dipilih berdasarkan keputusan Ujian Diagnostik.

Bentuk Ujian Diagnostik tidak dijelaskan secara memadai, maka tercenganglah ramai ibu bapa nak tahu apa yang dimaksudkan itu. Tetapi, apa yang bermain di minda saya ialah ujian. Maknanya, kanak-kanak akan diuji tahap kesediaannya untuk masuk Tahun Satu.

Ini yang menjadi masalahnya. Ini mungkin akan meributkan suasana kerana belum pun masuk ke sekolah penuh, perlu menduduki ujian. Sesuatu yang tidak boleh diterima sedangkan sebelum ini KPM menyatakan akibat terlalu banyak penilaian berpusat, juga peperiksaan, ia memberikan tekanan kepada murid-murid, guru-guru dan ibu bapa. Sebab itulah sistem pendidikan di Malaysia tidak dianggap sebagai “didik-hibur”, tetapi “didik-lebur” dan sangat diskriminasi.

Maksud diskriminasi ialah kesan peperiksaan dan ujian, ia telah melahirkan pelajar dalam pelbagai situasi emosi, yang pandai dapat semuanya, yang sederhana bukan sahaja tidak diraikan bahkan rasa tersisih. Mereka yang kurang cemerlang, kadangkala merasakan seperti terpinggir. Ibu bapa tidak menyediakan hadiah seperti anak-anak yang cemerlang.

PIBG pula sibuk anjurkan Majlis Kecemerlangan. Anak yang cemerlang bangga berjalan ke atas pentas mengambil hadiah, ibu bapa tersenyum lebar. Ada pula yang berkata, dan merumuskan ‘anaknya pandai”. Jadi bualan ketika membawang dan ada juga yang kecewa, kadangkala malu untuk bercakap hasil pencapaian akademik anak-anak sendiri.

Kata Robert Kiyosaki, mereka yang cemerlang biasanya berakhir dengan kerjaya akademik seperti guru, pensyarah ataupun penyelidik. Mereka yang mencapai markah sederhana inilah yang menjadi penjaga, usahawan dan mencipta kekayaan. Tetapi, sistem pendidikan sentiasa dikecam atas kelemahannya, termasuklah kegagalan mengukir kemenjadian murid yang cemerlang sahsiah. Ada sahaja cerita yang tidak enak kita dengar, sekolahnya cukup tinggi tetapi moralnya sangat rendah.

(Robert Kiyosaki, Why “A” Students Work for “C” Students, 2013)

Sebabnya, kejayaan seorang pelajar itu diukur berdasarkan kecemerlangan akademik. Semuanya cukup tidak bermakna bila seseorang yang berpendidikan tinggi akhirnya hilang jati diri, terperosok dalam pelbagai aktiviti mencari kekayaan dengan cara yang tidak halal. Rasuah makin membarah, bukan lagi sekadar seringgit dua ringgit. Tetapi sangat mengejutkan sehingga beratus juta.

Kalau kereta kita alami masalah, bila hangat ke bengkel, akan dilakukan pemeriksaan diagnostik untuk mencari apa yang silap atau rosak. Tetapi, Ujian Diagnostik yang bakal dilaksanakan ialah untuk mengambil kanak-kanak yang boleh melepasi tahap minimum. Maka di sinilah yang perlu dipersoalkan.

Masyarakat bukan tidak setuju penurunan umur awal masuk sekolah, tetapi kenapa tidak semua kanak-kanak seusia diterima masuk. Ia sesuatu yang tidak munasabah, bahkan pada suatu ketika Ketua Pengarah Pendidikan sendiri pernah mempersoalkan bila kanak-kanak diasingkan sejak awal persekolahan lagi. Kanak-kanak yang pandai diasingkan, mereka ditempatkan di kelas khusus sedangkan setiap kanak-kanak mempunyai kadar pencapaian yang berbeza. Ada kanak-kanak sudah pandai apabila masuk ke tahun satu setelah melalui pendidikan prasekolah yang menekankan akademik. Walhal, tujuan pendidikan awal kanak-kanak, iaitu di peringkat prasekolah adalah melahirkan mereka dengan kemahiran sosial, bukan untuk membentuk kecemerlangan akademik.

Itulah sebabnya semakin ramai kanak-kanak mampu meraih kecemerlangan akademik berbanding kemahiran sosial. Sedangkan dalam kehidupan sebenar, kemahiran sosial cukup penting, kerana inilah penentu sebenar keadaban seseorang. Hal ini mendapat kritikan tajam oleh Syed Naquib al-Attas sejak sekian lama dalam risalahnya yang memerihalkan falsafah dan makna pendidikan, kerana pendidikan itu seharusnya dibingkaikan dengan keadaban. (SMN al-Attas, The Intuition of Existence, 1990).

Imam al-Ghazali telah lama berjuang untuk kemenjadian seorang murid dalam bimbingan akhlak dan pekerti mulia. Salah sebuah kitabnya yang memerihalkan keperluan itu ialah Ya Ayyuhal Walad, yang diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan memakai judul Wahai Anakku atau Nasihat Kepada Murid dan Petua Menuntut Ilmu.

Apa pun, semalam menurut jurucakap kerajaan madani, Perdana Menteri sudah mengarahkan KPM untuk menjelaskan sebaik-baiknya reformasi tersebut dan rakyat mengharapkan jika itu kekal menjadi inisiatif reformasi pendidikan, tidak perlu lakukan ujian saringan kemasukan ke Tahun Satu pada tahun ini. Ramai ibu bapa belum bersedia, bahkan infrastruktur sekolah dibimbangkan masih belum kemas untuk melakukannya. Semua orang tahu, setiap perubahan yang hendak dilakukan, ia perlu digerakkan secara ‘cascading”. Jika dibuat secara tanpa persediaan mencukupi, ia akan menjejaskan proses reformasi.

Minda ibu bapa belum lagi bersedia untuk menerima perubahan itu. Tetapi, ia tidak bermakna ibu bapa menolaknya, apa yang perlu ialah sebuah penjelasan yang memadai, kesiapsiagaan komponen dalam sistem pendidikan untuk menerima, melaksana dan menterjemahkannya secara tuntas.

Sayangnya, ada guru mula ragu-ragu kerana mereka faham bahawa secara tradisinya ramai kanak-kanak berumur enam tahun belum boleh menghafal aksara asas. Ertinya, bagaimana mereka mampu untuk diuji dengan diagnostik ? Bukan semua kanak-kanak dalam kohort itu mahir dengan gajet, ada di antaranya belum terdedah dengannya. Bagaimana kanak-kanak pedalaman yang jauh daripada teknologi digital. Kita tahu, kampung tanpa wayar pun sudah lama jadi arwah. Tetapi, mungkin signage kampung tanpa wayar masih ada.

Jika umur enam tahun hendak dijadikan syarat kemasukan ke Tahun Satu, jadikanlah ia sebagai dasar yang menyeluruh, bukan dasar terpilih. Dasar yang terpilih inilah akan melahirkan dua situasi yang dianggap “menghina” bagi kanak-kanak seusia yang gagal saringan.

Jika itu adalah alasan untuk memenuhi segelintir kanak-kanak cerdik lebih awal, ia adalah satu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak seusia yang tidak terpilih ke Tahun Satu tahun hadapan.

Beberapa tulisan mengenai reaksi tersebut oleh pakar pendidikan telah memberikan gambaran bahawa perubahan memang perlu, tetapi yang lebih penting ialah persediaan untuk melakukannya. Komunikasi sahaja tidak cukup, kerana perilaku komunikatif (communicative action) itulah sebenarnya yang menentukan sama ada reformasi boleh berjaya atau tidak.

KAMARUN KH

Translate »