Oleh Khuzairi Ismail

KUALA LUMPUR – Isu ladang ternakan babi tidak boleh dialih dengan mengaitkannya dengan isu rasuah, memandangkan jenayah rasuah merupakan masalah semua kaum.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Kelestarian Alam Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, rasuah adalah masalah besar bagi negara dan menjadi masalah kepada mana-mana kaum, bukan isu `perasuah itu makan apa’.

Ujarnya, apabila ada kaum tertentu dikaitkan dengan pemberi dan pemberi rasuah paling ramai adalah kerana faktor sektor perkhidmatan awam paling ramai didominasi hanya satu kaum.

Namun, jelas beliau, ia tidak menafikan hakikat bahawa terdapat kaum-kaum lain turut terlibat dalam perlakuan rasuah.

Tambahnya, dalam isu ternakan babi, masalah utama yang dibangkitkan adalah soal pencemaran bau; air; persekitaran dan pelbagai lagi isu alam sekitar lain.

Kawasan yang menjadi mangsa pula, dakwanya, adalah persekitaran yang didiami oleh mereka yang bukan pemakan babi.

“Ini bukan teori tapi realiti. Contohnya, bagaimana orang Melayu Tasik Gelugor Pulau Pinang terpaksa menghidu udara berperisa babi bawaan dari Ladang Ternakan di Kampung Selamat sejak lebih empat dekad yang lalu.

“Soal awak nak makan babi, berapa kali sehari nak makan, nak masak babi resepi apa dan nak hidang macam mana, itu terpulanglah kepada mereka dan keluarga mereka,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menggesa rakyat Malaysia menghormati pilihan makanan setiap kaum dan menghentikan penghinaan terhadap pemakan daging babi.

Beliau menegaskan komuniti Dayak tidak pernah mencela makanan orang lain, malah menyatakan pemakan babi tidak semestinya terlibat dengan rasuah atau dadah serta membandingkan bau babi dengan budu dan belacan.

Sementara itu, Azman berkata, orang Melayu dan umat Islam berasa tidak dihormati apabila ladang penternakan babi beroperasi di kawasan majoriti bukan pemakan babi.

Apatah lagi, ujarnya, tiada siapa boleh menafikan bahawa bau dan pencemaran dari ladang babi sangat menjijikan dan memualkan.

“Kenapa mesti orang Melayu Islam yang menjadi mangsa?” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber: malaysiagazette.comV

Translate »