SIARAN MEDIA
21hb Jan 2026

KONSEP PERPADUAN BERTERASKAN TALI ALLAH DAN PENEGASAN PAYUNG BESAR PENYATUAN UMMAH

  1. Parti PUTRA teguh bersama pandangan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa perpaduan wajib berpaut pada tali Allah, bukan tali kontrak, bukan tali jawatan, dan bukan tali untuk menyelamatkan parti yang sedang nazak. Politik yang tidak bertuhan akhirnya menjadi politik dagang, hari ini cium tangan, esok gigit lengan.
  2. PUTRA sejak awal menegaskan bahawa penyatuan ummah tidak boleh diketuai oleh parti atau orang yang rekodnya penuh parut rasuah dan tanpa integriti. UMNO hari ini bukan lagi rumah besar Melayu, tetapi rumah lama yang atapnya bocor, dindingnya reput dan dipenuhi anai-anai politik wang.Ianya hukum alam bila terlalu lama berkuasa dan rasuah menjadi darah daging.
  3. Realiti di bawah tidak boleh ditipu. Pilihan raya membuktikan hampir tujuh puluh peratus Melayu berdiri bersama Perikatan Nasional (PN) masa PRU 15. PAS memiliki empat puluh tiga kerusi dan Bersatu tiga puluh dua kerusi, itu suara kampung, suara masjid dan suara warung kopi, bukannya suara broker projek.Suara majoriti orang Melayu.
  4. Jangan buat-buat lupa, UMNO hari ini seperti ayam jantan tua, kokoknya kuat tetapi taji sudah patah. Mahu jadi ketua tetapi rakyat telah menolak, mahu jadi imam tetapi kiblat sendiri masih keliru.Kiblat nya kini sekadar retorik melayu tapi kiblat nya DAP dan PKR berhaluan liberal dan pluralisma.
  5. PUTRA tidak akan menyokong jenama lapuk bernama Muafakat Nasional atau Rumah Bangsa yang hanya mahu menjadi talian hayat kepada klik mahkamah dan geng perasuah. Payung besar penyatuan hari ini ialah Perikatan Nasional, bukan khemah bocor yang menunggu hujan pilihan raya untuk runtuh.
  6. Perpaduan sebenar mesti bertiang tiga, iman, maruah dan amanah. Jika tiga ini tiada, perpaduan hanyalah topeng, esok apabila bau kuasa datang semua janji akan menjadi habuk.
  7. PUTRA menolak sebarang helah untuk menghidupkan semula hegemoni lama. Rakyat sudah muak dengan politik feudal, politik elit, kronisma keluarga dan kroni sesama Parti.Melayu bukan bodoh untuk masuk ke lubang yang sama dua tiga kali.
  8. Nasihat supaya berpegang kepada tali Allah ialah kompas perjuangan. Tanpa agama, politik akan jadi seperti pasar malam, siapa paling kuat melelong, dialah paling laku. PUTRA tidak akan bersekongkol dengan perpaduan yang menggadai Islam dan mengkhianati mandat rakyat.Putra berpegang kpd nilai Bersih dan Berakhlak.
  9. Sejarah telah mengajar bahawa gabungan tanpa keikhlasan tidak pernah panjang umur. Kerajaan yang lahir daripada tawar-menawar gelap hanya melahirkan dasar tunggang-langgang, ekonomi lintang-pukang dan maruah negara tergadai.
  10. PUTRA menyeru semua pemimpin Melayu Islam supaya membuang ego dan perangai tuan besar, serta menerima hakikat bahawa masa depan ummah hari ini berada di bawah payung Perikatan Nasional yang dipimpin oleh olih jiwa yg bersih, semangat patriorisma dan Nasionalis serta idealogi Islam.
  11. Penyatuan yang kita dambakan ialah penyatuan yang mempertahankan Islam, memelihara Perlembagaan, membela marhaen, menegakkan keadilan ekonomi dan memulihkan maruah tanah air.
  12. PUTRA berdiri tegak bersama konsep perpaduan berteraskan tali Allah, bukan tali projek dan bukan tali jawatan. Jalan paling jujur pada hari ini ialah memperkukuh Perikatan Nasional sebagai wadah tunggal penyatuan ummah

Dato’ Ibrahim Ali
Presiden Parti PUTRA
21hb Januari 2026

Sumber: bebasnews.my

Translate »